Thursday, 13 December 2018

PENGGUNAAN SLIP KERTAS PUTIH IMIGRESEN SARAWAK ITU “HARAM”!


DALAM dua hari ini tular mengenai penggunaan passport dan kertas slip putih yang menjadi antara hak autonomi Imigresen Sarawak jika ingin melawat Sarawak bagi rakyat Malaysia. Difahamkan kesedaran mengenai “salahlaku” penggunaan kertas slip putih bagi rakyat Malaysia bukan warga Sarawak memasuki Sarawak dengan diberikan kertas slip putih bermula apabila seorang warga netizen memuatnaik statusnya di laman mukabuka sebelumnya.  

Terpanggil menjawab segala yang dirasakan agak bercanggah dengan proses yang sepatutnya, seorang menteri kanan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk James Jemut Masing tegas menyatakan bahawa penggunaan pasport hendaklah digunapakai semula.  Dan kenyataan itu adalah seperti di dalam pautan ini:


Dalam pada itu adalah difahamkan bahawasanya penggunaan slip kertas putih diberikan kepada rakyat Malaysia bukan warga Sarawak bermula sekitar tahun 1986 iaitu pada ketika itu adanya kemudahan Feri Malaysia yang belayar dari Malaya ke Sarawak dan Sabah.  Dan turut dinyatakan bahawa ianya dibuat sedemikian rupa bagi menggalakkan industri pelancongan tempatan pada masa itu kerana tidak mahu membebankan rakyat Malaysia yang perlu untuk mempunyai pasport jika ingin memasuki Sarawak pada ketika itu.  Dengan hanya memberikan kad pengenalan Malaysia sewaktu di pintu masuk maka satu slip putih akan diberikan kepada yang bukan warga Sarawak yang mana mempunyai tempoh-tempoh tertentu untuk berada di Sarawak.  Dan ianya digunapakai sehingga ke hari ini.  

Apa yang memusykilkan, sekiranya penggunaan slip kertas putih ini digunapakai selama hari ini TIDAKKAH ianya melanggar kuasa autonomi Imigresen Sarawak yang mana sudah tercatit proses penggunaan passport seperti yang tertera di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ditambahlagi mana mungkin atas sebab-sebab tertentu ianya secara sengaja atau tidak sengaja diubah mahupun dipinda isi kandungan dan pautannya kerana Perjanjian Malaysia 1963 itu sendiri adalah satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tanggal 21 September 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.  

Dan lagi tambah memeningkan kepala selama ianya berlangsung TIDAK PERNAH pindaan ini diwar-warkan kepada rakyat Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya kerana ia hanya melibatkan pihak Imigresen dan kerajaan sahaja.  Dari tahun 1986 sehinggalah ke hari ini tiada bukti Hansard Parlimen mahupun usul Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyentuh hal tersebut.  

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa pindaan menggunakan slip kertas putih dari pasport Malaysia adalah satu yang HARAM dari segi undang-undang.  Jadi andaikata ramai rakyat Sarawak mahukan ianya digunapakai semula ada kebenarannya kerana kita menyentuh soal autonomi yang cukup jelas disebutkan di dalam roh penubuhan Malaysia yang dibentuk oleh Malaya, Sabah dan Sarawak (setelah Singapura menarik diri pada tahun 1965).  

Jangan dipandang sebelah mata atas hal ini kerana kita sedia maklum banyak pindaan-pindaan yang dibuat tidak sama seperti asal perjanjian. Dahulu mungkin rakyat Sarawak alpa namun sekarang kita cukup jelas hak-hak kita. Ahli politik Sarawak samada dari parti pemerintah atau pembangkang harus memainkan peranan mereka untuk mengembalikan ia seperti asalnya walau apa jua alasan. Manakala di pihak persekutuan pula dituntut untuk memulangkannya jika benar-benar menyatakan akan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 yang asal.  Undang-undang itu tetap undang-undang. Jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali.

-RP- 

No comments:

Post a Comment