Wednesday, 8 February 2017

SARAWAK SENARAIHITAM SELVA KUMAR


KEPULANGANNYA dikatakan disambut oleh para wartawan yang menantinya di KLIA semalam iaitu melalui penerbangan daripada Doha, Qatar tepat jam 7.30 pagi.  Dan cerita bagi perogol bersiri ini menghiasi banyak media massa di seluruh Malaysia sehingga ke hari ini. 

Bertindak daripada itu juga Sabah yang juga mempunyai kuasa autonomi imigresen seperti Sarawak telah  awal-awal bertindak menyenaraihitamkan namanya daripada memasuki Sabah sejak 6hb Februari 2017 lagi.  Dan setelah banyak kebimbangan yang diluahkan oleh rakyat Sarawak akhirnya Kerajaan Negeri Sarawak turut melakukan hal yang sama iaitu larangan untuk beliau memasuki Sarawak yang berkuatkuasa pada 8hb Februari 2017 serta merta. 

Sementara di Semenanjung Malaysia pula menurut PDRM, Selva telah bersetuju untuk dipantau aktivitinya oleh pihak berkuasa.  Ini kerana sebenarnya walau apapun Selva sudahpun bebas dari hukuman dan tiada undang-undang yang boleh disabitkan dengannya lagi melainkan beliau sendiri membenarkan.  Jadi kerjasama daripada Selva itu amat dihargai oleh semua pihak. 


Apa yang penting sekarang tindakan pantas daripada Kerajaan Sarawak itu sebenarnya telah melegakan hati ramai rakyat Sarawak yang kurang senang tiada tindakan untuk menyenaraihitamkan namanya daripada memasuki Sarawak.  Selva sebagai rakyat Malaysia dan bebas merdeka sekarang bolehlah meneruskan usia tuanya dengan lebih aman damai di negerinya sendiri.  

Tuesday, 7 February 2017

JAMILAH BOLEH!


UMUM mengetahui bahawa Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu iaitu calon BN/PBB N03 Tanjung Datu masih lagi di dalam edah.  Ini bermakna untuk PRK kali ini, kelibat beliau tidak akan ada untuk berdamping dengan rakyat buat seketika.  Namun itu bukanlah satu hal yang utama kerana pada PRK Kuala Kangsar yang lepas, calonnya (sekarang ADUN) iaitu Datin Mastura telah membuktikan jika disitu ada kemahuan disitulah ada jalannya.

Disebalik segala komen sinis daripada mereka yang tidak boleh menerima pencalonan DPDA Hajjah Jamilah sehingga mempersoalkan kebolehannya sebenarnya mereka lupa bahawa disebalik kejayaan seorang suami adalah seorang isteri yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya selama ini.  Tiada rahsia bahawa DPDA Hajjah Jamilahlah turut bersama-sama dengan suaminya iaitu Allahyarham Tok Nan menerajui Tanjung Datu selama ini.  Beliau sudah tentu tahu apakah yang diusahakan oleh penyandangnya sebelum ini dan keberadaan beliau menjadi calon di Tanjung Datu adalah semata-mata untuk meneruskan apa yang belum lagi diselesaikan oleh Allahyarham suaminya. 

Usah dipersoal kebolehannya kerana balu Allahyarham Tok Nan ini sudah biasa dengan memegang kepimpinan badan bukan kerajaan di Sarawak.  Bukan satu yang dinaunginya malah banyak dan bukan calang-calang yang mampu berbuat demikian disamping menjalankan tugas sebagai isteri kepada ADUN dan seterusnya Ketua Menteri Sarawak.  Dengan dokongan sepenuhnya daripada anak-anak baik daripada anak kandungnya sendiri malah juga anak-anak tirinya (dari perkahwinan Tok Nan dengan isteri pertama) yang sama-sama mengikuti gerak gempur kempen BN di Tanjung Datu sudah membuktikan bahawa DPDA Hajjah Jamilah ini adalah ibu yang istimewa. 

Keperibadian beliau yang sederhana malah sentiasa merendah diri selama ini amat disenangi oleh seluruh rakyat di Sarawak apatah lagi bagi rakyat di Tanjung Datu yang sentiasa di hati beliau sejak dahulu lagi.  Jerih perih rakyat di Tanjung Datu sudah tentu banyak diketahuinya dan rasanya tiada masalah untuk beliau terus memartabatkan rakyat di Tanjung Datu secara langsung berbanding sebelum ini menjadi pendokong di sebalik tabir misi dan visi Allahyarham Tok Nan. 

Jangan pandang sipi-sipi keupayaan Ikon Kaum Ibu Sarawak ini kerana percayalah tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegarkan dunia. 

Jamilah Boleh!

#TeamAbgJo
#HidupPBBHidupBN

#PRKN03TanjungDatu

Monday, 6 February 2017

PENYERANG & PEROGOL 1,000 WANITA WAJAR DIHALANG MASUK KE SARAWAK

SELVA KUMAR SUBBIAH begitulah namanya seorang rakyat Malaysia yang telah membuat onar di Kanada dengan melakukan serangan seks dan seterusnya merogol hampir 1,000 wanita di Negara tersebut dari tahun 1980 hingga 1994.  Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua menyaksikan Selva telah dijatuhkan hukuman penjara hampir 20 tahun dan Kanada sudahpun bertindak mengusir beliau daripada bumi Kanada untuk dihantar pulang ke Malaysia.  Menurut berita yang dikhabarkan pada 6hb Februari 2017 inilah beliau akan sampai ke tanahairnya. 
Walaupun pihak PDRM telah memberi jaminan bahawa segala pergerakkan Selva akan dipantau usai beliau menjejakkan kaki di bumi Malaysia namun masih ada rasa kurang keyakinan dengan apakah tindakan si penyerang dan perogol 1,000 wanita ini yang sekarang sudahpun berusia 54 tahun.  Tidaklah diketahui sejauhmana keinsafan yang ada pada beliau selesai menjalani tempoh hukuman di Kanada.  Perlulah diketahui bahawa menurut statistic yang dicatatkan baru-baru ini dikatakan bahawa pesalah seperti ini kebarangkalian untuknya mengulangi tabiatnya adalah cerah sama sekali. 
Jadi untuk Sarawak misalnya dengan adanya autonomi kita di dalam kawalan Imigresen rasanya tidaklah salah untuk kita menghalang orang seperti ini untuk masuk ke negeri kita yang dicintai.  Janganlah kita hanya menghalang mereka yang boleh membawa kepada keadaan kurang aman contohnya halangan sementara untuk para politik sahaja.  Pesalah seperti Selva ini juga patut dilakukan hal yang sama.  Kita tidak mahu dengan keluasan Sarawak yang begitu luas, andaikata Selva boleh melarikan diri sehingga ke kawasan pedalaman akhirnya membawa malapetaka kepada anak gadis dan wanita di Sarawak. 
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Sunday, 5 February 2017

3 PERSONALITI CALON ADUN N03 TANJUNG DATU


SUDAH terjawab semuanya apabila pada Sabtu lepas sahih menyaksikan pertembungan 3 penjuru akan berlaku pada PRK N03 Tanjung Datu.  Seawal hari penamaan calon sebenarnya menyaksikan 4 individu yang membuat pencalonan namun hanya 3 yang melepasi saringan apabila calon bebas iaitu Encik Asbor Abdullah seorang bekas tentera yang dahulunya bergiat aktif di dalam DAP dibatalkan pencalonannya kerana masalah bankrupsi.
Dengan SPR sudah menetapkan tarikh pengundian awal adalah pada 12 Februari manakala hari pengundian sebenar pada tanggal 18 Februari 2017 ini bermakna setiap calon mempunyai masa 14 hari untuk berkempen.  DUN Tanjung Datu mempunyai daftar pemilih yang mengandungi 9,959 pengundi berdaftar dengan pemilih biasanya adalah seramai 9,771 orang manakala 188 pengundi di kategorikan sebagai pengundi awal.  Dan N03 Tanjung Datu seperti yang dimaklumi adalah kubu kuat BN/PBB dan sejak di PRN 2006 lagi, Allahyarham Tok Nan mengungguli rekod sebagai pemimpin Tanjung Datu yang cukup lama tanpa kalah dalam setiap musim pilihanraya. 
Dan seperti yang sedia maklum, pertembungan 3 penjuru di PRK N03 Tanjung Datu ini melibatkan 3 parti politik dengan calon-calonnya pula adalah Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN), Johnny Bob ak Aput (STAR) dan Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru). 

Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah binti Haji Anu (PBB/BN)
Barisan Nasional Sarawak menampilkan seorang calon yang cukup tidak asing lagi di dunia Tanjung Datu kerana beliaulah balu kepada penyandang sebelumnya iaitu Allahyarham Tok Nan yang dicintai oleh rakyat Sarawak.  Berusia 62 tahun dan lahir pada 14 Ogos 1955 di Kampung Buso, Bau, Sarawak.  Ibu kepada 2 anak ini merupakan tiang sandaran Tok Nan sepanjang Allahyarham mengemudi kepimpinan Sarawak dan Tanjung Datu selama ini. 
Lulusan Diploma Sains Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah ini begitu terkenal dengan sifatnya yang dermawan.  Beliau unggul menerajui beberapa pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak seperti Yayasan Jaznan (Milik keluarganya), Matron untuk PPIM, PERKATA, Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-kanak, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarawak serta Pengerusi SABATI. 
Boleh dikatakan pemilihan DPDA Hajjah Jamilah sebenarnya adalah bertepatan memandangkan beliau sudah sebati dengan Tanjung Datu dan dikenali oleh rakyatnya sejak dahulu lagi.  Walaupun untuk kali ini, beliau tidak turun berkempen kerana masih di dalam eddah namun visi dan misinya akan disampaikan kepada rakyat Tanjung Datu melalui anak-anak dan keluarga serta jentera BN Sarawak yang akan turun berkempen menemui rakyat untuknya. 

Johnny Bob ak Aput (STAR)
STAR sebagai parti tempatan Sarawak pula mempertaruhkan Johnny Bob ak Aput yang berusia 54 tahun.  Seorang anak Bidayuh yang berasal dari Paon Rimu, Serian.  Di dalam dunia politik STAR, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Parti. 
Setakat ini yang diketahui, Johnny Bob tidaklah begitu dikenali oleh rakyat di Tanjung Datu dan nampak gayanya beliau harus berkempen untuk mengwar-warkan dirinya dengan lebih berkesan.  Namun begitu misi dan visi yang dibawa oleh Johnny Bob begitu dekat di hati rakyat iaitu Autonomi seperti yang dicatitkan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ianya hampir sama dengan apa yang diperjuangkan oleh Allahyarham Tok Nan selama ini sehingga setiap apa yang dilakukannya sememangnya menjadikan aspirasi bagi setiap anak Sarawak. 

Rapelson Richard Hamit (PBDS Baru)
Berasal dari Siburan dan ayah kepada seorang anak ini masih muda iaitu 31 tahun usianya.  Seorang aktivis sosial yang sememangnya agak terkenal di dalam menyuarakan hak Dayak di dalam Native Customary Rights (NCR Land).  Pemegang Ijazah Sains Politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini bukanlah asing di dalam dunia politik Sarawak memandangkan pada PRK Ke-11 lepas, beliau mewakili Parti Amanah Nasional (PAN) di N26 Gedong. Pada PRK itu, beliau hanya mendapat 699 undi sementara calon bebas Uja Bansi mendapat 396 undi.  BN/PBB pula pada waktu itu yang diwakili oleh Datuk Mohd Naroden Majais menang majoriti dengan 4,064 undi. 
Kali ini bertanding bukan dibawah panji PAN sebaliknya sebuah parti tempatan iaitu Parti Baru Dayak Sarawak sememangnya sesuatu yang agak songsang dengan perjuangannya sebelum ini.  Namun begitu sebagai aktivis sosial, Rapelson tetap dengan misi dan visinya memperjuangkan tanah NCR lebih-lebih lagi isu “Pemakai Menoa” dan “Pulau Galau” sememangnya satu isu yang mendapat tempat di hati pengundi Dayak.  Namun sekali lagi adakah beliau dikenali oleh rakyat Tanjung Datu yang pelbagai kaum dan budaya turut akan memainkan peranan yang penting sepanjang berkempen kelak. 

Bolehlah dirangkumkan bahawa ketiga-tiga personaliti ini mempunyai kekuatan masing-masing dari segi visi dan misi yang dibawa untuk tatapan dan perjuangan rakyat di Tanjung Datu.  Cuma kekuatan DPDA Hajjah Jamilah agak terserlah kerana beliau sudah cukup dikenali di Tanjung Datu malah dikatakan mendapat mandate sendiri dari penyokong PBB di akar umbi sementara kedua-dua calon dari PBDS dan STAR masih lagi cuba untuk berjingkit-jingkit menguak pintu hati pengundi di Tanjung Datu. 
Negara Malaysia sebuah Negara demokrasi dan kita semua menghormati setiap calon yang bertanding di N03 Tanjung Datu.  Rakyat Tanjung Datu sudah semestinya tahu apa yang mereka mahukan kerana legasi pemerintahan Tok Nan yang cemerlang itu terletak di tangan mereka. 
Gendang bertandak sudah dipalu
Rentak tari janganlah sumbang
Bertingkahlah di dalam semangat bersatu
Sarawak akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Friday, 3 February 2017

3 PENJURU DI PRK N03 TANJUNG DATU


PILIHANRAYA kecil (PRK) bagi N.03 Dewan Undangan Negeri (DUN)Tanjong Datu, Sarawak bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila tiga calon disahkan akan bertanding.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Barisan Nasional (BN) meletakkan Puan Sri Jamilah Anu iaitu balu kepada Allayarham bekas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebagai calonnya.
Manakala dua lagi calon adalah Johnny Anak Aput daripada Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Rapelson Richard Hamit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak baru (PBDS)
Nama ketiga-tiga calon berkenaan secara rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Hamsein Atar pada jam 10.15 pagi tadi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Masyarakat Lundu.

Thursday, 2 February 2017

14 BORANG PENCALONAN PRK TANJUNG DATU DIJUAL


TEKA teki siapa yang menjadi calon BN/PBB sudahpun terjawab dengan balu Allahyarham Tok Nan iaitu Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah bte Haji Anu sah menjadi calon penerus legasi Tok Nan di N3 Tanjung Datu nanti.  Di dalam tempoh 24 jam dari sekarang pula barulah kita mengetahui samada memang ada pertandingan atau tidak untuk PRK N3 Tanjung Datu kelak memandangkan penamaan calon akan bermula pada jam 9.00 hingga 10.00 pagi tanggal 4 Februari 2017.
Sudah ramai yang mencongak mengatakan bahawa dengan aura Tok Nan berkemungkinan besar calon BN akan menang di tebing kerana dikatakan tiada yang mahu mencabar beliau di situ.  Namun jangan mudah melaung frasa kemenangan sedangkan pentas baru sahaja disiapkan.  Menurut kenyataan SPR semalam menyatakan 14 borang pencalonan PRK N3 Tanjung Datu sudahpun dibeli oleh 7 individu termasuk wakil dari BN Sarawak sendiri dengan setiap individu membeli 2 set borang. 
Nampak gayanya bukan calang-calang pertembungan yang akan berlaku di Tanjung Datu.  Jikalah benar seperti yang diberitakan dari sana ada 2 parti politik sedang menunggu masa dan ketika untuk menghantar pencalonan mereka dan selebihnya adalah individu daripada bebas.  2 parti yang dikatakan itu adalah Parti Amanah Nasional atau PAN yang masih lagi ingin mencuba untuk mencari populariti di kalangan kawasan bumiputera Melayu seperti juga PRK Ke-11 yang lepas.  Dan tidak kurang turut mempunyai keinginan yang sama adalah STAR Sarawak iaitu parti tempatan Sarawak yang sentiasa mempunyai agendanya tersendiri di dalam memartabatkan autonomi untuk Sarawak selama ini.  Sementara DAP Sarawak pula masih lagi membisu seribu bahasa seolah-olah bermain tarik tali di dalam PRK kali ini.
Jika dilihat kepada track rekod kedua-dua parti iaitu PAN mahupun STAR pada PRN Ke-11 sememangnya agak jauh kebelakang dengan banyak tempat yang mereka tandingi kehilangan cengkeram pengundian.  Jadi kita tunggu berapa penjurukah pilihanraya kecil Tanjung Datu ini kelak.  Yang pasti tiada halangan untuk sesiapa sahaja ingin menjadi calon kerana sejak awal-awal lagi BN/PBB sudah mengwar-warkan mereka akan menghantar jentera pilihanraya yang terkuat untuk PRK kali ini.  

Wednesday, 1 February 2017

CALON BN-PBB TANJUNG DATU ISTERI TOK NAN


SUDAH terang lagi bersuluh akhirnya segala teka-teki siapakah yang menjadi calon mewakili BN-PBB untuk menggantikan Allahyarham Tok Nan sudahpun terungkai sebentar tadi. Presiden PBB yang juga KM Sarawak Datuk Amar Abang Jo sendiri yang mengumumkan bahawa legasi kepimpinan Tok Nan di Tanjung Datu akan dipertaruhkan di atas bahu calonnya yang juga isteri kepada Allahyarham Tok Nan sendiri iaitu Datin Patinggi Datuk Amar Hajjah Jamilah
 binti Haji Anu.

Wanita berketurunan Melanau dan berasal dari Kampung Buso, Bau ini merupakan lulusan dari Universiti Teknologi MARA. Lahir didalam keluarga polis menjadikan beliau seorang wanita besi yang sentiasa peka kepada hubungan kemasyarakatan mahupun kebajikan. Dek kerana itulah Datin Patinggi sejak dari awal lagi sudah banyak mengetuai badan-badan kebajikan di Sarawak. Dan kerana dibesarkan di dalam keluarga yang sentiasa dikelilingi dengan pelbagai bangsa dan kaum menyebabkan Datin Patinggi boleh bertutur di dalam bahasa Cina-Hakka dan Bidayuh dengan baik. Ditambahlagi dengan sikap beliau yang peramah serta sentiasa merendah diri menyebabkan beliau mudah didekati oleh rakyat jelata dari dahulu sehingga sekarang.
Ibu kepada 4 orang anak ini tidaklah asing di Sarawak malah sudah terserlah dirinya sebagai seorang bakal pemimpin sejak dahulu lagi. Pemilihan yang tepat sesuai dengan dirinya yang telah tahu selok belok dunia di Tanjung Datu kerana beliaulah yang selama ini bersama-sama dengan suaminya, Allahyarham Tok Nan menerajui kepimpinan Tanjung Datu sejak dahulu lagi. Sudah tentu pemilihan beliau telah mendapat mandate dan sokongan padu daripada rakyat Sarawak lebih-lebih lagi peringkat akar umbi di Tanjung Datu sendiri memandangkan aura Tok Nan masih lagi kukuh dan kuat di seluruh Sarawak walaupun dirinya sendiri sudah tiada lagi.
Sekarang, gendang bertandak sudah dipalu Cuma perlu menanti tanggal 4 Februari 2017 samada adakah calon-calon daripada bebas mahupun parti pembangkang yang lain berani mencabar wanita hebat ini di Tanjung Datu. Untuk rekod, Keadilan Sarawak sudahpun awal-awal mengatakan tiada cabaran daripada mereka untuk pilihanraya kecil kali ini. Sama-samalah kita nantikan kesudahannya.