Sunday, 8 October 2017

“BUJANG SENANG” TIADA DI LIGA MALAYSIA 2018

HANYA kerana isu perlesenan yang langsung tidak diuruskan dengan professional makanya pasukan bolasepak Sarawak mungkin tiada kelibatnya lagi beraksi di Liga Malaysia 2018.  Satu hal yang sudah tentu begitu menghampakan peminat sukan bolasepak di Sarawak malah tidak keterlaluan ianya juga cukup memalukan kita semua sebagai rakyat Sarawak.
Dengan banyaknya isu tunggakan gaji pemain baik dengan LHDN malah KWSP menyebabkan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak memerlukan sokongan daripada pihak korporat mahupun individu untuk membantu mereka. Ini bukannya kesalahan pengurusan PBS yang baru sebaliknya ini merupakan pekung yang terpaksa ditanggung oleh mereka dek kerana pengurusan lama yang tidak cekap.  
Umpama nyawa di hujung tanduk, PBS cuma mempunyai masa beberapa hari sahaja lagi apabila tarikh akhir untuk menyelesaikannya adalah pada 16 Oktober ini. Sudah tentu sekiranya ini terjadi banyak impak yang berlaku lebih-lebih lagi tentang isu pembangunan bolasepak Sarawak yang sedang kita usahakan sekarang akan menjadi sia-sia semuanya. 

ORANG SARAWAK SIK PALOI - KM ABG JO


MAJLIS Lan Berambeh buat kali ke-10 dijayakan dengan begitu meriah sekali di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur semalam. Hampir 10,000 rakyat Sarawak samada pelajar dan warga kerja yang ada di ibunegara dan Selangor hadir. Satu majlis yang senantiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak di perantauan.
Sebelum majlis makan malam turut diadakan pelbagai acara pada sebelah petangnya dan salah satu adalah randau bersama Ketua Menteri Sarawak. Dan pada ketika inilah KM Sarawak telah diajukan soalan oleh salah seorang yang hadir mengenai lawatan Tun Mahathir sebagai ketua Pakatan Harapan ke Sarawak tempohari. Dengan nada selamba tetapi tajam, beliau menjawab bahawasanya rakyat Sarawak sik paloi atau di dalam bahasa Malaysia standard 'rakyat Sarawak tidak bodoh'.
Ini kerana beliau pasti kedatangan Tun M tidak akan sewenang-wenangnya ditelan oleh rakyat Sarawak yang mengetahui hanya politik pembangunan yang harus dikejar untuk memajukan Sarawak itu sendiri. Kepimpinan yang ada sekarang sudah berusaha berhabis-habisan melalui kesepakatan dengan pucuk pimpinan pusat. Contoh terbaik adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang rancak dibina sekarang.
Rakyat Sarawak sudah begitu matang untuk berpolitik dan tidak hanya akan terbuai oleh janji bulan dan bintang parti pembangkang yang hanya menjenguk Sarawak bila menjelang pilihanraya. 22 tahun pemerintahan Tun M kepada Sarawak cukup untuk menjadi 'track record' bagaimana beliau melihat Sarawak selama ini.

Sumber gambar: Borneo Post

Thursday, 5 October 2017

2 MATI KES TEMBAK DI SIBU





SEBELUM ini salah seorang mangsa iaitu Lau Ngik Yin, 47 tahun pernah terselamat daripada peluru tanpa bermata apabila pada tahun 2012 dan 2014 terlibat di dalam kes yang sama.  Namun pada kali ini, beliau tidak mampu lagi berbuat apa-apa apabila nyawanya sendiri melayang ketika sedang menikmati juadah di sebuah kedai makan di Lorong Pahlawan, Sibu pada tengahari tadi.  Turut terkorban adalah rakan yang bersama-sama beliau. 

Menurut sumber dikatakan seorang lelaki yang memakai helmet dengan mengenakan jaket berwarna merah panjang telah melepaskan empat das tembakan kearah kedua-dua mangsa pada jarak dekat.  Usai menjalankan tugasnya, lelaki itu terus melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal yang pada awal lagi sudah diparkir berdekatan dengan kedai makan tersebut.  

Buat masa sekarang, pihak PDRM sedang menjalankan siasatan dan usaha memburu suspek giat dilakukan.  

Wednesday, 4 October 2017

AYAH CAMPAK ANAK KE LANTAI


ANGKARA mabuk dan hilang pertimbangan, seorang ayah tergamak mencampak anak lelakinya ke lantai.  Kejadian ini berlaku di Jalan Amoi, Sibu semalam yang mana menyaksikan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera retak tulang bahu sebelah kanan.  

Menurut sumber, ayah kanak-kanak lelaki tersebut bekerja sebagai tukang paip dan berusia 37 tahun.  Beliau sudahpun ditangkap oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya.  

Tuesday, 3 October 2017

11 WARGA ASING 3 TAHUN DIKURUNG DI BINTULU


KITA sering mendengar mengenai nasib malang yang menimpa segelintir individu apabila mereka menjadi mangsa manusia berhati syaitan di negara luar.  Manakan tidak, tenaga mereka dikerah tanpa mendapat imbuhan malah adakalanya di dunia moden ini masih lagi ada manusia yang menjadikan manusia lain seperti hamba abdi.  

Dan semalam kita digemparkan dengan cerita 11 warga asing iaitu sembilan wanita dan dua lelaki berusia antara 23 hingga 44 tahun dikurung di sebuah bilik hampir tiga tahun di sebuah rumah di Taman Heng, Jalan Sebiew, Bintulu.  Tindakan pantas PDRM yang melakukan penyerbuan telah berjaya membenarkan laporan daripada orangramai mengenai adanya kes pemerdagangan orang di rumah tersebut.  

Bayangkan selama hampir tiga tahun kesemua warga asing ini bekerja umpama hamba abdi di zaman moden dengan diarahkan membuat pembersihan rumah burung tanpa ada gaji walau sesen pun dan adakalanya jika tidak kena di mata tuannya akan dipukul dan disepak terajang.  Menurut sumber PDRM, tuannya iaitu pemilik kepada rumah di Taman Seabiew itu telahpun ditangkap iaitu pasangan suami isteri yang berusia 59 tahun dan 53 tahun.  

Episod hitam di dalam diari penghidupan 11 warga asing itu mungkin sudah menemui penghujungnya apabila sejurus selepas diselamatkan mereka dihantar ke rumah perlindungan.  Trauma mereka sudah tentu tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.  Dan kita akan menantikan apakah pula episod untuk pasangan suami isteri yang berhati hitam ini kerana apa yang mereka lakukan sesungguhnya amat memalukan kita sebagai rakyat Sarawak.  Tiada kompromi untuk mereka sebegini yang ada didalam masyarakat kita. 

Monday, 2 October 2017

DITEMUI PENDUDUK DIDALAM RUMPUT RUMPAI SUNGAI





DEK kerana jala yang ditebar tersangkut didalam sungai lalu seorang nelayan mengambil tindakan nekad untuk menyelam ke sungai.  Sementara dua lagi rakannya sabar menunggu di atas perahu.  Namun malangnya si penyelam pula tidak timbul-timbul selepas itu.  Begitulah yang terjadi kepada seorang penduduk di Kampung Plaie Baruh, Sebuyau pada hari Sabtu, 30 September 2017.  

Setelah kejadian malang ini dilaporkan maka satu Operasi Mencari Dan Menyelamat telah digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak serta merta.  Hampir tiga hari gerakan operasi dijalankan dengan turut dibantu oleh penduduk kampung Plaie Baruh sendiri.  

Penantian keluarga mangsa iaitu yang bernama Sangam Anak berusia 16 tahun akhirnya menemui titik noktahnya apabila semalam sekitar jam 12 tengahari mangsa sudah ditemui.  Bantuan penduduk kampung yang tidak pernah berputus asa telah menemui jenazah mangsa di dalam rumput rampai sungai iaitu lebih kurang 100 meter daripada tempat beliau dikatakan lemas.  Usai pengesahan mayat, jenazah Sanggam Anak telah dituntut keluarga dan akan dikebumikan mengikut adat dan tradisi masyarakatnya.  

Salam takziah kepada keluarga dan terima kasih kepada JBPMNS dan penduduk kampung. 

Sunday, 1 October 2017

KEMATIAN 2 LASKAR KELAS 1: DARI MATI MENGEJUT KE KES BUNUH


MALAYSIA dikejutkan dengan kematian dua anggota TLDM iaitu Nik Muhammad Baihaqy bin Nik Mat dan Mohammad Lailatulman bin Mohd Shukri ketika ditahan di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, Perak pada hari Jumaat yang lepas.  Pada awalnya pihak polis telah mengklasifikasikan kematian tersebut sebagai “mati mengejut”.

Namun apabila usai sahaja bedahsiasat dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mengesahkan bahawa kedua-dua anggota TLDM ini meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul.  Sehubungan dengan itu juga pihak PDRM telah meminda klasifikasi kes siasatan kepada kes bunuh iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.  Semalam juga, tiga suspek yang berusia diantara 29 hingga 44 tahun yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian ini.
Manakala kedua-dua jenazah Laskar Kelas Satu TLDM usai dibedahsiasat telah dituntut oleh keluarga mereka dan selamat dikebumikan mengikut adat istiadat ketenteraan semalam.  Jenazah Mohammad Lailatulman bin Mohd Shukri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Kelantan manakala untuk Nik Muhammad Baihaqy bin Nik Mat pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbat, Pasir Tumbuh, Kelantan.
Salam takziah untuk keluarga mereka.  Al-fatihah. Amin.