Saturday, 9 March 2019

STATUS RAKAN KONGSI SABAH SARAWAK



PARLIMEN Malaysia akan bersidang bermula 11hb Mac 2019 ini dan ada satu berita gembira yang kita perolehi iaitu dinyatakan bahawa Kabinet Persekutuan bersetuju untuk membuat usul bagi membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi pembentukan Negara Malaysia.  Dan bagi merealisasikannya sudah awal-awal lagi, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Mahathir Mohamed menyatakan bahawa mereka memerlukan 2/3 undi majoriti di dalam parlimen kelak.  

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang wajar untuk kita ikuti perkembangannya lebih-lebih lagi inilah antara misi dan visi Sarawak semenjak di zaman kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem lagi iaitu bagi mengangkat semula status Sarawak seperti yang terkandung di dalam MA63 suatu ketika dahulu.  Dan untuk Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg pula pada hari ini turut menyatakan bahawa beliau akan meminta kesemua ahli-ahli Parlimen GPS untuk menyokong usul tersebut.  Ianya sejajar dengan pendirian GPS sejak ia ditubuhkan iaitu akan mendahulukan Sarawak dan sebarang perkara yang membawa kebaikan untuk Sarawak akan disokong biarpun Sarawak bukan gabungan parti politik di dalam Pakatan Harapan sekarang.  

Untuk rekod jika kita menyelak kembali 55 tahun dahulu seperti apa yang terkandung di dalam draf pertama Perlembagaan sewaktu penubuhan Malaysia ada menyatakan yang berikut iaitu:

Article 1: The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be-

(a) The States of Malaya, namely, Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu
(b) The Borneo states, namely, Sabah and Sarawak, and
(c) The state of Singapore

Dan sekitar tahun 1976, Perlembagaan telah dipinda yang mana melalui bukti Hansard Parlimen pada masa itu turut dipersetujui oleh wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak.  Cuma bezanya jika kita merujuk kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun Sabah, pindaan ini langsung tidak pernah diusulkan di peringkat Negeri.  

Selepas pindaan Perlembagaan itu maka jadilah ianya seperti berikut:

Article 1: The The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Selangor.  

Pindaan ini menyebabkan Sabah dan Sarawak telah dituruntaraf menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia.  

Menjadi tiga entiti pembentuk Negara Malaysia ada bezanya menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Negara Malaysia dan hal ini harus diketahui oleh semua rakyat Malaysia.  Makna rakan kongsi itu juga membawa maksud yang cukup besar baik dari segi sosial dan ekonomi.  Pembahagian bajet misalnya adalah sesuatu yang memainkan peranan yang amat besar di dalam pembangunan negeri pembentuk seperti Sarawak dan Sabah.  

Sebagai rakyat Sarawak mahupun Sabah, sudah tentu ini adalah sesuatu yang kita nanti-nantikan dan seharusnya tindakan ini kita sokong tanpa mengira perbezaan politik.  Kesilapan dahulu adalah satu sejarah yang seharusnya tidak boleh kita ulangi kembali.  Yang penting sekarang masih ada sirna untuk membetulkan kesilapannya dan kita harus berfikir ke hadapan atas nama Sarawak mahupun Sabah.  

#SarawakDiutamakan

No comments:

Post a Comment