Copypaste dari laman fb: Dr Aimir Ma’rof
https://www.facebook.com/aimir711/posts/10155465320244888
Sarawak ini negerinya besar. Saiznya lebih kurang sama dengan Semenanjung. Secara ringkasnya ada 3 bandar besar di Sarawak iaitu Kuching, Sibu dan Miri. Sekarang ini dah makin membangun, cuba naikkan taraf Bintulu dan Sarikei juga.
Jadi penempatan doktor dan pakar-pakar dahulu pada mulanya di 3 bandar besar itu. Kini, diperluaskan lagi ke bahagian-bahagian lain seperti Bintulu dan Sarikei. Sedangkan Kapit dan Sri Aman pun sudah punya pakar sekarang, walaupun masih tidak menyeluruh meliputi semua bahagian atau cabang perubatan.
Namun begitu, penempatan pakar-pakar terutamanya sub-kepakaran masih bertumpu di Kuching, menyebabkan sebahagian kes-kes walaupun dari Sibu dan Miri masih perlu pada rujukan. Dan bila kita sebut tentang rujukan, memang tidak dapat lari dari berbicara tentang kos. Kos pengangkutan itu memang sudah menjadi hal. Jalan sungai, jalan darat, kapal terbang atau helikopter.
Kita kata Kuching, Sibu dan Miri itu punya hospital di bandar yang besar, tetapi rata-rata penghuninya tidaklah berduit banyak mana. Ada yang datang jauh dari pedalaman naik bot ke hospital. Ada juga yang jalan darat tapi terpaksa bayar tambang yang mahal ke hospital. RM60 pergi balik bayar sewa van. Mungkin murah pada kita, tetapi bagi mereka, itulah duit makan minum keluarga untuk 3 hari.
Tetapi jika diteliti, bukan kos pengangkutan sahaja malah kos-kos perubatan yang lain juga menjadi satu isu yang bukan remeh. Keputusan biopsi juga boleh ambil masa berminggu berbulan kerana spesimen dari seluruh Sarawak di hantar ke Kuching. Kesian pakar-pakar di Kuching hendak melayan jumlah kerja dari seluruh negeri yang sama besar dengan Semenanjung.
Saya masih ingat semasa di Sibu dulu, saya perlu beritahu pesakit saya yang dikhuatiri punya penyakit barah/kanser, sama ada anda keluarkan duit RM100 bayar ke makmal swasta untuk dapat keputusan biopsi yang cepat atau menunggu dalam masa 2 minggu ke 1 bulan. Difikirkan kembali, saya sendiri pun sudah tidak ingat berapa kali saya keluarkan dompet hulur duit pada pesakit yang memang betul orang susah.
Dunia ini tidak adil.
Mereka yang berkemampuan, duduk di bandar, hidup serba serbi ada, kita kata buat biopsi hari ini, esok lusa mungkin siap. Datang dua hari kemudian, kita kata masih dalam proses, lalu riuh adegan di hospital gara-gara orang melepaskan amuk. Dia kata ini kes kanser, mana boleh tunggu lama-lama!
Mereka yang tidak mampu, hidup di kampung, kais pagi makan petang, kita kata buat biopsi hari ini, esok lusa gerenti tak siap. Kalau nak siap cepat, hulur RM100. Jawapan yang pasti, sanggup menunggu. Datang 2 minggu kemudian, kita kata masih dalam proses, lalu angguk sahaja balik semula. Murung berfikir, bukan tentang keputusan biopsi itu, tetapi berfikir di mana lagi nak korek duit untuk datang temujanji yang disuruh 2 minggu lagi. Entah-entah 2 minggu lagi, disuruh balik juga sebab masih belum siap.
Memang hidup ini tidak pernah adil.
Sebab itulah saya cukup benci dengan pesakit dan keluarga yang terlalu mendesak atau ‘demanding’. Lagi saya benci bila mereka itu sebenarnya golongan yang kaya dan punya kedudukan. Yang mereka tahu, mereka juga rakyat Malaysia yang berhak untuk dapatkan perkhidmatan kesihatan dari kerajaan. Mungkin bagi mereka, mereka itu lebih berhak berbanding pesakit lain.
Sebab itulah saya cukup benci dengan doktor dan petugas kesihatan yang buat kerja cincai dan sambil lewa. Buat kerja tanpa memikirkan susah dan senang orang lain. Hanya tahu senang diri sendiri. Beri temujanji sesuka hati. Mengisi borang sekadar janji berisi. Salah ejaan salah I/C salah maklumat bukan peduli. Yang penting dia sahaja yang ‘happy’. Yang penting hujung bulan masuk gaji.
Hari ini saya hulur lagi duit pada seorang ibu yang anaknya berumur 8 tahun itu perlu menjalani pembedahan minggu hadapan. Hanya kerana tiada spesimen darah diterima oleh makmal walaupun di dalam buku ditulis dengan jelas tarikh darah diambil. Salah orang yang mengambil darah? Atau orang yang menghantar ke makmal? Atau orang yang menerima spesimen? Atau orang yang menulis di dalam buku?
Dipendekkan cerita, spesimen darah itu perlu diambil semula dan ibu itu perlu pada perkhidmatan makmal swasta. Pembedahan minggu hadapan, mahu tunggu perkhidmatan kerajaan sudah tidak sempat. Ibu yang tidak bekerja dan ayah sebagai seorang buruh kasar. Ibu kata, baru je berhabis untuk belanja sekolah tapi nak buat macam mana doktor, nak tak nak terpaksa juga cari duit.
Dan tika itu, jauh di sudut mata saya, terlihat satu pasangan di kaunter sedang bercakap dengan jururawat. Dari pemakaiannya, kita tahu mereka itu orang berada. Lontaran kata yang sungguh angkuh, hanya untuk bertanya kenapa tarikh temujanji mereka tidak boleh dipercepatkan.
Kadang-kadang kita tidak sedar betapa mewah dan senangnya kehidupan kita. Tapi lumrah manusia, sentiasa tidak pernah cukup. Walaupun sudah cukup, masih lagi mahu mendesak untuk dapatkan perkara yang kita rasa kita ada hak ke atasnya. Sedangkan masih ramai lagi yang turut punya hak yang sama. Yang lebih memerlukan dari kita.
Tetapi dunia tetap dunia. Ia tidak akan pernah adil.
No comments:
Post a Comment