Sunday, 4 December 2016

ISU ROHINGYA ISU KEMANUSIAAN


INI bukan isu agama kerana hakikatnya penganut agama Islam di Bandar-bandar besar seperti Rangoon bebas untuk mengerjakan ibadah mereka. Namun isu penghapusan etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar adalah satu isu kemanusiaan.  Dalam pada itu dunia seperti diam seribu bahasa seolah-olah membutakan mata serta memekakkan telinga atas penderitaan mereka.

Natijah ramai pelarian Rohingya dari Rakhine menyelamatkan diri sehingga ada yang sanggup menaiki kapal bersesak-sesak untuk ke Negara jiran contohnya Malaysia.  Belum lagi yang menjadi mangsa petualang pemerdagangan orang sehingga mereka terkorban di hutan belantara di sempadan Malaysia.  Walaupun hakikatnya Malaysia tidak pernah menandatangani perjanjian untuk menerima pelarian Rohingya namun atas nama kemanusiaan mereka diterima atas tiket UNHCR. 

Oleh itu jika dibiarkan sahaja Rohingya di Rakhine nescaya Malaysia akan terus dihambat kebanjiran mereka.  Setakat ini dikatakan ada lebih kurang 10 ribu orang Rohingya Muslim dari Rakhine yang ada di merata Malaysia dan ini tidak termasuk etnik-etnik Myanmar yang lain.  Ini sudah tentu amat menyulitkan Malaysia terutama sekali masalah sosial yang membebankan Malaysia. 

Untuk itu jika sekiranya Kerajaan Malaysia membuat bantahan keras dan meminta pihak junta Myanmar menghentikannya bukannya bermakna Malaysia mencampuri urusan dalaman Myanmmar.  Sebaliknya, Malaysia bertindak untuk kepentingan rakyat Malaysia sendiri yang terpaksa berhadapan dengan segalanya mengenai kebanjiran pelarian Rohingya ini kelak. 

Isu Rohingya BUKAN isu agama TETAPI ianya isu kemanusiaan kerana sebenarnya ada pihak yang tidak faham hak asasi seorang manusia untuk hidup di dunia ini dengan aman. 

#SolidaritiUmmahUntukRohingya


No comments:

Post a Comment