Thursday, 20 December 2018

SARAWAK SEBAGAI MEDAN DAKWAH???



BEBERAPA hari yang lepas, Menteri Pendidikan Malaysia iaitu Dr. Mazlee Malik mengeluarkan kenyataan bagaimana seorang guru itu turut bertindak sebagai pengantara medan dakwah di dalam tugasannya.  Ianya dikeluarkan bagi menjawab sessi di dewan rakyat yang mana berkisar kepada persoalan kekurangan guru-guru agama di sekolah-sekolah di Sarawak dek kerana ramai guru berasal dari Semenanjung Malaysia memohon untuk berpindah.

Tindakan Dr Mazlee yang tampil dengan respons sebegitu rupa akhirnya memakan diri sendiri kerana rakyat Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik menyelar beliau kerana langsung tidak memahami sensitiviti kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak.  Dan tatkala menerima banyak respons negatif, sekali lagi Dr. Mazlee tampil dengan kenyataan “pusingan U” bagi mempertahankan dirinya bahawa apa yang dimaksudkan sebagai medan dakwah itu adalah guru-guru menjadi pengantara kepada kebaikan dan bukan sama sekali untuk menyerap dan mempengaruhi pelajar-pelajar memeluk Islam.

Hakikatnya biar apa jua alasan Dr. Mazlee waima kesalahan intepretasi menurut beliau adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.  Ini kerana perkara ini timbul tatkala kita berbicara mengenai kekurangan guru agama dan sekiranya rakyat Sarawak mempunyai kefahaman mengenai “medan dakwah” itu sudah tentu berkisar tentang dakwah-dakwah agama Islam.  Dr. Mazlee seharusnya peka dengan setiap butir bicaranya demi menjaga keharmonian Sarawak yang pelbagai kaum dan agama di Sarawak.  

Mungkin Dr. Mazlee kurang jelas bahawasanya di Sarawak TIADA AGAMA RASMI di dalam perlembagaannya yang berlainan sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.  Natijah dari setiap bicara seorang Menteri Pendidikan mungkin akan memberi impak kepada sekolah-sekolah kerajaan selepas ini kerana adanya ketakutan di kalangan ibubapa untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan kerana akan dipengaruhi untuk memeluk Islam.

Sebagai seorang yang terpelajar dan lebih-lebih lagi seorang berpangkat Menteri Pendidikan harus peka dengan sensitiviti rakyat.  Adalah dinasihatkan agar Dr. Mazlee merujuk kembali Manifesto PH pada PRU lepas iaitu Manifesto ke 43 yang cukup jelas menyatakan bahawa Kerajaan PH sekiranya berkuasa akan terus menghormati kebebasan beragama di Sarawak.  

Cakap siang, pandang-pandang dan cakap malam, dengar-dengar wahai Dr. Mazlee.  Rakyat Sarawak lebih mengutamakan keharmonian daripada segalanya yang sehingga ke hari ini cukup sukar untuk diganggugugat seperti tempat lain di Malaysia.  Cubit paha kiri, seluruh peha kanan rakyat Sarawak terasa. Ingat itu!


No comments:

Post a Comment