Wednesday, 6 September 2017

DUA KERETA BERTEMBUNG PEMANDU PENUMPANG TERSEPIT





SATU kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah sekolah di Petra Jaya pagi ini yang berlaku menjelang subuh ketika ramai yang sedang bersiap sedia untuk ke tempat kerja.  Akibat daripada bunyi hentaman yang kuat menyebabkan penduduk di kawasan sekitar telah berpusu-pusu ke tempat kejadian.

Pertembungan dua buah kereta dari arah bertentangan iaitu kenderaan jenis Toyota Wish dan Perodua Kancil menyaksi tiga orang mangsa telah tersepit di dalam kereta masing-masing.  Tindakan pantas daripada orang awam telah berjaya mengeluarkan salah seorang mangsa iaitu Azie bin Yo (13 tahun) dan terus mengejarkannya ke hospital yang berdekatan.

Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu Maznah binti Mat Said (47 tahun) dan Mohd Haikal bin Yo (11 tahun) dikeluarkan oleh pasukan Bomba yang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.  Ketiga-tiga mereka adalah pemandu dan penumpang kereta jenis Perodua Kancil.

Tuesday, 5 September 2017

LAGI PUING MH37O DITEMUI DI MADAGASCAR


TAHUN 2014 mungkin bukan satu tahun yang baik bagi dunia aero angkasa Malaysia kerana pada tahun itu kita menerima dua perkhabaran buruk hanya selang beberapa bulan sahaja. Pertamanya kehilangan penuh misteri pesawat MH370 pada tanggal 8 Mac 2014 dan kemudiannya kita menerima pula perkhabaran pesawat MH17, satu pesawat komersial yang ditembak jatuh akibat konflik sebuah negara di dunia.  
Cerita pesawat malang MH17 mungkin kita semua sudah tahu sebab musababnya dan usaha untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah dunia sedang diusahakan.  Namun untuk pesawat MH370, misterinya masih lagi cuba dirungkai sehinggalah puing-puing pesawat tersebut beberapa tahun ini ditemui di Madagascar.  
Semalam, Menteri Pengangkutan Malaysia iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan bahawa satu pasukan dari DCA telahpun dihantar ke Madagascar untuk mengenalpasti penemuan baru yang mungkin puing-puing pesawat MH370.  Adalah diharap akan ada titik noktah bagi mengungkap cerita MH370 kerana sudah terlalu lama menunggu untuk satu jawapan yang pasti.  

Saturday, 2 September 2017

JENAZAH L/KOPERAL FREDDIE TIBA DI KPG PLAIE






SUASANA sedih dan pilu mengiringi ketibaan jenazah Mendiang Lans Koperal Freddie Elvis Ligat di kampung halamannya iaitu Kampung Plaie, Kota Samarahan pagi ini. Jenazah mendiang diterbangkan dari Kuala Lumpur selepas diberikan penghormatan mengikut adat istiadat kepolisian di IPD Gombak, tempat mendiang bertugas sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, mendiang terlibat dengan satu kemalangan ketika hendak membuat pusingan U di satu persimpangan di kawasan Batu Caves. Mendiang meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Lans Koperal Freddie Elvis Ligat.

RIP. Amen.

Thursday, 31 August 2017

SALAM AIDILADHA 2017


RASAI pengorbanan, lengkapkan ibadah dengan penuh keikhlasan.

Salam Aidil Adha dari team admin RP. 


ANAK SARIKEI DITEMBAK MATI SEWAKTU BERTUGAS


SEORANG anggota polis, Lans Koperal Valentino anak Mesa yang juga seorang anak Sarawak kelahiran Sarikei telah dijumpai mati di dalam keadaan menyayat hati di Balai Polis Pinggiran USJ, Selangor sekitar jam 3.30 pagi hari ini.  

Dikatakan ketika dijumpai oleh anggota polis yang lain, beliau sudah tidak bernafas lagi dengan ada kesan tetakan di bahagian telinga dan tembakan di bahagian perut mangsanya.  Difahamkan pada waktu itu, Lans Koperal Valentino hanya bertugas keseorangan menjaga Balai Polis Pinggiran iaitu satu balai polis komuniti rakan-rakannya yang lain keluar membuat rondaan.  Setakat ini siasatan masih lagi diteruskan oleh pihak PDRM.  

Sesungguhnya ianya satu berita yang amat menyedihkan bagi kita semua.  Salam takziah untuk keluarga Mendiang Lans Koperal Valentino anak Mesa. RIP.
  

Wednesday, 30 August 2017

PENUTUPAN KL2017: 1 ACARA DWI MISI




SUKAN SEA edisi yang ke-29 baru sahaja melabuhkan tirainya dan serentak dengan itu juga kejayaan manis tercipta apabila Malaysia dinobatkan sebagai Juara Sukan SEA untuk kali ini dengan rekod terbaik iaitu 145 emas yang belum pernah kita perolehi semenjak menyertainya.  Sesuatu yang harus kita banggakan sebagai anak Malaysia kerana hakikatnya kejayaan kejohanan ini terletak pada setiap bahu atlit, sukarelawan, pegawai sukan serta kita sebagai rakyat Malaysia itu sendiri.  

Sukan itu berjaya menyatupadukan kita dan itulah yang tercapai sepanjang kejohanan ini berlangsung di Malaysia.  Rakyat Malaysia yang dari pelbagai kaum dan agama mahupun fahaman politik tetap bersatu menyokong kontinjen Malaysia.  Kalah atau menang itu bukan persoalan kerana itu adat permaian.   Yang penting semangat patriotik itu tetap ada untuk memastikan kita berjuang atas nama Malaysia.  

Atas kejayaan ini juga, hadiah daripada Kerajaan Malaysia untuk rakyat Malaysia turut diumumkan bahawasanya 4hb September 2017 diwartakan sebagai cuti umum untuk Malaysia.  Walau tiada pingat yang dikalongkan di leher rakyat Malaysia namun hadiah “cuti umum” ini cukup bermakna untuk kita semua kerana secara tidak langsung 31 Ogos (Hari Kebangsaan), 1 September (Sambutan Hariraya Aidiladha) adalah cuti umum dan ditambahlagi hari Isnin depan makanya cuti panjang untuk kita semua.  

Satu acara penutup yang penuh warna-warni dan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia turut menghiasi segmen akhirnya. Satu acara dwi misinya.

Syabas dan Tahniah Malaysia dan Salam Hari Kebangsaan Malaysia, 31 Ogos.

#bangkitbersama
#kitasamahero
#sejarahtercipta

Monday, 28 August 2017

KL2017: MISI 111 EMAS TERCAPAI MALAYSIA JUARA





WALAU di dalam tempoh 48 jam lagi barulah Sukan SEA ke-29 bakal melabuhkan tirainya namun Kontinjen Malaysia malah rakyat Malaysia sudahpun merayakan kejayaannya apabila tepat jam 10.34 malam tadi, jaguan acara keirin yang juga juara dunia Malaysia iaitu Azizul Hasni Awang menganugerahkan pingat emas yang ke 111 kepada kita semua.  

Kejayaan manis ini sekaligus menandakan bahawa misi dan visi Malaysia tercapai apabila sasaran 111 emas Sukan SEA 2017 ini menyamai pencapaian Malaysia sewaktu menjadi tuan rumah pada tahun 2001.  Dan jika diperhitungkan kepada jumlah acara yang berbaki juga noktah perjuangan kontinjen Malaysia memburu emas masih lagi belum selesai dan ianya juga satu bonus untuk kita semua.  

Dan dengan negara-negara yang lain masih lagi dengan jumlah pingat yang berkurangan bermakna Malaysia bolehlah dikatakan sudahpun menjadi Juara Keseluruhan pada temasya dwi-tahunan ini untuk edisi ke-29.  

Tahniah dan Syabas Kontinjen Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia.  


#bangkitbersama
#kitasamahero
#MalaysiaJuaraSukanSEA2017