Friday, 23 August 2019

SEKIRANYA MA63 TIDAK SAH DARI AWAL, ADAKAH AKTA MALAYSIA 1963 (UK) DAN AKTA MALAYSIA (MALAYA) TURUT TIDAK SAH? -DSWJ-


BEBERAPA hari yang lepas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Tan Sri Datuk James Jemut Masing ada mencadangkan supaya penandatangan pembentukan Malaysia di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963) untuk membuat perjanjian yang baharu.

Pautannya adalah seperti berikut:


Mengulas akan cadangan itu, Ahli Parlimen Santubong yang juga seorang pengamal undang-undang berpengalaman di Sarawak yakni Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar menyatakan bahawa cadangan itu masih terlalu kabur untuk dilaksanakan. Ini kerana Perjanjian Malaysia 1963 adalah perjanjian antarabangsa yang berdaftar. Dan dek kerana itu sebarang pertimbangan untuk satu perjanjian semula tidaklah boleh diolah sebegitu sahaja.  

Menurut beliau membuat pembatalan satu perjanjian memerlukan bukti dan dokumentasi yang cukup.  Sekiranya MA63 tidah sah dari awal, besar kemungkinan akta Malaysia 1963 (UK) dan Akta Malaysia (Malaya) turut tidak sah.  Jadi satu-satu cara penyelesaian di dalam hal ini bukanlah untuk membuat perjanjian yang baharu sebaliknya Sarawak harus memohon pertimbangan di ICJ.  

Selain itu bukanlah sewenang-wenangnya boleh membawa hal ini ke ICJ kerana satu petisyen harus dihantar ke London dan andaikata London bersetuju maka ianya harus jua mendapat persetujuan daripada Putrajaya. Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Mahathir bukannya boleh memberi kata putus berseorangan kerana beliau harus merujuk kepada Kabinet Persekutuan.  

Dan harus diingat ianya tidaklah semudah yang disangka kerana umum mengetahui Sarawak itu sendiri seumpama seekor angsa yang menetaskan telor emas kepada Malaysia.  Melepaskan Sarawak bermakna hilang ekonomi utama penjana Negara. 

Pautan berita penuh:

PEMBINAAN KILANG BESI DI BINTULU SEDIA 4K PELUANG PEKERJAAN


DENGAN keupayaan untuk menyediakan 4,000 peluang pekerjaan, satu kilang pembuatan besi terbesar akan dibina di Samalaju Industrial Park, Bintulu. Ianya bukan sahaja terbesar malah turut menampilkan pembuatan besi berasaskan teknologi moden dan terkini yang pernah ada di Malaysia. Ianya adalah satu kilang hasil pelaburan dari China.

Kerja-kerja asas pembinaan kilang itu akan bermula pada penghujung tahun 2019 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2020.

Pautan berita penuh:


Satu lagi usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat Sarawak mendapat limpahan pekerjaan serta menjana ekonomi bagi Sarawak.

#SarawakDiutamakan 

PAMPASAN PENGAMBILAN TANAH UNTUK PROJEK JAMBATAN LASSA


SEMALAM menyaksikan seramai 40 orang warga penduduk Semop dan Daro yakni dari Kampong Badong, Kampung Kut Daro yang mana tanah mereka diambil bagi membenarkan pembinaan projek Jambatan Lassa menerima wang pampasan mereka berjumlah RM644,413. Majlis penyerahan cek pampasan telah dilakukan oleh YB Safiee Ahmad, ADUN Daro dan turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Igan, YB Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Serbaguna, Daro, Mukah.

Projek Jambatan Lassa adalah satu projek infrastruktur yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan kos sebanyak RM597.58 juta.  Pembinaannya sudahpun bermula sejak Mac 2019 dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.


Pautan berita penuh:

https://suarasarawak.my/2019/08/22/40-orang-terima-pampasan-tanah-berjumlah-rm644413-00-di-daro/

#SarawakDiutamakan

Thursday, 22 August 2019

9 PUSAT JUDI BERSELINDUNG DISEBALIK KEDAI RUNCIT DISERBU POLIS


YANG tampak di mata orang awam ianya adalah sebuah kedai runcit yang menjadi ejen menjual tambahnilai namun sebenarnya kegiatan utamanya adalah menjadi pusat judi.  Inilah antara modus operandi bagi pusat-pusat judi di seluruh Sarawak yang ada sekarang.  Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua tatkala semalam menyaksikan sembilan buah kedai runcit di Bintulu diserbu oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak dan IPD Bintulu.  

Operasi polis yang dinamakan Ops Dadu yang menyasarkan pusat perjudian yang berselindung di sebalik kedai runcit itu telah berjaya memberkas tujuh orang suspek yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan warga asing serta dua wanita tempatan.  Turut dirampas pelbagai barangan seperti beberapa unit telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM1,207.

Pautan berita penuh:

https://www.utusanborneo.com.my/2019/08/23/kedai-runcit-disyaki-dalangi-judi-diserbu-sembilan-dicekup

Syabas dan tahniah PDRM Sarawak atas pembanterasan pusat judi secara besar-besaran.  

DR JERIP KEKAL DALAM KABINET SARAWAK WALAU TANPA PARTI


RAMAI yang tertanya-tanya ke manakah halatuju politik Datuk Dr. Jerip setelah beliau meninggalkan Parti Sarawak Bersatu beberapa bulan yang lepas.  Dan sehingga ke hari ini walau banyak khabar angin namun tiada yang pasti ke manakah pula ADUN Mambong ini menempatkan dirinya di dalam kancah politik Sarawak.  Walau bagaimanapun sejak dari awal beliau meninggalkan PSB lagi, Datuk Dr. Jerip secara terbuka memberi sokongan terbukanya kepada kepimpinan KM Sarawak Abang Jo dan Gabungan Parti Sarawak.  

Semalam menyaksikan Datuk Dr Jerip biar tanpa parti politik tetap dikekalkan di dalam rombakan kabinet Kerajaan Sarawak 2019 sebagai menteri muda di Kementerian Pengangkutan Sarawak, portfolio baru di kabinet Sarawak.   


Pautan berita penuh:

DATU JAUL SAMION, SETIAUSAHA KERAJAAN SARAWAK YANG BAHARU


Anak Iban Kedua Dilantik Sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak

MENGIKUT sejarahnya di dalam perlantikan seorang Setiausaha Kerajaan Sarawak hanya pada tahun 1970an seorang anak Iban pernah menjawat jawatan tersebut iaitu Tan Sri Gerunsin Lembat dan perlantikan Datu Jaul Samion seperti yang diwar-warkan oleh KM Sarawak sememangnya mencipta sejarahnya yang tersendiri kerana beliau merupakan anak Iban kedua pernah dilantik ke jawatan tersebut.  Dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan bahawa dialah individu yang paling layak untuk menggantikan Datuk Amar Mohd. Morshidi Ghani yang bersara wajib.  

Dengan kewibawaan serta pengalaman beliau yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam dan juga menjadi non eksekutif beberapa agensi kerajaan sebelum ini sudah tentu akan membantu Kerajaan Sarawak untuk lebih berdaya saing di dalam mengurus tadbir Negeri Sarawak kelak.  Perlantikan ini juga mampu menempelak beberapa tuduhan liar selama ini terutama sekali dari puak pembangkang bahawasanya Gabungan Parti Sarawak ini bersikap perkauman dan pilih bulu sedangkan ianya tidak.  


Tahniah diucapkan kepada Datu Jaul Samion.  Anak Iban kedua dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak.

MBKS DAN DBKU TERIMA DATUK BANDAR YANG BAHARU


SEJAJAR dengan rombakan kabinet Kerajaan Sarawak yang berkuatkuasa pada hari ini, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari turut mengumumkan bahawa dua majlis berkuasa tempatan yang menjaga bandaraya Kuching yakni Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menerima dua datuk bandar yang baharu.  

Datuk Bandar Kuching Utara akan diisi oleh Datu Junaidi Reduan manakala Datuk Bandar Kuching Selatan akan diisi oleh Datuk Wee Hong Seng.  

Pautan berita penuh: