Saturday, 30 March 2019

EMPAT PENJURU UNTUK PRK DUN RANTAU


EPISOD siapakah yang selayaknya untuk mewakili DUN Rantau akan ternoktah menjelang hari mengundi 13 April 2019 ini yang mana pagi tadi menyaksikan empat calon sudah disahkan untuk bertanding.  Empat calon yang layak bertanding adalah Datuk Seri Mohamad Hasan (BN), Dr. S. Streram (PH-PKR) dan dua calon bebas iaitu R. Malar dan Mohd Nor Yassin. 

Untuk rekod, pilihanraya DUN Rantau dibuat semula setelah Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang memberikan keputusan kemenangan kepada Datuk Seri Mohamad Hassan dari Barisan Nasional pada pilihanraya umum yang ke-14 lepas. 


Jika kita melihat kepada dua pilihanraya kecil sebelum ini menunjukkan rekod BN sememangnya cemerlang berbanding PH dan mungkinkah DUN Rantau juga akan menjadi saksi kebangkitan rakyat yang jelak dengan momokan impian dan janji dicapati oleh PH seperti di dalam manifesto mereka yang masih belum ada yang ditunaikan sepenuhnya biarpun sudah hampir setahun memerintah.  

MP MIRI "KERA DIHUTAN DISUSUKAN, ANAK DI RUMAH MATI KELAPARAN"


Pemberian Kupon Percuma Makanan Sekolah di Rantau Negeri Sembilan
PEPATAH melayu ada menyatakan kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan maka begitulah sinonimnya dengan tindakan seorang Ahli Parlimen Miri iaitu YB Dr. Michael Teo apabila beliau bertindak menghulurkan kupon makanan sekolah bernilai sebanyak RM75,000 kepada lima sekolah di Rantau, Negeri Sembilan. Tidaklah pernah difikirkan bahawasanya keluasan parlimen Miri sehingga boleh menyeberang Laut China Selatan yakni di Negeri Sembilan, Semenanjung Malaysia.
Apakah permainan Dr Teo pada kali ini sedangkan kita mengetahui bahawa beliau hanya Ahli Parlimen biasa sahaja yang langsung tidak mempunyai portfolio Menteri Persekutuan yang kita sudah maklum bidang tugasan mereka akan mencakupi seluruh Malaysia tetapi untuk ahli Parlimen Miri, biarlah yang menjadi keutamaan beliau adalah apa yang berlaku di Miri sahaja yang sudah tentu begitu mendambakan perhatian beliau. Parlimen Miri itu tidak pernah kurang dengan pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan dari segi kupon makanan percuma.
Tindakan Dr Teo turut mendapat maklumbalas daripada pihak PAS, Miri yang mengeluarkan kenyataan media rasminya semalam, 29 Mac 2019. Dan ianya turut mendapat respons dari BERSIH sendiri yang mengatakan bahawa tindakan memberi kupon makanan percuma itu adalah salah kerana ianya boleh diibaratkan memberi “gula-gula politik” menjelang Pilihanraya Kecil Rantau.
Sebagai seorang ahli parlimen sepatutnya YB Dr. Teo peka dengan segala hal yang melibatkan peraturan-peraturan yang tertentu ditambahlagi dahulu merekalah antara parti yang bersama-sama melaungkan agar setiap pilihanraya “bersih” dari segalanya. Lain pula halnya jika sudah menjadi kerajaan yang memerintah. Semua dibolehkan kerana mereka berkuasa.
Lebih baik YB Dr. Teo memikirkan Parlimen Miri daripada sibuk dengan tempat yang lain.

Thursday, 28 March 2019

AHLI PARLIMEN SANDAKAN MENINGGAL DUNIA


WONG Tien Fatt, wakil Parlimen Sandakan, Sabah meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung. Mendiang merupakan Pengerusi DAP Sabah dan memenangi Parlimen Sandakan sejak di tahun 2013 lagi. Pada PRU ke-14 yang lepas, mendiang menang majoriti besar mengatasi Lim Ming Hoo dari LDP. 
Dilahirkan pada tanggal 2 Oktober 1954 di Sandakan, Sabah. Mendiang di sepanjang karier politik adalah antara yang terkenal dengan suara lantangnya mengkritik isu ESSCOM yang dikatakan gagal diuruskan dengan sempurna.  Dengan kekosongan ini juga menyaksikan satu lagi PRK berkemungkinan besar akan diadakan di Sabah.
Salam takziah untuk keluarga mendiang dan seluruh ahli parti DAP Sabah dan pusat.  

R.I.P 

Tuesday, 19 March 2019

KOMIK “PERREY”


Komik Bahasa Melayu Sarawak Pertama Di Dunia
ADALAH menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Sarawak tatkala ada anak tempatan yang mampu mengeluarkan komik di dalam bahasa Melayu Sarawak sekaligus menjadi yang pertama di dunia. Dan untuk kesekian kalinya, komik “Perrey” ini akan menemui pembaca dan peminat komik menjelang 2hb April 2019 ini. 
Hasil karya Art of Wud ini diperkira mempunyai 100 halaman bercetak dan akan dijual di Sabah dan Sarawak pada harga RM15 sementara di Semenanjung Malaysia, RM17.

Konsep untuk komik berbahasa Melayu Sarawak ini adalah bercorak lawak sarkastik yang meliputi pelbagai isu tempatan dan semasa yang mencakupi apa yang terjadi di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.
Jadi, sama-samalah kita memberikan sokongan keatas hasil kreativiti anak tempatan Sarawak. Bukanlah mudah untuk mendapat pengiktirafan seperti ini dan tiada siapa yang boleh membantu kejayaannya selain kita sebagai rakyat Sarawak.

Friday, 15 March 2019

#PRAY FOR CHRISTCHURCH



Al-Fatihah untuk 49 mangsa serangan PENGGANAS di Christchurch, New Zealand.

SOLAT JUMAAT BERTUKAR TRAGEDI DI CHRISTCHURCH


Rakyat Malaysia antara mangsa tembakan rambang di masjid Christchurch, New Zealand
Seorang rakyat Malaysia disahkan menjadi mangsa dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand. Menerusi kemaskini Twitter akaun Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Welington, mangsa dilaporkan cedera dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital terdekat.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengesahkan perkara tersebut menerusi Twitter beliau. Malah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington juga sedang mendapatkan perincian kejadian tersebut daripada pihak berkuasa tempatan.
Difahamkan juga, anak mangsa yang berusia 17 tahun turut berada di dalam masjid sama. Namun, status remaja itu masih belum diketahui.
Justeru, rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan dinasihatkan untuk berada di dalam kediaman masing-masing.

Monday, 11 March 2019

PENJARA 100 TAHUN 50 SEBATAN ROGOL ANAK KANDUNG


SEORANG ayah seharusnya menjadi pelindung kepada anak-anaknya namun sayangnya ada segelintir yang lebih gemar menjadi iblis bertopeng syaitan kerana mengikut hawa nafsu sehingga tergamak merogol anak kandung sendiri.  Begitulah yang terjadi ke atas seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 14 tahun dirogol oleh ayah kandungnya sejak berusia 10 tahun lagi.  
Rahsia terbongkar apabila kanak-kanak itu dibawa ke Klinik Kesihatan Serasot di Bau, Sarawak untuk rawatan selsema pada mulanya yang akhirnya membuka rahsia beliau dirogol oleh ayah kandungnya sendiri.  Bertindak daripada laporan itulah, ayah kanak-kanak perempuan itu telah ditangkap oleh pihak PDRM pada 4hb Mac 2019 di Bau dan seterusnya diheret ke mahkamah semalam.  
Seorang buruh warganegara Indonesia berusia 32 tahun yang berkahwin dengan penduduk tempatan Sarawak itu telah dijatuhi hukuman 100 tahun penjara dan 50 sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan.  Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan yang diarahkan untuk berjalan secara serentak.  Manakala bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima dalam Mahkamah Sesyen berlainan, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan, dan diarahkan untuk menjalani hukuman tersebut secara berasingan.  Dek kerana ada pertuduhan yang dijalankan serentak maka tertuduh hanya perlu menjalani 80 tahun penjara kesemuanya.  
Melihat kepada perkembangan isu “haruan makan anak” ini seperti tiada kesudahannya.  Apa sudah hilangkah nilai kasih sayang antara kita manusia.  Kanak-kanak itu adalah amanah untuk kita pemberian Tuhan yang Esa.

Berita penuh ada di pautan ini:
https://www.utusanborneo.com.my/2019/03/11/buruh-rogol-anak-dihukum-penjara-100-tahun-50-sebatan?fbclid=IwAR3aT2y-gRTXY2T45AaZrzP1JFVhileHAO_p2GF62axhMNCKuE5Ndx0tNjo

Kredit gambar: Sin Chew Daily 

HINA NABI SEORANG MUALAF DIPENJARA 7 BULAN DENDA RM10K


SELEPAS Alister Cogia, 22 tahun yang dijatuhkan hukuman 10 tahun dan denda RM50,000 minggu lepas, hari ini giliran Muhamad Yazid Kong Abdullah, seorang mualaf berusia 52 tahun.  Muhamad Yazid yang mengaku bersalah pada Jumaat lepas kerana didapati memuatnaik tiga status di laman buku yang menghina Islam dan Nabi Muhammad pada tanggal 24 Februari 2019.  

Sehubungan dengan itu, pihak Hakim Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 7 bulan dan denda RM10,000 ke atas beliau.  Turut dinyatakan sekiranya Yazid gagal untuk membayar denda maka akan ada tambahan dua bulan penjara.  Biarpun peguam Yazid memohon untuk diringankan hukuman memandangkan Yazid seorang penganggur dan ini merupakan kesalahan pertama beliau, namun pihak mahkamah berpendapat kesalahan Yazid tidak boleh dipandang enteng kerana telah menganggu keharmonian di negara sekarang.  

Berita penuh ada di pautan ini: 

Saturday, 9 March 2019

TERRORIST DITANGKAP DI SERIAN, SARAWAK


TANPA kita sedari sebagai rakyat Sarawak pada tanggal 2hb Februari 2019 yang lepas, ada serbuan dilakukan oleh Pasukan Counter Terrorist Cawangan Khas di Serian, Kuching.  Ianya diwar-warkan oleh Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Mohd Fuzi Harun yang mana menurut beliau, penangkapan tiga orang suspek yang mana seorang lelaki rakyat Mesir dan dua rakyat Sarawak (seorangnya wanita) adalah susulan daripada penahanan sembilan lagi suspek yang dicekup di dalam operasi bersepadu di ibukota Kuala Lumpur.  

Tiga orang suspek yang berusia dari 20 hingga 54 tahun disyaki menyembunyikan maklumat tentang kehadiran Operatif Ansar Al-Shariah An-Tunisia yang menjadikan Malaysia sebagai ‘pangkalan selamat” yakni negara transit dan logistik mereka di Asia Tenggara.  Antara modus operandi pengganas ini adalah adalah dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu atau sah yang kemudiannya mereka berkahwin dengan rakyat tempatan demi untuk memperoleh visa pasangan (spouse visa).  Kehadiran mereka amatlah berbahaya kerana boleh menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau melancarkan serangan di dalam Negara Malaysia itu sendiri.

Suspek-suspek ini ditahan di bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). Difahamkan pada tanggal 5hb Mac 2019 yang lalu kesemua mereka telah diusir ke negara asal sebagai langkah keselamatan dan turut telah disenaraihitam daripada memasuki negara ini seumur hidup.

Untuk itu bagi semua rakyat Sarawak adalah perlu untuk kita berhati-hati di hal seperti ini.  Ramai antara kelompok pengganas ini sentiasa cuba menangguk di air yang keruh atas sifat keterbukaan kita menerima orang asing di dalam hidup.  Perlulah untuk kita menyiasat dahulu siapakah kenalan kita sebelum nasi menjadi bubur.  Buruk padahnya kemudian hari.  

VIDEO PROMOSI RMWF MENANG ANUGERAH EMAS DI ITB BERLIN 2019


DISEBALIK promosi rancak yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019, semalam 9hb Mac 2019 menyaksikan video promosi Rainforest Music Festival yang meletakkan nama Sarawak sebagai tumpuan dunia saban tahun telah berjaya memenangi anugerah Emas The Golden City Gate 2019 di ITB Berlin, Jerman iaitu satu acara tahunan antarabangsa yang berkisar tentang dunia pelancongan.  Ianya merupakan satu penghormatan besar untuk Sarawak lebih-lebih lagi video promosi tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh sebuah produksi Sarawak iaitu Asa Esa yang menggunakan tenaga seni kreatif anak Sarawak sendiri.  

Anugerah tersebut diterima oleh Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yang juga ADUN Asajaya dari President Golden City Gate, Mr. Wolfgang Jo Huschert di Malaysian Pavillion, Messe Berlin, Jerman.  

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sarawak Tourism Board, Kementerian Pelancongan Sarawak dan sudah tentu Asa Esa.  Satu kejayaan yang membuktikan bahawa hasil kerja kreatif anak tempatan Sarawak boleh diiktiraf di peringkat dunia.  

STATUS RAKAN KONGSI SABAH SARAWAK



PARLIMEN Malaysia akan bersidang bermula 11hb Mac 2019 ini dan ada satu berita gembira yang kita perolehi iaitu dinyatakan bahawa Kabinet Persekutuan bersetuju untuk membuat usul bagi membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi pembentukan Negara Malaysia.  Dan bagi merealisasikannya sudah awal-awal lagi, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Mahathir Mohamed menyatakan bahawa mereka memerlukan 2/3 undi majoriti di dalam parlimen kelak.  

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang wajar untuk kita ikuti perkembangannya lebih-lebih lagi inilah antara misi dan visi Sarawak semenjak di zaman kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem lagi iaitu bagi mengangkat semula status Sarawak seperti yang terkandung di dalam MA63 suatu ketika dahulu.  Dan untuk Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg pula pada hari ini turut menyatakan bahawa beliau akan meminta kesemua ahli-ahli Parlimen GPS untuk menyokong usul tersebut.  Ianya sejajar dengan pendirian GPS sejak ia ditubuhkan iaitu akan mendahulukan Sarawak dan sebarang perkara yang membawa kebaikan untuk Sarawak akan disokong biarpun Sarawak bukan gabungan parti politik di dalam Pakatan Harapan sekarang.  

Untuk rekod jika kita menyelak kembali 55 tahun dahulu seperti apa yang terkandung di dalam draf pertama Perlembagaan sewaktu penubuhan Malaysia ada menyatakan yang berikut iaitu:

Article 1: The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be-

(a) The States of Malaya, namely, Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu
(b) The Borneo states, namely, Sabah and Sarawak, and
(c) The state of Singapore

Dan sekitar tahun 1976, Perlembagaan telah dipinda yang mana melalui bukti Hansard Parlimen pada masa itu turut dipersetujui oleh wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak.  Cuma bezanya jika kita merujuk kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun Sabah, pindaan ini langsung tidak pernah diusulkan di peringkat Negeri.  

Selepas pindaan Perlembagaan itu maka jadilah ianya seperti berikut:

Article 1: The The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Selangor.  

Pindaan ini menyebabkan Sabah dan Sarawak telah dituruntaraf menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia.  

Menjadi tiga entiti pembentuk Negara Malaysia ada bezanya menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Negara Malaysia dan hal ini harus diketahui oleh semua rakyat Malaysia.  Makna rakan kongsi itu juga membawa maksud yang cukup besar baik dari segi sosial dan ekonomi.  Pembahagian bajet misalnya adalah sesuatu yang memainkan peranan yang amat besar di dalam pembangunan negeri pembentuk seperti Sarawak dan Sabah.  

Sebagai rakyat Sarawak mahupun Sabah, sudah tentu ini adalah sesuatu yang kita nanti-nantikan dan seharusnya tindakan ini kita sokong tanpa mengira perbezaan politik.  Kesilapan dahulu adalah satu sejarah yang seharusnya tidak boleh kita ulangi kembali.  Yang penting sekarang masih ada sirna untuk membetulkan kesilapannya dan kita harus berfikir ke hadapan atas nama Sarawak mahupun Sabah.  

#SarawakDiutamakan

Friday, 8 March 2019

PENJARA 10 TAHUN DENDA RM50K UNTUK AYEA


TULAR di media sosial beberapa hari yang lepas apabila seorang pemuda anak Sarawak memuatnaik komentar yang menghina Nabi Muhammad.  Banyak laporan polis diterima atas onar yang dibuat oleh seorang pemuda yang mana nama sebenarnya adalah Alister Cogia berasal dari Singai, Bau yang menggunakan nama “Ayea” di laman mukabuku milik beliau.  

Hari ini menyaksikan, Ayea dihadapkan ke mahkamah dengan dirinya mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau dibawah Seksyen 298A(1)(a) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.  Secara total bagi setiap kesalahan adalah penjara 10 tahun dan denda RM50,000 dikenakan ke atas beliau.  

Berita penuh ada dilink ini:

3 DIDAKWA KES HINA NABI DAN TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN


HARI ini menyaksikan tiga orang rakyat Malaysia dengan kes menghina Nabi Muhammad dan agama Islam di laman media sosial telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.  Mereka adalah Mohammad Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, Chow Mun Fan, 43 tahun dan Danny Antoni, seorang anak Sarawak yang tinggal di Malaya.  Ketiga-tiga mereka dituduh dengan pelbagai kesalahan menyalahgunakan laman sosial yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia. Sebelum itu Mohammad Yazid mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau manakala dua lagi iaitu Chow dan Danny mengaku tidak bersalah. 
  
Kes mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.  Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan dan Seksyen 505c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.  Dek kerana keseriusan kes ini maka pihak Mahkamah menetapkan TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN terhadap mereka bertiga dan 5hb April 2019 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
  
Ambillah iktibar atas perkara yang berlaku ini dan semoga kita terus menjunjung kebebasan beragama dan menjaga keharmonian kaum serta saling hormat-menghormati antara kita.  Jangan kerana mengikut kata hati yang penuh dengan dendam dan benci akhirnya menyebabkan kita menjadi penghuni jeriji besi dek kerana otak tidak berhubung dengan jari sebelum memuatnaik status di laman media sosial.  

Wednesday, 6 March 2019

2 LAGI MANTAN MP SERTAI PSB


BUKAN seorang tetapi ada dua lagi ahli politik Sarawak yang disahkan menganggotai Parti Sarawak Bersatu hari ini.  Selepas Dato Masir Kujat, kem PSB dibawah Dato Sri Wong Soon Koh turut dianggotai oleh Datuk Joseph Entulu Belaun dan Dato William Nyalau Badak.  Sebelum ini mantan ADUN Marudi iaitu Datuk Sylvester Entri Muran dan Banyi Beradak (TERAS) turut awal-awal “angkat kaki” meninggalkan parti asal mereka memulakan karier politik dan menyertai PSB.  

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak sekarang lebih-lebih lagi menjelang PRN yang dijadualkan berakhir pada tahun 2021.  

DATO MASIR KUJAT KELUAR PRS SERTAI PSB


SATU nama besar di dalam arena politik Sarawak iaitu Dato Masir Anak Kujat, antara pemimpin di dalam Parti Rakyat Sarawak mengumumkan perletakan jawatannya di dalam parti tersebut hari ini.  Difahamkan beliau akan menganggotai Parti Sarawak Bersatu atau United Peoples Party (UPP) yang dijenamakan semula yakni satu lagi parti tempatan Sarawak yang dipimpin oleh Dato Sri Wong Soon Koh.

Sehingga artikel ini ditulis belum ada lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Dato Masir sebab musabab perletakkan jawatan beliau dari Parti Rakyat Sarawak.