Sunday, 11 December 2016

MAULIDUR RASUL 2016


SELAWAT dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Baginda Rasul adalah pemimpin umat Islam yang tiada tolok tandingnya. Bersama-samalah kita berpegang kepada Sunnah dan Ajarannya.

12 Disember 2016 / 1438H

Thursday, 8 December 2016

AMARAN UNTUK PENJAWAT AWAM YANG MENYALAHGUNA KUASA


TIADA kompromi dan mana-mana penjawat awam Negeri Sarawak yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri maka mereka akan dibawa ke Suruhanjaya Pencegah Rasuah walau siapa pun mereka.  Itulah antara amaran awal kepada penjawat awam Sarawak daripada Pengerusi PAC Sarawak (Sarawak Public Accounts Committee) yang baru sahaja dilantik iaitu ADUN Sadong Jaya, YB Ir. Aidel Lariwoo. 
Dengan banyaknya kes-kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh penjawat awam lebih-lebih di kalangan jawatan ekskutif di seluruh Negara sekarang menjadikan peringatan keras ini amat perlu bagi mereka yang telah diberikan tanggungjawab daripada kerajaan bagi berkhidmat untuk rakyat dengan penuh telus dan berintegriti tinggi.   Dan PAC sebagai mata dan telinga kerajaan harus lebih keras di dalam tindakannya lebih-lebih lagi menguruskan Sarawak yang besar ini sudah tentu mempunyai “loop-hole” yang boleh saja diambil kesempatan oleh mereka yang tidak lurus hatinya.
Barisan PAC Sarawak yang baru dilantik ini dianggotai oleh ADUN-ADUN dari pelbagai parti di Sarawak tanpa mengira mereka mewakili parti Barisan Nasional mahupun pembangkang.  Dengan diketuai oleh YB Aidel Lariwoo(BN-Sadong Jaya), pasukannya turut menampilkan muka-muka baru iaitu YB Lo Khere Chiang (BN-Batu Kitang),  YB Dato Ranun Mina (BN-Opar), YB Chiew Chiu Sing (DAP-Tanjung Batu), YB Alexander Vincent (BN-Ngemah), YB Yussibnosh Balo (BN-Telian) dan YB See Chee How (PKR-Batu Lintang). 
Ketelusan daripada PAC Sarawak ini amat dituntut oleh rakyat Sarawak kerana jika amalan penyalahgunaan kuasa dan rasuah terus bermaharajalela di kalangan penjawat awam maka pada siapalah lagi rakyat untuk bergantung harap. 
Rasuah Itu Musuh Negara. 

Tuesday, 6 December 2016

TINDAKAN PANTAS BERJAYA SELAMATKAN 2 NYAWA


 2 remaja yang berjaya diselamatkan dari dibawa arus deras di Pantai Tanjung Batu, Bintulu

Aksi menyelamat dengan menggunakan kayak.

Julian Uloi, antara orang awam yang tampil menyelamatkan 2 remaja dari dihanyutkan.


MUSIM cuti sekolah sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh para ibubapa dan kanak-kanak.  Kerana pada musim cuti inilah ramai yang mempunyai masa bersantai-santai bersama keluarga ke tempat peranginan dan sebagainya.  

Hasrat 2 remaja untuk bermandi manda di pantai Tanjung Batu, Bintulu 2 hari lepas bertukar menjadi tragedi hitam kerana mereka dihanyutkan oleh ombak yang deras.  Tidak mampu melawan tolakan arus itu menyebabkan kedua-duanya terkapai-kapai di lautan.  Kejadian tersebut disedari orangramai dan ramai yang tampil untuk membantu tetapi kerana kurang kelengkapan mereka hanya mampu melihat dari jauh. 

Muncullah beberapa orang awam yang berada di situ termasuklah Julian Uloi, seorang pemuda yang dengan beraninya membelah lautan dengan berkayak.  Dengan adanya pelampung keselamatan beliau akhirnya berjaya menyelamat kedua-dua remaja tersebut ke pantai Tanjung Batu.  Kerana tindakan orang awam termasuklah Julian Uloi, nyawa kedua-dua remaja itu berjaya diselamatkan dan jika tidak mungkin kita akan mendengar satu lagi berita sedih setiapkali cuti sekolah akhir tahun bermula. 

Untuk rekod, Julian Uloi sebenarnya terlatih di dalam Safe & Rescue di dalam air kerana beliau juga merupakan seorang atlit.  Terima kasih kepada orang awam di Tanjung Batu, Bintulu termasuklah Julian Uloi kerana membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Bagi para ibubapa dan orang awam perlulah sentiasa waspada dan beringat kerana malang itu tidak berbau. 

Sunday, 4 December 2016

ISU ROHINGYA ISU KEMANUSIAAN


INI bukan isu agama kerana hakikatnya penganut agama Islam di Bandar-bandar besar seperti Rangoon bebas untuk mengerjakan ibadah mereka. Namun isu penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar adalah satu isu kemanusiaan.  Dalam pada itu dunia seperti diam seribu bahasa seolah-olah membutakan mata serta memekakkan telinga atas penderitaan mereka.

Natijah ramai pelarian Rohingya dari Rakhine menyelamatkan diri sehingga ada yang sanggup menaiki kapal bersesak-sesak untuk ke Negara jiran contohnya Malaysia.  Belum lagi yang menjadi mangsa petualang pemerdagangan orang sehingga mereka terkorban di hutan belantara di sempadan Malaysia.  Walaupun hakikatnya Malaysia tidak pernah menandatangani perjanjian untuk menerima pelarian Rohingya namun atas nama kemanusiaan mereka diterima atas tiket UNHCR. 

Oleh itu jika dibiarkan sahaja Rohingya di Rakhine nescaya Malaysia akan terus dihambat kebanjiran mereka.  Setakat ini dikatakan ada lebih kurang 10 ribu orang Rohingya Muslim dari Rakhine yang ada di merata Malaysia dan ini tidak termasuk etnik-etnik Myanmar yang lain.  Ini sudah tentu amat menyulitkan Malaysia terutama sekali masalah sosial yang membebankan Malaysia. 

Untuk itu jika sekiranya Kerajaan Malaysia membuat bantahan keras dan meminta pihak junta Myanmar menghentikannya bukannya bermakna Malaysia mencampuri urusan dalaman Myanmmar.  Sebaliknya, Malaysia bertindak untuk kepentingan rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa berhadapan dengan segalanya mengenai kebanjiran pelarian Rohingya ini kelak. 

Isu Rohingya BUKAN isu agama TETAPI ianya isu kemanusiaan kerana sebenarnya ada pihak yang tidak faham hak asasi seorang manusia untuk hidup di dunia ini dengan aman. 

#SolidaritiUmmahUntukRohingya


PEMBANGUNAN SEMULA TAPAK WARISAN SEJARAH SARAWAK


OLEH kerana berdirinya Sarawak mempunyai beberapa era maka keunikan tapak warisan sejarahnya seperti kubu-kubu lama dan juga bangunan-bangunan mempunyai keunikan yang tersendiri.  Namun ditengah-tengah kekayaan sejarah ini ada sesetengah kubu-kubu lama mahupun bangunan-bangunan lama banyak yang tidak terjaga. 
Sesuai dengan misi dan visi Sarawak untuk menaiktaraf sektor pelancongannya agar lebih berdaya saing maka baru-baru ini Menteri Pelancongan Sarawak yang juga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Abang Johari bin Tun Abang Openg mengwar-warkan Kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Datuk Adenan telah memperuntukkan RM15 juta yang dikhaskan untuk pembangunan semula tapak warisan sejarah Sarawak. 
Walaupun hakikatnya jumlah itu sebenarnya agak kecil kerana untuk memulihara kota lama dan juga bangunan bersejarah memerlukan kos yang tinggi.  Untuk itu adalah diharapkan agar pihak sektor swasta juga turut serta untuk bersama-sama bergandingbahu atas kerja-kerja pemuliharaan ini.
Kejayaan Kubu Alice di Sri Aman misalnya menjadi saksi penglibatan sektor swasta memungkinkan kubu lama itu sekarang menjadi antara tarikan pelancongan semula di Sri Aman setelah bertahun-tahun terbiar dan hampir menyembah bumi.

PEMBINAAN SMK BALINGIAN MAC 2017


LAMA sudah menanti malah ianya telah dijanjikan sewaktu PRK Balingian 2014 lagi namun masih tidak kunjung tiba pembinaannya.  Dan sekali lagi pada PRN ke-11 Mei 2016 ianya juga turut menghiasi janji pilihanraya pada waktu itu. 

Penantian rakyat di Balingian mungkin berakhir pada tahun hadapan apabila dikatakan bahawa kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah yang mana kosnya menelan belanja sebanyak RM60 juta akan bermula pada Mac 2017.  Itulah yang diwar-warkan oleh ADUN Balingian iaitu YB Abdul Yakub bin Haji Arbi baru-baru ini. 

SMK Balingian adalah satu projek sekolah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Balingian memandang buat masa sekarang kemudahan persekolahan penduduk Balingian terlalu jauh daripada kawasan tempat tinggal mereka.  Kadang kala kerana kesukaran itu telah membuat ramai yang beralah dan tidak menyambung persekolahan mereka. 

Semoga janji ini akan ditepati sepenuhnya atau ianya akan terus menjadi “duri dalam daging” pada setiapkali pilihanraya diadakan. 

Thursday, 1 December 2016

MESYUARAT JAWATANKUASA TEKNIKAL SARAWAK MASUK FASA KE-2


BILAMANA Ketua Menteri Sarawak menarikbalik keputusan untuk membuat resolusi Perjanjian Malaysia di sidang DUN Sarawak yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 30 November 2016, ramai rakyat Sarawak memberi respons yang pelbagai baik di media sosial dan sebagainya.  Hakikatnya apa yang diusahakan oleh Datuk Adenan sebenarnya TIDAK PERNAH TERHENTI walaupun mengambil jalan “tidak popular” kerana percaya diplomasi itu lebih baik daripada konfrantasi. 

Pada 1 Disember 2016 seperti yang diwar-warkan oleh Datuk Adenan ketika ucapan beliau di DUN Sarawak menyatakan bahawa mesyuarat mengenai perihal penurusan kuasa dari Persekutuan kepada Sarawak yang memasuki fasa ke-2 berlangsung.  Isu-isu yang berkaitan dengan kewangan, penerokaan dan perlombongan minyak dan gas juga perolehan dari tanah menjadi antara agenda yang dibincangkan antara Jawatankuasa Teknikal Sarawak dan juga pihak Persekutuan yang terlibat. 

Untuk memperkasakan segala yang diusahakan ini bukanlah satu hal yang mudah sebaliknya akan mengambil masa jadi adalah perlu untuk rakyat Sarawak terus bersatu di bawah Kerajaan Negeri Sarawak bagi menjadikan ianya berjaya direalisasikan.  Jadi, sama-samalah kita tunggu keputusan akhir perbincangan tersebut kelak.