Monday, 23 April 2018

LUKANISMAN BIN AWANG


LUKANISMAN BIN AWANG
Calon BN  P218 Sibuti

MUNGKIN menyahut seruan generasi baru yang mahukan lebih banyak peluang untuk menampilkan barisan ahli politik di kalangan anak muda menyebab strategi Barisan Nasional Sarawak pada PRU ke-14 menampilkan seorang anak muda yang baru menjangkau 36 tahun usianya. Sekaligus pencalonan penuh dramatik ini menjadikan dirinya calon termuda di dalam Barisan Nasional Sarawak bagi mempertahankan Parlimen Sibuti (P218) yang sebelumnya diwakilil oleh Datuk Haji Ahmad Lai Bujang yang memohon untuk tidak dicalonkan semula.
Sedikit informasi di dalam kita cuba mengenal saudara Lukanisman bin Awang iaitu putera tunggal dari tiga orang adik-beradik kepada Awang Sauni bin Haji Pengiran Anis dan isterinya. Lahir pada tanggal 1hb Februari 1982 di Kampung Dagang, Miri. Berbangsa Melanau dan sebelum ini pernah bertugas sebagai Pegawai JASA di Miri sebelum menjadi Pegawai Khas kepada mantan Ahli Parlimen Sibuti. Bekas penuntut di sebuah sekolah yang terkenal di dalam melahirkan ramai ahli politik di Sarawak iaitu Kolej Tunku Haji Bujang di Miri, Sarawak dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dan Kepujian Polisi dan Sains Teknologi dari Universiti Malaya. Kaya dengan senyuman, peramah orangnya dan sentiasa merendah diri serta suka berjenaka adalah antara karektor beliau yang paling disenangi oleh rakan dan taulan. Masih lagi bujang orangnya dan mungkin selepas ini mesti ramai yang sedang mengintai di sebalik tabir ingin menjadikan beliau sebagai menantu atau “imam” di dalam keluarga.
Pencalonan seorang anak muda seperti saudara Lukanisman sudah tentu baik untuk Sarawak sekiranya beliau terpilih kelak. Biarpun usianya muda tetapi di dalam kancah politik Sarawak amnya dan kawasan sekitar Miri termasuk Sibuti, ianya sudah menjadi asam garam di dalam hidupnya. Sudah sampai waktunya Sarawak diwakili oleh barisan anak muda yang mempunyai pandangan yang sama tetapi pendekatan yang berbeza di dalam merealisasikan misi dan visi kerajaan selama ini samada di peringkat negeri mahupun persekutuan.
#PRU14
#CalonBNSarawak 

CALON BN SARAWAK PRU KE-14

AKHIRNYA yang dinanti-nantikan sudahpun menjelma apabila Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sarawak mengumumkan calon-calon yang akan bertanding untuk PRU ke-14 kali ini.  Tiada lagi rahsia dan segalanya terserah kepada calon-calon untuk bertingkah sepanjang kempen apabila hari penamaan calon akan bermula pada tanggal 28hb April 2018 ini.  

Untuk PRU ke-14 ini, Barisan Nasional akan bertanding di kesemua kerusi parlimen yang mana menyaksikan 16 calon merupakan penyandang parlimen manakala 15 lagi adalah calon muka baru.  Dari segi pembahagian kerusi pula menyaksikan PBB mendapat 14 kerusi, SUPP 7 kerusi, PRS 6 kerusi dan PDP 4 kerusi.  Dari jumlah keseluruhan juga menyaksikan ada pertambahan pada bilangan kaum wanita yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional iaitu seramai 6 orang kesemuanya.  

Senarai calon-calonnya adalah seperti berikut:

Calon Parlimen Mas Gading (P192) - Anthony Nogeh Gumek (BN)

Calon Parlimen Santubong (P193) - Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN)

Calon Parlimen Petra Jaya (P.194) - Datuk Fadillah Yusof (BN)

Calon Parlimen Kuching (P.195) - Kho Teck Wani (BN)

Calon Parlimen Stampin (P.196) - Datuk Dr Sim Kui Hian

Calon Parlimen Kota Samarahan (P197)- Rubiah Wang (BN)

Calon Parlimen Puncak Borneo (P.198) - Genot Anak Sinel @Jeannoth Sinel (BN)

Calon Parlimen Serian (P199) - Datuk Richard Riot Jaem (BN)

Calon Parlimen Batang Sadong (P200) - Nancy Shukri (BN)

Calon Parlimen Batang Lupar (P201) - Rohani Abdul Karim (BN) 

Calon Parlimen Sri Aman (P.202) - Masir Kujat (BN)

Calon Parlimen Lubok Antu (P203) - Robert Pasang Alam

Calon Parlimen Betong (P.204)- Robet Lawson Chuat (BN)

Calon Parlimen Saratok (P205) - Jagah @Subeng Anak Mula (BN)

Calon Tanjung Manis (P206) - Yusuf Abdul Wahab (BN)

Calon Parlimen Igan (P.207) - Ahmad Johnie Bin Zawawi (BN)

Calon Parlimen Sarikei (P.208) - Huang Tiong Sii (BN)

Calon Parlimen Julau (P.209) - Datuk Joseph Salang Gandum (BN)

Calon Parlimen Kanowit (P210) - Aaron Ago Dagang (BN)

Calon Parlimen Lanang (P.211) - Kong Sieng Chiu @Kelvin Kong

Calon Parlimen Sibu (P.212) - Wong Kee Yew @Andrew Wong

Calon Parlimen Mukah (P.213) - Hanifah Hajar Taib (BN)

Calon Parlimen Selangau (P214) - Rita Sarimah Anak Patrick (BN)

Calon Parlimen Kapit (P.215) - Datuk Alexander Nanta Linggi (BN)

Calon Parlimen Hulu Rajang (P.216) - Wilson Ugak Kumbong (BN)

Calon Parlimen Bintulu (P.217) - Datuk Seri Tiong King Sing (BN)

Calon Parlimen Sibuti (P.218) - Lukanisman Bin Awang

Calon Parlimen Miri (P.219) - Dato Sebastian Ting (BN)

Calon Parlimen Baram (P.220) -Anyie Ngau (BN)

Calon Parlimen Limbang (P.221) - Hasbi Habibollah (BN)

Calon Parlimen Lawas (P.222) - Datuk Henry Sum Agong (BN)



#PRU14

PENYANDANG PARLIMEN P218 SIBUTI MOHON TIDAK BERTANDING


MENJELANG hari penamaan calon pada tanggal 28 April 2018, selepas penyandang Parlimen Tanjung Manis iaitu Puan Norah Abdul Rahman, kem PBB salah satu komponen Barisan Nasional Sarawak terus dikejutkan dengan penarikan diri penyandang Parlimen 218 Sibuti hari ini.
Pada kali ini giliran Datuk Haji Ahmad Lai Bujang pula yang mengwar-warkan secara terbuka untuk menarik diri dari mempertahankan Parlimen Sibuti yang telah diwakilinya sejak di tahun 2008. Seperti juga penyandang Parlimen Tanjung Manis, beliau turut memberikan alasan bahawa pengundurannya adalah atas faktor-faktor kesihatan.
Suka atau tidak, rakyat di Parlimen Sibuti dan seluruh jentera BN Sarawak terpaksa akur dengan keputusan beliau. Dan terserahlah kepada budi bicara Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden PBB serta Pengerusi BN Sarawak untuk membuat pemilihan siapakah yang layak untuk bertanding pada PRU Ke-14 kelak.

Friday, 20 April 2018

PENYANDANG P206 TANJUNG MANIS MOHON TIDAK BERTANDING




ANGIN PRU ke-14 semakin bertiup kencang menjelang hari penamaan calon pada 28 April 2018 ini. Setelah pelbagai spekulasi yang tertera di portal-portal media sosial akhirnya yang empunya diri tampil dengan satu kenyataan di laman facebooknya mengesahkan segala khabar angin yang melanda.
Apa-apa pun keputusan beliau sudah tentu telah difikirkan sebaiknya. Puan Norah binti Abdul Rahman yang juga puteri kepada mantan Ketua Menteri Sarawak iaitu Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub telah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Manis sejak di tahun 2008 lagi. Banyak sumbangannya di dalam menjadikan parlimen Tanjung Manis yang kita kenali sekarang.
Adalah diharapkan agar sesiapa sahaja yang dipilih untuk menggantikan beliau untuk mewakili PBB/BN akan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik seperti beliau.

Thursday, 19 April 2018

JAMBATAN TAN SRI DR. SULAIMAN DAUD DIBERI NAMA


AKHIRNYA setelah berhempas pulas dengan fasa-fasa pembinaannya, satu projek yang ditunggu-tunggu oleh rakyat iaitu jambatan yang merentangi Sungai Sarawak dari Matang ke Stapok sudahpun dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak hari ini.  Sewaktu perasmian itu juga, beliau turut mengumumkan bahawa jambatan itu dinamakan sebagai Jambatan Tan Sri Dr. Sulaiman Daud, seorang figura politik Sarawak yang cukup tersohor suatu ketika dahulu di Malaysia.

Sedikit informasi mengenai Tan Sri Dr. Haji Sulaiman Daud bagi generasi baru yang tidak mengenali dirinya.  Dilahirkan pada tanggal 4hb Mac 1933 merupakan seorang ahli politik yang mempunyai Ijazah Kedoktoran Pergigian dari Universiti of Otago, New Zealand.  Pada waktu itu beliaulah bumiputera pertama anak Sarawak yang melakar sejarah sebagai seorang doktor gigi bertauliah di Sarawak.  Terjun ke dunia politik Sarawak dengan menjadi Ahli Parlimen Santubong pada tahun 1978 atas tiket PBB/Barisan Nasional.  Kemudian beliau turut pernah mewakili Parlimen Petrajaya. 

Kerjaya politiknya terus berkembang selepas itu apabila pernah memegang beberapa jawatan menteri persekutuan seperti Menteri Pelajaran (1981-1984 dan juga 1991-1995), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999). Usaha beliau jugalah yang menjadikan wujudnya pindaan pada Kanun Tanah Negara yang menjadi rujukan sehingga sekarang.  Tanggal 23hb Mac 2010, berita sedih menyelubungi dunia politik Sarawak mahupun Malaysia apabila figura politik yang disegani ini menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur akibat menghidap kanser hati.  Jenazahnya diterbangkan ke Kuching, Sarawak dan disemadikan Tanah Perkuburan Masjid Bahagian Kuching. 

Sesungguhnya penamaan jambatan tersebut mengambil bersempena dengan namanya adalah satu penghormatan besar kepada seorang mantan ahli politik Sarawak yang sewaktu menjadi Menteri Pelajaran pernah memperjuangkan Bahasa Inggeris sebagai antara subjek terpenting untuk sistem pembelajaran kita di Malaysia. 

Thursday, 5 April 2018

KORBAN KE-7 RABIES DI SARAWAK


SEJAK dari tahun 2017 lagi, wabak rabies terus membelenggu Sarawak.  Pada 3 April 2018 menyaksikan satu lagi nyawa menjadi korbannya apabila mangsa yang menetap di Taman Sri Makmur, Batu 6, Matang, Kuching meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak.  Difahamkan mangsa telah digigit oleh seekor anjing pada tanggal 23 Disember 2017 namun hanya mendapat rawatan di sebuah klinik swasta. 

Akibat daripada sakitnya yang tidak pulih akhirnya pada 2 April 2018 telah merujuk dirinya ke HUS dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir sehari selepas dimasukkan. 


Sunday, 1 April 2018

ELAUN SUKARELAWAN POLIS DINAIKKAN SERTA MERTA


SUKARELAWAN Polis bukanlah satu karier yang boleh diambil mudah lebih-lebih lagi mereka juga antara yang menjadi tulang belakang di dalam pentadbiran dan operasi Polis Diraja Malaysia.  Sehubungan dengan itu bagi menyuntik semangat dan motivasi untuk lebih ramai lagi yang akan menyertainya menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Ibu Pejabat Polis Kota Setar, Kedah mengumumkan elaun sukarelawan polis di seluruh Negara dinaikkan berkuatkuasa serta merta.

Untuk rekod, jumlah kenaikan bagi anggota adalah dari RM6.00 ke RM8.00 sejam manakala bagi yang berpangkat pegawai adalah dari RM7.80 ke RM9.80 sejam.