Wednesday, 31 May 2017

TINDAKAN NEKAD 11 PENUMPANG GAGALKAN CUBAAN MERAMPAS PESAWAT MH128





Penumpang dan krew penerbangan pesawat jenis Airbus A330 milik Sistem Penerbangan Malaysia MH128 yang di dalam perjalanan ke KLIA kira-kira jam 11.11 malam tadi menghadapi detik-detik cemas apabila salah seorang daripada penumpangnya dikatakan cuba untuk merampas dan merempuh secara paksa ke kokpit juruterbang sejurus selepas berlepas dari Melbourne. Turut dikatakan penumpang tersebut mengugut memiliki bahan letupan serta ditangannya turut mempunyai peranti elektronik.

Tidak mahu berpeluk tubuh, tindakan nekad daripada 11 penumpang dan krew penerbangan telah memungkinkan mereka berjaya menangkap penumpang lelaki tersebut tanpa ada mana-mana yang cedera. Oleh kerana tidak mahu mengambil risiko, juruterbang pesawat MH128 dilaporkan telah membuat penerbangan balik kecemasan ke Lapangan Terbang Tullmarine di Melbourne.

Bersedia dengan segala kemungkinan, pihak kakitangan di Tullmarine telah segera menutup lapangan terbang tersebut setelah dihubungi oleh juruterbang. Usai mendarat pihak pasukan beruniform Australia sudahpun siaga dan memasuki pesawat MH128 untuk mencari bahan letupan seperti yang diwar-warkan dan setelah melakukan pemeriksaan tiada bahan letupan dijumpai.

Episod ngeri cubaan rampasan pesawat MH128 ini akhirnya berjaya ditamatkan dengan penumpang lelaki itu diserahkan kepada pihak berkuasa Melbourne untuk urusan selanjutnya. Turut dilaporkan penumpang lelaki warga Sri Lanka itu di dalam pengaruh alkohol.

GAWAI DAYAK 2017


To our fellow Sarawakians who are celebrating Hari Gawai Dayak festival on 1st June, We wish you all a wonderful meaningful one – an abundance of blessing and prosperity be yours and family. 

Monday, 29 May 2017

PASANGAN PENYELUK SAKU DITANGKAP DI BAZAAR RAMADHAN



DIKETIKA kita sedang rambang mata memilih juadah untuk berbuka puasa di bazaar Ramadhan seringkali kita terleka dan kelalaian kita itulah yang menjadi satu peluang keemasan untuk si penyeluk saku.  Mereka datang dengan pelbagai taktik sehingga mampu meraih keuntungan dengan cara yang amat cepat walaupun hakikatnya ianya satu kesalahan dari segi undang-undang. 
Begitulah yang terjadi semalam di bazaar ramadhan Kota Sentosa apabila seorang wanita menjadi mangsa sepasang penyeluk saku warga tempatan.  Menurut keterangan dikatakan salah seorang penyeluk saku telah menghimpit mangsa seolah-olah ingin turut sama membeli juadah di satu gerai sebelum rakan iaitu seorang wanita bertindak mencuri dompet di dalam beg tangan mangsa.  Tanpa segan silu di khalayak ramai pasangan penyeluk saku meneruskan aktiviti mereka. 
Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua, apabila kegiatan pasangan penyeluk saku ini disedari oleh pengunjung bazaar ramadhan tersebut lalu ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang berkawal di tempat kejadian. Suspek lelaki berusia 51 tahun manakala wanita pula berusia 47 tahun didapati mempunyai rekod jenayah lampau berasal dari Kampung Semariang Lama dan Kampung Parit Lama, Kuching.  Menurut PDRM Kota Sentosa, pasangan suspek penyeluk saku ini akan direman bagi membantu siasatan. 

Sunday, 28 May 2017

MUKA BARU UNTUK PRU KE-14 PARLIMEN BETONG


PRK DUN Pujut sudah diketahui akan diadakan penamaan calonnya pada 20 Jun manakala pilihanrayanya pula pada tanggal 4 Julai 2017.  Dan rakyat juga terus dibuai bilakah pula Pilihanraya Umum akan diadakan untuk seluruh Malaysia.
Disebalik ceritera ini pula bukan satu rahsia apabila banyak parti-parti politik di seluruh Malaysia sudah mula mengatur gerakan di dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi PRU yang akan menjelang bila-bila masa.  Dan pada hujung minggu lepas sudah terang lagi bersuluh, KM Abang Jo menyatakan bahawa untuk Parlimen Betong akan ditampilkan muka baru bagi mewakili BN Sarawak kelak.  Calonnya masih lagi dirahsiakan kerana terlalu awal untuk diketengahkan. 

Kenyataan daripada KM Abang Jo itu sekaligus menjawab semua spekulasi yang bertiup kencang selama ini kerana sudah menjadi amalan biasa kepada BN Sarawak untuk tidak membenarkan mana-mana ahli politik mereka menjawat sebagai DUN dan Ahli Parlimen pada satu masa.  Untuk rekod, Parlimen Betong sejak di tahun 1983 diwakili oleh Datuk Amar Doughlas Unggah Embas yang pada PRN 2016 bagai “sireh pulang ke ganggang” bertanding di DUN Bukit Saban dan akhirnya memenanginya dengan penuh bergaya. 
 

Friday, 26 May 2017

MARHABAN YA RAMADAN


Pucuk selasih bertunas menjulang
Dahannya patah tolong betulkan 
Puasa Ramadan kembali menjelang 
Salah dan khilaf tolong dimaafkan.


Selamat menunaikan ibadan puasa.

Thursday, 25 May 2017

PANDU UJI BOT "SEALEGS" DAN PEMANTAUAN PROJEK JAMBATAN BATANG SAMARAHAN






BEBERAPA hari yang lepas, APM Sarawak menerima sebuah bot "Sealegs" yang bernilai RM640,000 dari Kerajaan Malaysia.  Ianya adalah untuk antara aset yang berharga untuk memperkuatkan APM Sarawak sekarang. 

Semalam pula menyaksikan Pengarah APM Sarawak membuat pandu uji bot tersebut di Batang Samarahan.  Turut bersama beliau adalah Pegawai Daerah Samarahan dan SAO Samarahan yang langsung membuat kerja-kerja pemantauan ke atas projek Jambatan Batang Samarahan yang sedang rancak dibina sekarang. 

Wednesday, 24 May 2017

LEDAKAN BOM DI KAMPUNG MELAYU, JAKARTA




MENGHAMPIRI seluruh umat Islam di dunia akan memulakan ibadah puasa selang beberapa hari, seperti ada rentetan perancangan strategik untuk mengkucar-kacirkan dunia. Usai di Manchester, Bangkok, Filipina dan semalam kira-kira jam 9.00 malam waktu Indonesia, Jakarta yang menjadi mangsa perbuatan manusia bertopengkan syaitan.

Pada kali ini sebuah perhentian bas di Kampung Melayu, Jakarta gempar dengan dua ledakan bom selang beberapa minit yang mana menyaksikan sembilan orang awam tercedera manakala dua lagi terkorban nyawa.  Adalah dipercayai salah seorang yang terkorban adalah pengebom berani mati itu sendiri dan seorang anggota polis tempatan. 

Bertindak daripada kejadian yang menggemparkan itu juga menyebabkan pihak berkuasa Indonesia sudah menutup laluan ke lokasi.  Sementara itu banyak Negara-negara di dunia sudah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya untuk tidak berkunjung ke Jakarta sebagai langkah keselamatan. 


Sumber gambar: Reuters