Monday 26 December 2016

MUSIM DABEI DI SARAWAK


BUAH Dabei atau dabai di dalam bahasa Malaysia standard bukanlah asing bagi masyarakat di Sarawak.  Dan sekarang merupakan musim buah dabei kerana buah ini bukanlah ada di sepanjang tahun sebaliknya musimnya jatuh pada setiap November hingga Januari saban tahun. 
Di dalam bahasa saintifik, Buah Dabei dipanggil dengan nama Canarium Odontophyllum dan merupakan salah satu daripada buah nadir tempatan di dalam keluarga Burseraceae. Di dalam keluarga Burseraceae ini pula terdapat 75 spesis dan buah dabei pula adalah salah satu daripada yang satu-satunya boleh tumbuh di Sarawak, Malaysia. Dan setakat ini tiada lagi kenyataan yang membenarkan bahawa pokok dabei boleh tumbuh di mana-mana negeri di dalam Gagasan Malaysia selain daripada di Sarawak. Itulah keunikan buah dabei yang ramai tidak mengetahuinya. 
Perlulah diingatkan bahawa buah dabei bukannya boleh dimakan mentah kerana ianya keras sewaktu mentahnya. Buah dabei yang sudah ranum masak harus direbus dahulu bagi melembutkan isinya dan dengan hanya meletakkan sedikit garam sewaktu ianya direbus, keenakannya tekstur isinya akan dapat dinikmati. Inilah salah satu cara yang paling senang untuk menikmati kelazatan buah dabei Sarawak.
Namun begitu sejajar dengan waktu, buah dabei juga sekarang menjadi salah satu ramuan di dalam menu masakan masyarakat Sarawak dan yang paling popular adalah menu masakan “Nasi Aruk Dabei”.  Selain itu dabei juga sudah dikomersialkan seperti jus dabei serta banyak lagi bagi memenuhi permintaannya di pasaran. 
Sekarang lambakan buah dabei banyak di pasaran tempatan dan sudah tentu masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa sedang “berpesta” buah dabei.  Dan sesuai dengan kedatangan musimnya juga maka ianya memberi seribu rahmat kepada penjaja-penjaja kecil-kecilan kerana dapat mencari rezeki lebih pada ketika ini. 

No comments:

Post a Comment