Monday, 29 January 2018

TRIVIA BEG SANDANG DAN APAI TUN JUGAH



BEG sandang sudah menjadi salah satu fesyen anak muda masakini. Ada pelbagai cara mereka menggayakannya malah jenama beg juga tidak kurang yang hebat. 

Tahukah anda Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng atau lebih dikenali sebagai Tun Jugah adalah rakyat Malaysia pertama yang memperkenalkan dan membawa trend beg sandang di Malaysia. Apa yang menariknya trend memakai beg sandang terus popular sehingga sekarang dan menjadi satu ikutan. 

Gambar yang ditunjukkan merupakan rombongan penjawat awam Kerajaan Koloni Mahkota Sarawak British dalam persediaan untuk berlepas ke United Kingdom bersempena pertabalan Queen Elizabeth sekitar tahun 1950an. 


Saturday, 27 January 2018

MYDIN PETRA JAYA DAN ROTI GARDENIA


SEMALAM menyaksikan perasmian cawangan ketiga untuk Mydin Hypermarket di Sarawak iaitu kali ini di Petra Jaya.   Pembukaannya sudah tentu dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan sekitar Petra Jaya dengan harganya yang agak berpatutan berbanding pasaraya yang lain.  

Dalam pada itu sudah menjadi lumrah bagi rakyat Sarawak yang berkunjung ke Semenanjung Malaysia seringkali akan memborong roti gardenia yang dijual di sana buat ole-ole memandangkan ianya langsung tidak dijual di Sarawak.  Namun sekarang tidaklah perlu lagi berbuat demikian kerana untuk cawangan ketiga Mydin Hypermart turut menjual roti gardenia ini di pasaraya mereka. 

Tuesday, 23 January 2018

AMUKAN CINTA TIDAK KESAMPAIAN


DEK kerana cintanya tidak dibalas, seorang lelaki berusia 19 tahun nekad untuk mencederakan seorang wanita berusia 18 tahun di kediaman keluarga mangsa di Limbang, Sarawak pada Ahad lepas. Difahamkan mangsa telah ditumbuk, dicekik, ditampar malah turut ditendang.

Menurut sumber, mangsa adalah bekas teman wanita lelaki tersebut tetapi hubungan mereka putus ditengah jalan. Mungkin kerana masih menyintai bekas kekasihnya, lelaki itu tidak dapat menerima hakikat hubungan mereka tidak mampu dijernihkan kembali.

Mangsa telah dirujuk ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan kesihatan sementara suspek masih lagi bebas dan sedang dicari polis.

Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Tiada paksaan di dalam bercinta.

Monday, 22 January 2018

KOS PEMBINAAN LRT DI SARAWAK JAUH LEBIH MURAH


TATKALA pembangkang di Sarawak mula mempersoalkan kos pembinaan LRT yang akan menjadi antara misi dan visi Kerajaan Sarawak di dalam menaiktaraf sistem pengangkutan awam di Sarawak iaitu mengkhusus untuk Kuching, Serian dan Samarahan, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg menempelak dakwaan mereka.  
Bercakap di ketika perasmian Mesyuarat PBB Zone 2 di Kota Samarahan Civic Centre 2 hari lepas, beliau menyatakan segala hal mengenai pembinaan LRT di Sarawak akan dimuktamadkan menjelang Mac 2018 ini.  Menurut beliau banyak cara untuk mengurangkan kos pembinaan seperti penggunaan Lokomotif berhidrogen malah pembinaannya juga tidak perlu menyamai bentuk yang dibina di Semenanjung Malaysia.  
Jadi tidaklah perlu untuk memperkecilkan impian rakyat Sarawak dan sabarlah kita menunggu penghasilannya kelak.  

Friday, 12 January 2018

SETAHUN SEBAGAI KETUA MENTERI KE-6 SARAWAK


PADA tanggal 13 Januari 2017, seorang ahli politik yang cukup lama bergelumang di dalam dunia politik Sarawak telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang ke-6 selepas pemergiaan Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem. Beliau yang dimaksudkan adalah Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg atau lebih dikenali sebagai Abang Jo dikalangan masyarakat Sarawak.

Pada usia 66 tahun ketika itu, beliau telah mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Pehin Sri Tun Haji Abdul Taib bin Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak. Pemilihan Abang Jo sebagai Ketua Menteri Sarawak adalah berdasarkan kepada sistem Kaukus iaitu satu sistem yang telah diamalkan sejak di tahun 2002 lagi. Ianya dianggotai oleh kesemua kesemua wakil rakyatnya (Anggota-anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) serta senator, yang bermesyuarat bagi mencari calon terbaik dalam kalangan mereka tanpa bergantung kepada hierarki parti.

Walau baru memegang tampuk kepimpinan No. 1 Sarawak, CM Abang Jo nampaknya telah mula mengembleng tenaganya dengan beberapa penambaikan di dalam misi dan visi Sarawak seperti E-digital yang sudah mula meresapi perkhidmatan Kerajaan Sarawak sekarang. Selain daripada itu tanpa berlengah juga, beliau turut terus menyambung segala perjuangan yang belum selesai oleh Allahyarham Toknan sebelumnya.

Semoga diberikan kesihatan yang baik dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik di dalam menjadikan Sarawak lebih baik dari sebelumnya. Selamat Maju Jaya DP Abang Jo.

Wednesday, 10 January 2018

ANAK SARAWAK PERTAMA MENJAWAT TKS KEMENTERIAN LUAR NEGARA MALAYSIA


TUGASAN di Kementerian Luar Negara Malaysia sudah tentu menuntut penjawat yang berwibawa lebih-lebih lagi di dalam memperkatakan diplomasi antara Malaysia dengan negara-negara di dunia. Dan sejarah tercipta pada hari ini apabila seorang anak Sarawak buat julung-julung kalinya telah dilantik untuk memimpin salah satu jawatan ekskutif iaitu sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Pelbagai Hala Malaysia.  

Dato’ Kennedy Jawan, seorang anak Iban berasal dari Sungai Assan, Sibu dan merupakan bekas pelajar Sekolah Methodist memulakan kariernya sebagai PTD di Kementerian Luar Negara pada tahun 1988.  Beliau mempunyai pengalaman luas di hal ehwal luar negara dan pernah bertugas di banyak negara sebelum ini.  

Tahniah diucapkan kepada Dato’ Kennedy Jawan atas perlantikan dan semoga teruslah berkhidmat dengan jayanya demi Sarawak dan Negara Malaysia.  Syabas.

Tuesday, 9 January 2018

MAYAT PELAJAR DI DALAM BONET KERETA





DRAMA kejar mengejar antara unit peronda MPV IPD Miri dengan sebuah kenderaan akhirnya berjaya membongkar satu kes bunuh semalam (9.1.2018) iaitu kira-kira jam 5.00 petang. Terdahulu daripada itu difahamkan kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki itu cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa oleh anggota polis namun akhirnya berjaya disekat di Miri Port, Kuala Baram.  

Bertindak daripada itu, pihak anggota MPV telah memeriksa bahagian bonet kereta tersebut yang akhirnya mendapati terdapat satu mayat seorang pelajar sekolah yang masih berpakaian seragam sekolah di dalamnya.  Menurut siasatan awal mendapati bahawa suspek yang bernama Yap Kak Min, berusia 33 tahun dan berkerja di sebuah kilang di Miri mengaku bahawa beliau telah mencekik mangsa sehingga mati iaitu anak kepada teman wanitanya di sebuah rumah tidak beralamat di Miri.   

Suspek telah ditahan oleh anggota polis manakala mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan susulan.