Monday 27 May 2019

2000 EKAR TANAH BUKAN DISERAHKAN TETAPI USAHASAMA SARAWAK DAN PERSEKUTUAN UNTUK TANAMAN MAKANAN


SEBELUM ini Menteri Asas Tani Malaysia Datuk Salahuddin Ayub menjelaskan bahawa pihak media telah menyalahtafsirkan kenyataan beliau yang berkata bahawasanya Sarawak bersetuju menawarkan 600,000 hektar tanah tidak dibangunkan di Sarawak kepada pihak Persekutuan.  Menurut beliau di dalam sidang medianya selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah jumlah keseluruhan luasnya tanah pertanian yang tidak lagi mahu dibangunkan bagi industri sawit adalah 600,000 hektar di Sarawak.  

Dan hasil daripada pertemuan dengan pimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak menyaksikan Sarawak bersetuju untuk menyediakan 2000 ekar tanah pertanian yang tidak diusahakan bagi membangunkan industri tanaman makanan di Sarawak dan Malaysia.  Tanah itu pula bukanlah diserahkan kepada Persekutuan sebaliknya kolaborasi Sarawak dan Persekutuan yang akan bersama-sama memajukan industri tanaman makanan itu kelak.  Adalah difahamkan 2000 ekar tanah pertanian yang menjadi asas produk usahama Kerajaan Sarawak dan Persekutuan bagi memangkin industri tanaman makanan di Malaysia itu dikatakan berada di kawasan Lingga, Sri Aman.  

Ini merupakan satu langkah bijak Kerajaan Sarawak bagi memajukan industri tanaman makanan di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.  Kebergantungan kita di dalam mengimport bekalan industri tanaman makanan amatlah merugikan sedangkan kita punya tanah-tanah yang boleh dimajukan.  Membuka tanah-tanah untuk ladang-ladang kelapa sawit berskala besar turut mengundang risiko yang tinggi dan tiba masanya kita bersama-sama menaikkan industri tanaman makanan yang mempunyai pulangan yang lebih tinggi serta selamat untuk alam dan juga manusia sejagat.   

No comments:

Post a Comment