Saturday 28 April 2018

KHO TECK WAN


KHO TECK WAN
Calon BN Parlimen P195 Bandar Kuching

KECIL molek orangnya tetapi mempunyai visi yang cukup besar sekiranya terpilih. Antara manifesto dibawah “Hebat Kuching”, beliau memperjelaskan 10 aspirasi yang ingin beliau zahirkan antaranya adalah menyelesaikan masalah banjir di Bandar Kuching yang berlarutan agak lama sejak Kuching dibawah DAP serta menubhkan lebih banyak Pusat Program Lepas Sekolah.  Jika difikirkan ianya bukanlah aspirasi yang beliau sengaja buat-buatkan sebaliknya sebagai Councilor kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan sejak di tahun 2016, Bandar Kuching sudah banyak dijelajahinya dan permasalahan ini sudah tentu beliau dalami betul-betul.

Calon Barisan Nasional Parlimen 195 Bandar Kuching adalah Kho Teck Wan yang mewakili SUPP, salah satu parti komponen BN Sarawak. Berusia 41 tahun dan digambarkan sebagai wanita yang tahan lasak kerana antara salah satu minatnya adalah melakukan senaman lasak seperti hiking dan sebagainya.  Berkelulusan peringkat Sarjana (Anugerah Dekan) TCom Management, Network Engineering dan Sarjana Muda Kepujian di dalam Biosystem Engineering dari Universiti Oklahoma State University, Stillwater Oklahoma USA.  

Tidak pernah kekok berbahasa Melayu memandangkan beliau dilahirkan, dibesarkan serta bersekolah di kawasan Melayu itu sendiri.  Merupakan alumni Sekolah Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan serta SRK Sungai Apong, Kuching, Sarawak sudah tentu cukup untuk menggambarkan betapa adab dan warisan Melayu itu sentiasa menjadi sebahagian daripada dirinya.  Ianya terbukti tatkala melihat beliau melakukan “walkabout” di Kampung Sri Maimunah di Kuching langsung tiada kekoknya menghulurkan kedua tangan menyampai salam mengikut adab orang Melayu.  

Dari segi karier pula, Miss Kho sebelumnya merupakan anak Sarawak yang berkelana di negara orang agak lama iaitu hampir 10 tahun mencari rezeki di USA sebagai pakar pengaturcaraan komputer.  Dek kerana permintaan keluarga, akhirnya beliau pulang untuk berbakti di Sarawak dan menjawat tugasan Storage Area Networking and Disaster Recovery Consultan untuk sebuah firma antarabangsa.  

Berbicara dari segi politik pula sebenarnya sudah menjadi asam garam di dalam hidupnya.  Ini kerana kedua ibubapanya adalah antara pendokong kuat SUPP selama ini malah telah bersama-sama dengan mantan MP Padungan seperti Datuk Song Swee Guan, Datuk Song Kheng Hui serta banyak lagi.  Dan dikala itulah anak kedua daripada lima beradik ini turut sama-sama membantu kedua ibubapanya di dalam arena politik.  

Bukan sembrono calon yang ditampilkan oleh BN Sarawak malah mempunyai jiwa yang tulen di dalam memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama.  Pembangunan dari semua peringkat umur dan jantina turut menjadi misi pentingnya bagi menjadikan Bandar Kuching sebagai satu hub digital di Sarawak seperti apa yang diwar-warkan oleh Kerajaan Sarawak selama ini.

Kecil-kecil si cabik geronong. 

No comments:

Post a Comment