Thursday 23 May 2019

KUCHING DAHULUI SENARAI PENERIMA ENDOWMENT FUND


SERAMAI 5,070 bayi di Sarawak sudah didaftarkan di dalam Endowment Fund Sarawak (EFS) untuk membolehkan mereka menerima insentif RM1,000 seorang yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, daerah Kuching mendahului senarai terbanyak dalam pendaftaran EFS setakat 25 April lalu iaitu 1,980 orang.
Beliau berkata, Sibu berada di kedudukan kedua dengan 950, Miri (659), Bintulu (267), Sarikei (260), Sri Aman (223), Mukah (201), Limbang (178), Betong (118), Kapit (107), Serian (66) dan Samarahan (61).
“Sarawak mencatatkan sejumlah 11,508 kelahiran bayi bermula 1 Januari hingga 25 April lalu dengan 10,317 daripada jumlah terbabit adalah anak Sarawak yang memiliki status ‘K’.
“Bayi yang berdaftar dalam EFS akan diberikan insentif sebanyak RM1,000 oleh Kerajaan Sarawak dan diurus oleh pihak Bank Islam sebelum ia boleh dikeluarkan oleh mereka selepas mencecah usia 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya, Simbolik Penyerahan EFS dan Program Ramadan Reach Out Sarawak (R.O.S) di Dewan Suarah Sri Aman, Sri Aman, semalam.
Turut hadir Pemangku Pengarah, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMS), Joni Nurudin; Residen Sri Aman, Indit Bangai; Pengarah Jabatan Pendaftaran Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim dan Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Asree Wee.
Pada majlis itu, seramai 50 bayi di Sri Aman yang sudah mendaftar dengan EFS sebelum ini dipilih untuk hadir menerima sumbangan bersama dengan 200 orang pelanggan JKMNS serta 150 orang penerima R.O.S.
Francis berkata, bayi yang lahir tahun ini harus segera didaftarkan bagi membolehkan mereka menerima insentif yang disediakan kerajaan itu.
“Bagi bayi kalangan anak Sarawak yang lahir di luar negara, kelahiran perlu didaftarkan di Pejabat Kedutaan Malaysia bagi mengesahkan ibu bapa memilih kewarganegaraan Malaysia untuk anak terbabit sebelum borang pendaftaran dikemukakan ke Ibu Pejabat JPN Negeri Sarawak.
“Bayi Sarawak layak menerima insentif EFS asalkan kedua-dua atau seorang daripada ibu bapa adalah pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus `K’ lahir di Sarawak atau luar Sarawak dan memiliki status kewarganegaraan Malaysia,” katanya.
Grafik : Sarawak Indie Pages

No comments:

Post a Comment