Tuesday, 13 December 2016

SUSPEK UTAMA PEMBUNUHAN BILL KAYONG DITANGKAP


PADA 21 Jun yang lalu, kita dikejutkan dengan pembunuhan ke atas Allahyarham Bill Kayong yang juga seorang aktivis serta ahli politik PKR Sarawak di Kuala Baram, Miri, Sarawak.  Dan kita juga menyaksikan beberapa individu telah didakwa di mahkamah.  Sebaliknya dikatakan suspek utama yang juga perancang kepada tragedi pembunuhan ini iaitu Dato’ Stephen Lee Chee Kiang berjaya meloloskan diri dan dikatakan bersembunyi di Melbourne, Australia.
Umpama kata bidalan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua maka begitulah juga episod pelarian Dato’ Stephen Lee telah berakhir semalam apabila beliau telah ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Menurut sumber daripada PDRM menyatakan bahawa Dato’ Lee sebenarnya telah ditangkap oleh Ministry of Public Security China di Putian, Fujian Province pada 12hb Disember 2016 sebelum diusir keluar melalui Xiamen ke Malaysia.
Usahasama PDRM dan Interpol memungkinkan hal ini berlaku malah suspek utama ini turut diiringi pulang ke Malaysia oleh satu pasukan khas yang diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak sendiri iaitu SAC Dato’Dev Kumar.  Suspek utama pembunuhan ini dikhabarkan akan dibawa pulang ke Sarawak pada hari ini 14 Disember 2016 dan sudah tentu proses pendakwaannya akan dijalankan dengan segera.
Tahniah PDRM atas tindakan yang cepat ini.  Tiada kompromi bagi mereka yang merasakan mereka adalah “raja” mengatasi undang-undang Negara kita.  Keadilan untuk Bill Kayong harus ditegakkan. 

No comments:

Post a Comment