AKHIRNYA setelah berhempas pulas dengan fasa-fasa
pembinaannya, satu projek yang ditunggu-tunggu oleh rakyat iaitu jambatan yang
merentangi Sungai Sarawak dari Matang ke Stapok sudahpun dirasmikan oleh Ketua
Menteri Sarawak hari ini. Sewaktu
perasmian itu juga, beliau turut mengumumkan bahawa jambatan itu dinamakan
sebagai Jambatan Tan Sri Dr. Sulaiman Daud, seorang figura politik Sarawak yang
cukup tersohor suatu ketika dahulu di Malaysia.
Sedikit informasi mengenai Tan Sri Dr. Haji
Sulaiman Daud bagi generasi baru yang tidak mengenali dirinya. Dilahirkan pada tanggal 4hb Mac 1933
merupakan seorang ahli politik yang mempunyai Ijazah Kedoktoran Pergigian dari
Universiti of Otago, New Zealand. Pada
waktu itu beliaulah bumiputera pertama anak Sarawak yang melakar sejarah
sebagai seorang doktor gigi bertauliah di Sarawak. Terjun ke dunia politik Sarawak dengan
menjadi Ahli Parlimen Santubong pada tahun 1978 atas tiket PBB/Barisan
Nasional. Kemudian beliau turut pernah
mewakili Parlimen Petrajaya.
Kerjaya politiknya terus berkembang selepas itu
apabila pernah memegang beberapa jawatan menteri persekutuan seperti Menteri
Pelajaran (1981-1984 dan juga 1991-1995), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
(1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian
(1995-1999). Usaha beliau jugalah yang menjadikan wujudnya pindaan pada Kanun
Tanah Negara yang menjadi rujukan sehingga sekarang. Tanggal 23hb Mac 2010, berita sedih
menyelubungi dunia politik Sarawak mahupun Malaysia apabila figura politik yang
disegani ini menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur
akibat menghidap kanser hati. Jenazahnya
diterbangkan ke Kuching, Sarawak dan disemadikan Tanah Perkuburan Masjid
Bahagian Kuching.
Sesungguhnya penamaan jambatan
tersebut mengambil bersempena dengan namanya adalah satu penghormatan besar
kepada seorang mantan ahli politik Sarawak yang sewaktu menjadi Menteri
Pelajaran pernah memperjuangkan Bahasa Inggeris sebagai antara subjek
terpenting untuk sistem pembelajaran kita di Malaysia.
No comments:
Post a Comment