Monday, 23 April 2018

PENYANDANG PARLIMEN P218 SIBUTI MOHON TIDAK BERTANDING


MENJELANG hari penamaan calon pada tanggal 28 April 2018, selepas penyandang Parlimen Tanjung Manis iaitu Puan Norah Abdul Rahman, kem PBB salah satu komponen Barisan Nasional Sarawak terus dikejutkan dengan penarikan diri penyandang Parlimen 218 Sibuti hari ini.
Pada kali ini giliran Datuk Haji Ahmad Lai Bujang pula yang mengwar-warkan secara terbuka untuk menarik diri dari mempertahankan Parlimen Sibuti yang telah diwakilinya sejak di tahun 2008. Seperti juga penyandang Parlimen Tanjung Manis, beliau turut memberikan alasan bahawa pengundurannya adalah atas faktor-faktor kesihatan.
Suka atau tidak, rakyat di Parlimen Sibuti dan seluruh jentera BN Sarawak terpaksa akur dengan keputusan beliau. Dan terserahlah kepada budi bicara Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB serta Pengerusi BN Sarawak untuk membuat pemilihan siapakah yang layak untuk bertanding pada PRU Ke-14 kelak.

Friday, 20 April 2018

PENYANDANG P206 TANJUNG MANIS MOHON TIDAK BERTANDING




ANGIN PRU ke-14 semakin bertiup kencang menjelang hari penamaan calon pada 28 April 2018 ini. Setelah pelbagai spekulasi yang tertera di portal-portal media sosial akhirnya yang empunya diri tampil dengan satu kenyataan di laman facebooknya mengesahkan segala khabar angin yang melanda.
Apa-apa pun keputusan beliau sudah tentu telah difikirkan sebaiknya. Puan Norah binti Abdul Rahman yang juga puteri kepada mantan Ketua Menteri Sarawak iaitu Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub telah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Manis sejak di tahun 2008 lagi. Banyak sumbangannya di dalam menjadikan parlimen Tanjung Manis yang kita kenali sekarang.
Adalah diharapkan agar sesiapa sahaja yang dipilih untuk menggantikan beliau untuk mewakili PBB/BN akan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik seperti beliau.

Thursday, 19 April 2018

JAMBATAN TAN SRI DR. SULAIMAN DAUD DIBERI NAMA


AKHIRNYA setelah berhempas pulas dengan fasa-fasa pembinaannya, satu projek yang ditunggu-tunggu oleh rakyat iaitu jambatan yang merentangi Sungai Sarawak dari Matang ke Stapok sudahpun dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak hari ini.  Sewaktu perasmian itu juga, beliau turut mengumumkan bahawa jambatan itu dinamakan sebagai Jambatan Tan Sri Dr. Sulaiman Daud, seorang figura politik Sarawak yang cukup tersohor suatu ketika dahulu di Malaysia.

Sedikit informasi mengenai Tan Sri Dr. Haji Sulaiman Daud bagi generasi baru yang tidak mengenali dirinya.  Dilahirkan pada tanggal 4hb Mac 1933 merupakan seorang ahli politik yang mempunyai Ijazah Kedoktoran Pergigian dari Universiti of Otago, New Zealand.  Pada waktu itu beliaulah bumiputera pertama anak Sarawak yang melakar sejarah sebagai seorang doktor gigi bertauliah di Sarawak.  Terjun ke dunia politik Sarawak dengan menjadi Ahli Parlimen Santubong pada tahun 1978 atas tiket PBB/Barisan Nasional.  Kemudian beliau turut pernah mewakili Parlimen Petrajaya. 

Kerjaya politiknya terus berkembang selepas itu apabila pernah memegang beberapa jawatan menteri persekutuan seperti Menteri Pelajaran (1981-1984 dan juga 1991-1995), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999). Usaha beliau jugalah yang menjadikan wujudnya pindaan pada Kanun Tanah Negara yang menjadi rujukan sehingga sekarang.  Tanggal 23hb Mac 2010, berita sedih menyelubungi dunia politik Sarawak mahupun Malaysia apabila figura politik yang disegani ini menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur akibat menghidap kanser hati.  Jenazahnya diterbangkan ke Kuching, Sarawak dan disemadikan Tanah Perkuburan Masjid Bahagian Kuching. 

Sesungguhnya penamaan jambatan tersebut mengambil bersempena dengan namanya adalah satu penghormatan besar kepada seorang mantan ahli politik Sarawak yang sewaktu menjadi Menteri Pelajaran pernah memperjuangkan Bahasa Inggeris sebagai antara subjek terpenting untuk sistem pembelajaran kita di Malaysia. 

Thursday, 5 April 2018

KORBAN KE-7 RABIES DI SARAWAK


SEJAK dari tahun 2017 lagi, wabak rabies terus membelenggu Sarawak.  Pada 3 April 2018 menyaksikan satu lagi nyawa menjadi korbannya apabila mangsa yang menetap di Taman Sri Makmur, Batu 6, Matang, Kuching meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.  Difahamkan mangsa telah digigit oleh seekor anjing pada tanggal 23 Disember 2017 namun hanya mendapat rawatan di sebuah klinik swasta. 

Akibat daripada sakitnya yang tidak pulih akhirnya pada 2 April 2018 telah merujuk dirinya ke HUS dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir sehari selepas dimasukkan. 


Sunday, 1 April 2018

ELAUN SUKARELAWAN POLIS DINAIKKAN SERTA MERTA


SUKARELAWAN Polis bukanlah satu karier yang boleh diambil mudah lebih-lebih lagi mereka juga antara yang menjadi tulang belakang di dalam pentadbiran dan operasi Polis Diraja Malaysia.  Sehubungan dengan itu bagi menyuntik semangat dan motivasi untuk lebih ramai lagi yang akan menyertainya menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Ibu Pejabat Polis Kota Setar, Kedah mengumumkan elaun sukarelawan polis di seluruh Negara dinaikkan berkuatkuasa serta merta.

Untuk rekod, jumlah kenaikan bagi anggota adalah dari RM6.00 ke RM8.00 sejam manakala bagi yang berpangkat pegawai adalah dari RM7.80 ke RM9.80 sejam. 

Thursday, 29 March 2018

LALUAN LRT DIUMUMKAN



MENEPATI janjinya, hari ini Ketua Menteri Sarawak Iiaitu Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg mengumumkan cadangan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Sarawak yang mempunyai dua laluan utama. Laluan 1 menghubungkan Damai (Damai Sentral) ke Muara Tuang yang mempunyai 24 stesen manakala Laluan 2 adalah dari Muara Tebas ke Serian yang mempunyai 26 stesen. Untuk Bandaraya Kuching sahaja mempunyai 12 stesen yang akan dibina.  

Wednesday, 28 March 2018

STESEN TV SARAWAK


MEDIA perdana antara wadah untuk menyampaikan segala dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat. Dan umum mengetahui betapa rakyat Sarawak begitu menginginkan agar Sarawak mempunyai stesen tv tersendiri. Yang mana ia akan menjadi wadah utama untuk menyampaikan berita terkini yang berlaku di seluruh Sarawak yang luas ini.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari semalam mengwar-warkan bahawa kerajaan negeri Sarawak sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa stesen tv dalam dan luar negara bagi melaksanakan penubuhan stesen tv Sarawak tersendiri. Biarpun beliau masih tidak mengumumkan bilakah ia akan dilaksana tetapi sekurang-kurangnya sudah ada usaha ke arah itu.
Setakat ini tidak diketahui samada yang dimaksudkan KM Abang Jo ini selari dengan apa yang dilancarkan oleh PM Najib di Kota Kinabalu pada tanggal 21 Mac 2018 lepas iaitu pelancaran saluran tv baru untuk Sabah dan Sarawak.

Gambar sekadar hiasan