Wednesday, 21 December 2016

ANAK SARAWAK, PANGLIMA TUDM KE-18 YANG BAHARU


SATU lagi sejarah terukir semalam apabila seorang anak Sarawak terpilih untuk menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia yang ke-18 bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Roslan bin Saad yang bersara wajib baru-baru ini.  Anak Sarawak yang menjadi kebanggaan kita ini adalah Jeneral Datuk Seri Affendi bin Buang.  Perlantikan ini juga mencatatkan sejarahnya tersendiri kerana inilah kali pertama seorang anak Sarawak yang pernah dilantik untuk memegang jawatan No.1 di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia. 
Dilahirkan pada tahun 1962 di Kampung Lintang, Petrajaya, Kuching Sarawak, kerjayanya bermula sebagai anggota tentera apabila memasuki perkhidmatan pegawai kadet TUDM dan ditauliah  di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun 1981. Setelah tamat latihan penerbangan sekitar tahun 1983, beliau telah menceburi banyak tugasan juruterbang jet pejuang seperti seperti MB 339A , A4PTM, Skyhawk dan MIG29N Fulcrum.
Sebelum memegang jawatan no.1 TUDM ini, beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Jurulatih Penerbangan dan Komander Pangkalan Butterworth, Pengarah Perancangan dan Kontingensi di Markas Angkatan Bersama Malaysia, Ketua Pengarah Operasi dan Latihan dalam Markas Operasi Udara, Panglima Angkatan Bersama dan Panglima Operasi Udara. Dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara.
Bertemu jodohnya dengan YAB Tengku Puteri Seri Teja Pahang iaitu Tengku Muhaini Ibnu Sultan Haji Ahmad Shah telah dikurniakan dengan 4 putera dan 3 puteri. 

Salam tahniah dan semoga terus berkhidmat untuk Negara dengan sebaik-baiknya.  

No comments:

Post a Comment