Wednesday 21 December 2016

TAMAN NEGARA BAKO, KUCHING, SARAWAK


JIKA melihat kepada teaser artikel ini janganlah pula terkeliru bahawa pemandangan yang indah ini merujuk kepada Pulau Phuket di Thailand. Sebaliknya inilah antara panorama indah ciptaan Ilahi apabila kita berbicara mengenai satu taman Negara yang lokasinya kira-kira 37 km ke utara ibukota Kuching, Sarawak. 

Dibuka pada tahun 1957 menjadikan ianya satu taman Negara yang unik kerana ianya adalah antara legasi taman Negara sejak Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo Sarawak.  Kerana keindahan dan juga kepentingannya di dalam memulihara sumber alam semulajadi walaupun Sarawak membentuk Malaysia pada tahun 1963, ianya tetap dikekalkan menjadi salah satu tarikan pelancongan di Sarawak sehingga sekarang. 

Untuk ke taman Negara ini masih tiada lagi perhubungan darat namun begitu sejak ianya dibuka lagi masih mengekalkan pengangkutan yang sama iaitu perkhidmatan bot yang boleh didapati di Kampung Bako, salah satu perkampungan nelayan yang ada di Sarawak.  Dengan mengambil masa kira-kira 45 minit, maka tibalah ke destinasi iaitu di Telok Assam, Bako.
 
Keindahan taman Negara tertua ini bukan hanya terletak kepada panorama alamnya malahan juga keindahan dan kekayaannya terletak pada penghidupan liar yang mempunyai pelbagai spesis seperti kera belanda, burung-burung serta banyak lagi.  Biarpun ianya adalah taman Negara yang kecil namun disini sahaja mempunyai pelbagai aktiviti boleh dilakukan. 

Bagi yang suka pada sukan lasak maka bolehlah memulakan perjalanan “hiking” membuat eksplorasi dari satu pantai ke pantai mengelilingi taman Negara Bako.  Ianya juga sebenarnya memerlukan “endurance” yang tinggi kerana perjalanannya agak panjang jika berjalan kaki.  Selain itu apabila lelah dan ingin mandi manda mungkin boleh menyejukkan badan di air terjun di dalam kawasan hutan taman Negara yang mana airnya begitu jernih dan menyejukkan. 

Sememangnya banyak tarikan di taman Negara sehingga ianya boleh bertahan sehingga sekarang.  Taman Negara Bako juga merupakan salah satu daripada pusat kajian bagi mereka yang mengkaji mengenai penghidupan paya bakau yang menjadikannya antara taman Negara yang gah namanya di dunia. 

1 comment: