Tuesday, 7 June 2016

AEON CENTRAL PARK, KUCHING


NAMPAK gayanya Bandaraya Kuching akan dilimpahi dengan gedung-gedung membeli belah di segenap pelusuk kawasannya.  The Spring, The Boulevard dan tidak lama lagi pula akan megah berdiri AEON Central Park. 

AEON bukanlah satu nama yang asing di Malaysia tetapi inilah kali pertama ianya membuka cawangannya di Kuching, Sarawak.  Projek pembinaan cawangan sulungnya di Sarawak sedang rancak sekarang dengan lokasinya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (Jalan Keretapi). 

Dan dinyatakan juga usai pembinaan AEON Central Park Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce nanti, pihak pengurusan AEON juga akan mula membina cawangan keduanya yang lokasinya adalah di kawasan Tabuan Jaya. 

Projek pembinaannya AEON Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang bermula sekitar Ogos 2015 dijangka siap pada 2Q 2017 nanti. 

Dengan pertambahan gedung-gedung ternama di Kuching ini bermakna semakin banyaklah pilihan warga Sarawak untuk membeli belah kelak.

82 ADUN SARAWAK ANGKAT SUMPAH JAWATAN


SEMALAM, 7hb Jun 2016 berlangsung majlis mengangkat sumpah jawatan untuk 82 Adun Sarawak yang baharu.  Dengan itu ianya menandakan pentadbiran Kerajaan Sarawak yang lebih kukuh dibawah kepimpinan Datuk Adenan yang mendapat mandat besar pada pilihanraya yang berlangsung pada 7hb Mei 2016 dengan kemenangan 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. 

Kesemua 82 Adun mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sarawak iaitu Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.  Usai majlis angkat sumpah jawatan ini maka ianya juga bermakna penggal baharu persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak juga akan turut bermula pada hari ini 8 Jun sehinggalah berakhir pada 15hb Jun kelak. 

Majlis perasmian penggal baharu DUN Sarawak ini akan dirasmikan oleh Tuan Gabenor Sarawak iaitu Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud pada pagi ini bermula dengan majlis kawalan dan perbarisan hormat di perkarangan luar DUN Sarawak.

Tahniah untuk kesemua 82 ADUN Sarawak dan semoga terus berbakti untuk rakyat dan Sarawak.   

Sunday, 5 June 2016

“BUBUR PEDAS” MENU ISTIMEWA ‘BERSUNGKEI’ DI SARAWAK

BERSUNGKEI bagi orang Sarawak ataupun berbuka puasa ataupun iftar di dalam bahasa Malaysia standard adalah merujuk terma yang membolehkan orang Islam makan dan minum setelah seharian menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan. Dan apabila berbicara makan dan minum di bulan Ramadhan sudah tentu menu yang sinonim atau wajib adalah adalah satu menu makanan yang dinamakan Bubur Pedas.  
Uniknya menu tradisional bubur pedas adalah ianya tidak ada memang di mana-mana negeri di Malaysia selain daripada Sarawak. Hanya namanya sahaja bubur pedas tetapi jika merasainya ianya langsung tidak pedas. Bubur pedas ini agak unik sekali kerana ianya diperbuat daripada rempah khas bubur pedas yang dipanggil “Bumbu Bubur Pedas”. 
Penyediaan Bubur Pedas tidaklah begitu merumitkan kerana dengan adanya Bumbu segalanya telah dipermudahkan. Kelazatan bubur pedas akan lebih terserlah jika disediakan bersama-sama dengan kulit lembu yang sudah dikeringkan kemudian dipotong halus-halus ataupun dipanggil “Kerapen” di dalam bahasa Melayu Sarawak. 
Tidak lupa juga apalah makna Bubur Pedas jika tidak dicampur dengan sayur-sayuran ulam-ulaman seperti pucuk singkel, daun kunyit, pucuk ubi bagi menambahkan keasliannya. Apa yang pasti segala isi kandungan bagi pembuatan Bubur Pedas ini telah dibuktikan mempunyai pelbagai khasiat dan vitamin bagi mengembalikan stamina setelah seharian menahan lapar dan dahaga. 
Jika sudah satu pulau maka menu juga akan turut ada persamaan dan begitu juga Bubur Pedas kerana dikatakan perkaitan sejarah antara masyarakat Melayu Sambas mahupun di Pontianak dengan masyarakat Melayu Sarawak menyebabkan ianya berkongsi menu yang sama. Malah di wilayah inilah sebenarnya bubur pedas ini berasal cuma bezanya mungkin sebutan sahaja serta isi kandungannya namun rasanya tetap sama.  
Inilah ceriteranya menu tradisi Bubur Pedas yang menjadi menu wajib ada sepanjang bulan Ramadhan. Kelazatan dan keenakan memakannya sukar untuk dinyatakan dan bagi yang tidak pernah merasa jangan takut untuk menikmatinya. Dah rasa sekali mesti hendak lagi.

APA SUDAH JADI ESKALATOR AIRPORT MIRI!


KITA berbangga apabila banyak kemudahan awam di lapangan terbang kita setaraf dengan lapangan terbang lain di dunia. Jika dahulu tercungap-cungap menahan nafas hendak menaiki tangga tetapi sekarang segalanya cukup mudah iaitu apabila adanya eskalator selain lif yang disediakan. 
Disebalik cerita-cerita ria itu semua terselit satu cerita kurang enak apabila semalam, eskalator baru di Lapangan Terbang Miri rosak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan beberapa anak tangga terbuka luas. Bayangkan sekiranya ada orang awam yang menggunakannya sudah tentu kecelakaan yang mampu meragut jiwa natijahnya. 
Hal seperti eskalator rosak ini seumpama cerita biasa bagi kita di Malaysia. Bukan kali pertama hal mengenai eskalator kecelakaan eskalator ini berlaku dan ianya boleh membuat orangramai trauma dengannya. Yang menjadi persoalan sejauhmana kecekapan kita di dalam memperkatakan aspek keselamatan mengenai liabiliti awam ini. 
Pihak yang berkenaan harus tegas kerana jika ianya dipandang sebelah mata nyawa orang awam jadi taruhannya.


Friday, 3 June 2016

PERGINYA JAGUN TINJU SEPANJANG ZAMAN - Muhammad Ali

TUMBUKAN padunya antara yang paling ditakuti di dalam arena sukan tinju dunia dan beliau diiktiraf sebagai jagoan tinju sepanjang zaman. Cassius Marcellus Clay, Jr itulah nama sebetulnya sebelum memeluk Islam dan dunia mengenalinya sebagai Muhammad Ali “The Champion”.  
Bertarung nyawa hampir lebih kurang 32 tahun dengan penyakit “Parkinson”, akhirnya Muhammad Ali menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 74 tahun hari ini 4 Jun 2016 di Hospital Phoenix, Arizona, USA. Satu kehilangan besar di dalam sukan tinju dunia kerana beliaulah yang banyak menjadi aspirasi anak muda untuk berkecimpung di dalam sukan yang lasak ini.  
Sekarang, legasi kecemerlangan jagoan tinju dunia diteruskan oleh anak perempuan beliau iaitu Laila Ali yang tidak kurang cemerlangnya di dalam sukan tersebut malah diberitakan antara pemangkin menjadikan sukan tinju menjadi lebih professional di Amerika Syarikat.  
Sama-samalah kita berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

RAMADHAN YAA MUBARAK


DENGAN berangkaikan bismillahirrahmanirahim sebagai pembuka kata, kami ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada seluruh muslimin dan muslimat walau dimana jua anda berada.

Thursday, 2 June 2016

TRADISI NGABANG LAMBANG MASYARAKAT SARAWAK YANG HARMONI




MEMANG agak pelik bagi mereka yang diluar sana apabila melihat betapa eratnya toleransi kaum di Sarawak. Manakan tidak dengan lebih daripada 40 etnik yang berbeza-beza baik dari asal keturunan, budaya dan kepercayaan namun ikatan antara orang Sarawak tetap terjaga sehingga ke hari ini.
Perayaan Gawai dirayakan bukan hanya untuk masyarakat Dayak sebaliknya juga adalah perayaan untuk semua dan begitu juga untuk perayaan yang lain. Dan tradisi “Ngabang” sewaktu hari Gawai itu merupakan lambang kepada kesepaduan orang Sarawak di dalam memperkatakan tentang perayaan untuk semua.
Di ketika ngabang, rata-rata tuan rumah sudah memahami apakah yang boleh dan tidak boleh dimakan menurut kepercayaan tetamunya. Hormat menghormati yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat majmuk inilah menjadikan tradisi Ngabang itu menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh setiap orang Sarawak sewaktu Hari Gawai.
Tradisi ngabang lambang masyarakat Sarawak yang harmoni!