Monday, 14 February 2022

79 ADUN SARAWAK ANGKAT SUMPAH, 3 TIDAK HADIR

 



MAKA bermulalah era baru di dalam barisan Ahli Dewan Negeri Sarawak bagi tahun 2022 apabila pada hari ini 14 Februari 2022, istiadat angkat sumpah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.  Majlis angkat sumpah didahului oleh Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari yakni ADUN Gedong dan diikuti oleh adun-adun yang lain.  Dalam pada itu, hanya 79 ADUN yang hadir manakala tiga lagi tidak dapat menghadirkan diri kerana masih menjalani kuarantin.  Mereka adalah YB Datu Len Talif Salleh, ADUN Kuala Rajang; YB Datuk Sebastian Ting, ADUN Piasau dan Dato’ Sri Huong Tiong Sii, ADUN Repok. 

Persidangan DUN Sarawak khas dijadualkan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada hari ini 14 Februari 2022 hingga 16 Februari 2022.  Tiada acara perasmian diadakan namun begitu ada lima usul pindaan yang akan diketengahkan termasuk penjenamaan semula jawatan Ketua Menteri kepada *Premier” dan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri. 

#redparrot


Saturday, 12 February 2022

PINDAAN PERLEMBAGAAN MA63 BERKUATKUASA HARI INI, 12 FEBRUARI 2022

 


SETELAH mengharungi ranjau nan berduri sejak PH berkuasa dan kemudian apabila Kerajaan Persekutuan bertukar tangan akhirnya pindaan perlembagaan MA63 yang menjadi perjuanganan Sabah Sarawak dapat dilakukan di Parlimen dengan sokongan 199 ahli iaitu melebihi majoriti dua per tiga.  Pada tanggal 19 Januari 2022 pula ianya telah mendapat perkenan dari YDP Agong lantas diwartakan oleh kerajaan pada 25 Januari 2022.  Dan pada hari ini, 12 Februari 2022 pindaan perlembagaan tersebut sudahpun berkuatkuasa.

Akta pindaan berkenaan adalah merangkumi Perkara 1(2), 160(2) adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.  Perkara 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang negeri Sarawak itu sendiri.   Itulah yang diperjelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) iaitu Dato Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. 

 

Pautan berita penuh:

https://www.utusan.com.my/terkini/2022/02/pindaan-perlembagaan-ma63-berkuat-kuasa-hari-ini/

 

Sesungguhnya kejayaan pindaan RRU ini serta ianya sudah dikuatkuasakan merupakan satu kejayaan besar serta sinonim dengan perjuangan rakyat di Sarawak dan Sabah.  Bagaimana terma gelarannya nanti akan diperjelaskan apabila Dewan Undangan Negeri di kedua-dua wilayah itu bersidang kelak.  Negara, negeri atau wilayah? Sama-sama kita nantikan.

 

Nyiur gading puncak mahligai

Sayang ketupat berisik inti

Hancur badan tulabng berkecai

Belum dapat, belum kamek berenti.

 

#redparrot

Friday, 11 February 2022

DATO' IDRIS - DARI SARAWAK BORDER SCOUTS KE TIMBALAN SPEAKER DUNS


SARAWAK Bumi Kenyalang telah menerima Timbalan Speaker yang baharu hari ini setelah jawatan tersebut dikosongkan berikutan mantan Timbalan Speaker iaitu YB Dato Gerawat Jala dilantik sebagai Menteri Muda dalam barisan Kabinet Sarawak baru-baru ini. Baru sebentar tadi Timbalan Speaker yang baru dilantik iaitu Dato' Idris bin Haji Buang mengangkat sumpah jawatan di hadapan TYT Sarawak, Tun Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.

Dato' Idris, 68 tahun bukanlah satu nama yang asing di dalam dunia politik Sarawak kerana beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang sejak di tahun 2016 lagi. Pada PRN Sarawak ke-12 tahun lepas, beliau mempertahankan kerusi Muara Tuang atas tiket GPS di dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau yang dilahirkan pada 10 Mei 1954 di Kuching, Sarawak mendapat pendidikan di Sekolah St. Thomas. Berasal dari keluarga polis, jadi tidaklah menghairankan setelah menamatkan pendidikan telah memilih kerjaya Sarawak Border Scouts ditambahlagi beliau mendapat galakan sepenuhnya dari ayahandanya iaitu Allahyarham Haji Buang yang merupakan penjawat awam iaitu Sarawak Constabulary, pasukan polis yang didirikan ketika era Brooke. Sebagai Border Scouts, Dato' Idris telah terlibat dalam banyak dunia risikan sewaktu komunis bermaharajalela seperti Ops Jala Raja di Samarahan suatu waktu dahulu.
Berdasarkan pengalaman itu, beliau berjaya dipilih ke Polis Diraja Malaysia dengan pangkat Inspektor. Di dalam PDRM, beliau telah didedahkan dengan siasatan dan juga undang-undang. Setelah tujuh tahun menabur bakti sebagai anggota polis akhirnya beliau meninggalkan dunia kepolisian bagi menyambung pengajiann ke luar negara. Setelah empat tahun berkelana di England akhirnya beliau berjaya membawa pulang segulung ijazah yakni Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Barrister of Law dari Lincoln's Inn. Tatkala pulang ke tanahair, beliau terus mengorak langkah sebagai seorang Peguam dan berjaya membuka firma guamannya sendiri iaitu Idris Buang Advocates. Firma guamannya kekal aktif sehingga sekarang.
Pada tahun 1985, Dato' Idris telah berjinak-jinak di dalam politik dengan menganggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. Sepanjang penglibatannya banyak jawatan penting telah beliau lakukan seperti Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak pada masa itu Tun Pehin Seri Taib Mahmud, Timbalan Ketua Pemuda PBB, Ahli Majlis Tertinggi PBB dan Ketua Penerangan PBB.
Melihat kepada keupayaan perundangannya dan pengalaman yang luas dalam selok-belok politik, Dato Idris telah menjadi sembilan kali 'Election Agent" kepada Tun Pehin Seri Taib iaitu lima kali bagi PRU dan empat kali untuk PRN. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara selama dua penggal berturut-turut. Sejak dahulu lagi, Dato Idris merupakan salah seorang barisan peguam bagi PBB dan GPS maka beliau juga adalah salah seorang ADUN yang dilantik untuk menjadi Ahli Perundangan MA63 Sarawak.
Melihat kepada trek rekod perjuangan politik serta kelantangan Dato Idris di dalam perundangan maka tidak keterlaluan penulis menyatakan bahawa perlantikan beliau sebagai Timbalan Speaker adalah sesuatu yang tepat oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari. Dewan Undangan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Datuk Amar Mohamad Asfia perlukan 'orang kanan' yang lantang dan peka perundangan Sarawak seperti Datuk Amar di dalam memastikan perundangan DUNS akan dijaga dan dimartabatkan.
Sekalong tahniah YB Dato' Idris bin Haji Buang atas perlantikan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak. Semoga terus berkhidmat dengan jayanya untuk ibu pertiwi tercinta, Sarawak Bumi Kenyalang.

Tuesday, 8 February 2022

KERUSI PARLIMEN PUNCAK BORNEO MILIK GPS, TIADA KOMPROMI




MENJENGAH tahun 2022 maka bermulalah bicara politik PRU ke-14 pula. Bagi dunia politik di Sarawak yang akan banyak diperkata merupakan bagaimana pengagihan kerusi nanti kerana ada beberapa kerusi Parlimen sebelumnya kepunyaan PKR sewaktu menang namun akibat perpecahan maka Ahli Parlimen PKR telah berubah angin memihak kepada PPBM pula.  Dengan GPS merupakan rakan menyokong untuk Perikatan Nasional terus kekal memerintah Malaysia dan PPBM juga adalah salah satu rakan PN jadi sudah tentu kerusi Parlimen itu akan menjadi rebutan.

Biar gendang PRU ke-14 belum dipalu namun awal-awal lagi di pihak GPS sudah ada yang melaungkan untuk tidak memberi muka mengenai pengagihan kerusi.  Dr. Jerip yang merupakan ADUN Mambong telah awal-awal memberitahu bahawa kerusi Parlimen Puncak Borneo adalah untuk GPS melalui parti gabungannya PBB dan tiada kompromi akan hal itu. 

Pautan berita penuh: 

https://dayakdaily.com/parlimen-puncak-borneo-milik-gps-tiada-kompromi/?fbclid=IwAR1roBgbbpiOWfa6sMHQ8K9VDkM96I9lp59EA71v3fvh4BpEno3aXN7HYjE

Untuk rekod, penyandang Parlimen Puncak Borneo sekarang adalah Datuk Willie Mongin yang merupakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan BN dan STAR pada PRU ke-13.  Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, Datuk Willie adalah penyokong kuat ke atas calon-calon GPS di tiga DUN Parlimen Puncak Borneo iaitu Mambong, Tarat dan Serembu.  Perkembangan kerusi Parlimen ini sudah tentu amat menarik untuk kita ikuti kelak.  


#redparrot 
#teamGPS 



MP KOTA SAMARAHAN TERIMA PINGAT DARI YDPA


SEKALONG tahniah diucapkan kepada YB Datuk Hajjah Rubiah Wang, Ahli Parlimen Kota Samarahan diatas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W)) yang membawa gelaran Datuk. Pingat dianugerahkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada Selasa, 8 Februari 2022 di Kuala Lumpur.


#redparrot

#teamGPS

Wednesday, 9 September 2020

PROJEK JALAN JIWA MURNI BUKAN DIBAWAH BIDANGKUASA KERAJAAN NEGERI SARAWAK

DUA hari yang lepas menyaksikan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia telah mengumumkan penangkapan dua orang kontraktor yang didakwa mempunyai perkaitan dengan projek infrastruktur 10 jalan “jiwa murni” dibawah Kementerian Pertahanan di Miri, Ba Kelalan, Limbang, Kapit dan belaga. Ianya melibatkan jumlah sebanyak RM800 juta. Serentak dengan penangkapan itu juga maka berbonong-bononglah pembangkang menjaja cerita palsu seperti kebiasaannya tanpa mengetahui hujung pangkal cerita dengan mengaitkan sekali projek tersebut dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang konon-kononnya menganugerahkan projek tersebut kepada kontraktor tertentu.  

Hakikatnya setiap projek infrastruktur jalan dibawah Program Jiwa Murni langsung tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri Sarawak baik dari segi peruntukan, kos mahupun penganugerahan projek.  Ianya tidak dibawah jurisdiksi Jabatan Kerja Raya sekalipun malahan segalanya dibawah Kementerian Pertahanan Malaysia.  Hal ini disahkan oleh Tan Sri James Jemut Masing yang merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak sewaktu sidang medianya semalam.

Rujukan: dayakdaily.com bertarikh 9.9.2020 - Sarawak govt has no connection to Jiwa Murni roads: Masing

Jadi kepada mereka yang asyik meratib fitnah demi survival politik mereka dengan terus-terusan menyalahkan Kerajaan Negeri Sarawak diharap fahamilah dahulu prosedur tentang sesuatu projek yang dilaksanakan di Sarawak.  Bukan semua dibawah kawalan Kerajaan Negeri kerana Kerajaan Malaysia di peringkat Persekutuan turut mempunyai banyak dana dari kementerian-kementerian lain bagi membantu perlaksanaan projek infrastruktur di kawasan pedalaman Sarawak.  

Kita sebagai rakyat Sarawak sebenarnya begitu kecewa kerana ada dikalangan rakyat Sarawak sendiri yang sudah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan projek sanggup menjadi petualang anak negeri hanya kerana wang ringgit.  Sama-samalah kita tunggu segala cerita penyelewengan ini daripada siasatan SPRM kelak.  

#teamGPS
#iamSarawakian
#SarawakkuSayang 

Tuesday, 8 September 2020

SAYA CUMA MAHU SUPP DAN PSB BERDAMAI - CM ABG JO


DALAM satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu ADUN Bawang Assan, Datuk Wong Soon Koh pada tanggal 7 September 2020 menyatakan bahawa Datuk Patinggi Abang Johari ketika PSB ditubuhkan merupakan antara individu yang menyokong kuat penubuhan PSB pada waktu itu setelah WSK dan beberapa wakil rakyat SUPP keluar SUPP dan membentuk UPP.  Pada waktu itu CM Abang Jo adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak.  Malah dakwa WSK lagi bahawa perletakan jawatan WSK sebagai Menteri Kewangan Sarawak adalah kerana “dipaksa” dan CM Abang Jo mengetahui akan cerita sebenarnya.  

 Rujuk Borneo Post 7 Septermber 2020; Abang Johari Backed PSB Formation Soon Koh Recalls After CM Criticises Party

Bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh WSK itu, satu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh CM Abang Jo pada 8 September 2020 kerana menurut beliau apa yang dilontarkan oleh WSK itu tidak menceritakan hal yang sebenar-benarnya.  

Menurut CM Abang Jo menyatakan selepas PRN 2011, SUPP mengalami krisis kepimpinan yang mana menyaksikan SUPP telah terbahagi kepada dua pasukan yang berbeza.  Atas nama semangat satu pasukan pada masa itu Barisan Nasional telah memutuskan untuk krisis SUPP harus diselesaikan secara pendamaian antara ahli di dalam parti itu sendiri dengan BN Sarawak tidak akan mencampuri urusan dalam parti komponen.  

Klimaks kepada krisis SUPP itu akhirnya membawa kepada WSK dan kumpulannya di dalam SUPP telah dipecat namun begitu BN Sarawak tetap mengekalkan mereka di dalam kabinet Kerajaan Negeri Sarawak pada waktu itu.  Apa yang menjadi keutaman oleh Kerajaan pada waktu itu adalah bagi memastikan bahawa suara Kaum Cina Sarawak terus ada di dalam pemerintahan Negeri Sarawak.  Menurut CM Abang Jo lagi bayangkan ketika era pemerintahan Pehin Sri Adenan Satem, kumpulan WSK masih lagi dibenarkan menggunakan simbol dacing BN ketika bertanding biarpun mereka tidak lagi bersama di dalam BN Sarawak (dikenali dengan nama BN Plus) dan ianya sebulat suara diterima atas hal yang sama iaitu menyatukan kaum Cina Sarawak dan membolehkan wakil mereka mengambil bahagian di dalam pemerintahan yang sedia ada.  

Dan atas semangat itu juga atas arahan CM Toknan pada masa itu, CM Abang Jo yang merupakan Timbalan CM telah merasmikan perlancaran UPP yang kemudiannya turut melancarkan UPP ke PSB pada waktu itu.

Tatkala pemerintahan diambilalih oleh CM Abang Jo, beliau meneruskan dasar BN Plus yang mana mengekalkan WSK sebagai menteri.  Ini semua dilakukan agar SUPP dan PSB diberi masa untuk mencari jalan penyelesaian iaitu BERDAMAI.  Namun begitu setelah melihat PSB mula menerima wakil-wakil dari parti komponen GPS ini sesungguhnya tidak boleh diterima kerana sudah menganggu dasar semangat berpasukan di dalam GPS.  Dan aktiviti PSB itu sudah cukup menjadi bukti bahawa mereka langsung sebenarnya tidak mahu menyatukan kaum Cina dan berdamai sebaliknya ingin melawan Gabungan Parti Sarawak dan inilah yang membawa kepada perletakan jawatan WSK di dalam kabinet Sarawak.   

Rujuk: Kenyataan Media Ketua Menteri Sarawak bertarikh 8 September 2020

Niat murni Allahyarham CM Toknan yang kemudiannya diteruskan oleh CM Abang Jo apabila berbicara soal anggota serpihan SUPP yang sekarang menjadi PSB mungkin sudah cukup jelas tidak akan kesampaian sampai bila-bila.  Sebagai satu pasukan GPS yang dianggotai oleh SUPP, PRS, PBB dan PDP harus mengutamakan perpaduan dan andainya ada individu politik yang “makan kawan” sememangnya harus disingkirkan. WSK seharusnya menerima bahawa ini jalan yang PSB pilih dan tidak perlu untuk memutarkan kenyataan yang beliau sendiri sudah tahu puncanya.  

Mana-mana individu politik yang menjadi “gunting di dalam lipatan” dan “musuh di dalam selimut” begitu bahaya untuk disimpan di dalam mana-mana parti politik lebih-lebih lagi yang berbentuk gabungan.  

#teamGPS #IamSarawakian #SarawakkuSayang