Friday 8 March 2019

3 DIDAKWA KES HINA NABI DAN TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN


HARI ini menyaksikan tiga orang rakyat Malaysia dengan kes menghina Nabi Muhammad dan agama Islam di laman media sosial telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.  Mereka adalah Mohammad Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, Chow Mun Fan, 43 tahun dan Danny Antoni, seorang anak Sarawak yang tinggal di Malaya.  Ketiga-tiga mereka dituduh dengan pelbagai kesalahan menyalahgunakan laman sosial yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia. Sebelum itu Mohammad Yazid mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau manakala dua lagi iaitu Chow dan Danny mengaku tidak bersalah. 
  
Kes mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.  Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan dan Seksyen 505c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.  Dek kerana keseriusan kes ini maka pihak Mahkamah menetapkan TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN terhadap mereka bertiga dan 5hb April 2019 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
  
Ambillah iktibar atas perkara yang berlaku ini dan semoga kita terus menjunjung kebebasan beragama dan menjaga keharmonian kaum serta saling hormat-menghormati antara kita.  Jangan kerana mengikut kata hati yang penuh dengan dendam dan benci akhirnya menyebabkan kita menjadi penghuni jeriji besi dek kerana otak tidak berhubung dengan jari sebelum memuatnaik status di laman media sosial.  

No comments:

Post a Comment