Monday, 14 February 2022

79 ADUN SARAWAK ANGKAT SUMPAH, 3 TIDAK HADIR

 



MAKA bermulalah era baru di dalam barisan Ahli Dewan Negeri Sarawak bagi tahun 2022 apabila pada hari ini 14 Februari 2022, istiadat angkat sumpah dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.  Majlis angkat sumpah didahului oleh Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari yakni ADUN Gedong dan diikuti oleh adun-adun yang lain.  Dalam pada itu, hanya 79 ADUN yang hadir manakala tiga lagi tidak dapat menghadirkan diri kerana masih menjalani kuarantin.  Mereka adalah YB Datu Len Talif Salleh, ADUN Kuala Rajang; YB Datuk Sebastian Ting, ADUN Piasau dan Dato’ Sri Huong Tiong Sii, ADUN Repok. 

Persidangan DUN Sarawak khas dijadualkan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada hari ini 14 Februari 2022 hingga 16 Februari 2022.  Tiada acara perasmian diadakan namun begitu ada lima usul pindaan yang akan diketengahkan termasuk penjenamaan semula jawatan Ketua Menteri kepada *Premier” dan Menteri Muda kepada Timbalan Menteri. 

#redparrot


Saturday, 12 February 2022

PINDAAN PERLEMBAGAAN MA63 BERKUATKUASA HARI INI, 12 FEBRUARI 2022

 


SETELAH mengharungi ranjau nan berduri sejak PH berkuasa dan kemudian apabila Kerajaan Persekutuan bertukar tangan akhirnya pindaan perlembagaan MA63 yang menjadi perjuanganan Sabah Sarawak dapat dilakukan di Parlimen dengan sokongan 199 ahli iaitu melebihi majoriti dua per tiga.  Pada tanggal 19 Januari 2022 pula ianya telah mendapat perkenan dari YDP Agong lantas diwartakan oleh kerajaan pada 25 Januari 2022.  Dan pada hari ini, 12 Februari 2022 pindaan perlembagaan tersebut sudahpun berkuatkuasa.

Akta pindaan berkenaan adalah merangkumi Perkara 1(2), 160(2) adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.  Perkara 161A(6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang negeri Sarawak itu sendiri.   Itulah yang diperjelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) iaitu Dato Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar. 

 

Pautan berita penuh:

https://www.utusan.com.my/terkini/2022/02/pindaan-perlembagaan-ma63-berkuat-kuasa-hari-ini/

 

Sesungguhnya kejayaan pindaan RRU ini serta ianya sudah dikuatkuasakan merupakan satu kejayaan besar serta sinonim dengan perjuangan rakyat di Sarawak dan Sabah.  Bagaimana terma gelarannya nanti akan diperjelaskan apabila Dewan Undangan Negeri di kedua-dua wilayah itu bersidang kelak.  Negara, negeri atau wilayah? Sama-sama kita nantikan.

 

Nyiur gading puncak mahligai

Sayang ketupat berisik inti

Hancur badan tulabng berkecai

Belum dapat, belum kamek berenti.

 

#redparrot

Friday, 11 February 2022

DATO' IDRIS - DARI SARAWAK BORDER SCOUTS KE TIMBALAN SPEAKER DUNS


SARAWAK Bumi Kenyalang telah menerima Timbalan Speaker yang baharu hari ini setelah jawatan tersebut dikosongkan berikutan mantan Timbalan Speaker iaitu YB Dato Gerawat Jala dilantik sebagai Menteri Muda dalam barisan Kabinet Sarawak baru-baru ini. Baru sebentar tadi Timbalan Speaker yang baru dilantik iaitu Dato' Idris bin Haji Buang mengangkat sumpah jawatan di hadapan TYT Sarawak, Tun Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri.

Dato' Idris, 68 tahun bukanlah satu nama yang asing di dalam dunia politik Sarawak kerana beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang sejak di tahun 2016 lagi. Pada PRN Sarawak ke-12 tahun lepas, beliau mempertahankan kerusi Muara Tuang atas tiket GPS di dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau yang dilahirkan pada 10 Mei 1954 di Kuching, Sarawak mendapat pendidikan di Sekolah St. Thomas. Berasal dari keluarga polis, jadi tidaklah menghairankan setelah menamatkan pendidikan telah memilih kerjaya Sarawak Border Scouts ditambahlagi beliau mendapat galakan sepenuhnya dari ayahandanya iaitu Allahyarham Haji Buang yang merupakan penjawat awam iaitu Sarawak Constabulary, pasukan polis yang didirikan ketika era Brooke. Sebagai Border Scouts, Dato' Idris telah terlibat dalam banyak dunia risikan sewaktu komunis bermaharajalela seperti Ops Jala Raja di Samarahan suatu waktu dahulu.
Berdasarkan pengalaman itu, beliau berjaya dipilih ke Polis Diraja Malaysia dengan pangkat Inspektor. Di dalam PDRM, beliau telah didedahkan dengan siasatan dan juga undang-undang. Setelah tujuh tahun menabur bakti sebagai anggota polis akhirnya beliau meninggalkan dunia kepolisian bagi menyambung pengajiann ke luar negara. Setelah empat tahun berkelana di England akhirnya beliau berjaya membawa pulang segulung ijazah yakni Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Barrister of Law dari Lincoln's Inn. Tatkala pulang ke tanahair, beliau terus mengorak langkah sebagai seorang Peguam dan berjaya membuka firma guamannya sendiri iaitu Idris Buang Advocates. Firma guamannya kekal aktif sehingga sekarang.
Pada tahun 1985, Dato' Idris telah berjinak-jinak di dalam politik dengan menganggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. Sepanjang penglibatannya banyak jawatan penting telah beliau lakukan seperti Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak pada masa itu Tun Pehin Seri Taib Mahmud, Timbalan Ketua Pemuda PBB, Ahli Majlis Tertinggi PBB dan Ketua Penerangan PBB.
Melihat kepada keupayaan perundangannya dan pengalaman yang luas dalam selok-belok politik, Dato Idris telah menjadi sembilan kali 'Election Agent" kepada Tun Pehin Seri Taib iaitu lima kali bagi PRU dan empat kali untuk PRN. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara selama dua penggal berturut-turut. Sejak dahulu lagi, Dato Idris merupakan salah seorang barisan peguam bagi PBB dan GPS maka beliau juga adalah salah seorang ADUN yang dilantik untuk menjadi Ahli Perundangan MA63 Sarawak.
Melihat kepada trek rekod perjuangan politik serta kelantangan Dato Idris di dalam perundangan maka tidak keterlaluan penulis menyatakan bahawa perlantikan beliau sebagai Timbalan Speaker adalah sesuatu yang tepat oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari. Dewan Undangan Negeri Sarawak yang diketuai oleh Datuk Amar Mohamad Asfia perlukan 'orang kanan' yang lantang dan peka perundangan Sarawak seperti Datuk Amar di dalam memastikan perundangan DUNS akan dijaga dan dimartabatkan.
Sekalong tahniah YB Dato' Idris bin Haji Buang atas perlantikan sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak. Semoga terus berkhidmat dengan jayanya untuk ibu pertiwi tercinta, Sarawak Bumi Kenyalang.

Tuesday, 8 February 2022

KERUSI PARLIMEN PUNCAK BORNEO MILIK GPS, TIADA KOMPROMI




MENJENGAH tahun 2022 maka bermulalah bicara politik PRU ke-14 pula. Bagi dunia politik di Sarawak yang akan banyak diperkata merupakan bagaimana pengagihan kerusi nanti kerana ada beberapa kerusi Parlimen sebelumnya kepunyaan PKR sewaktu menang namun akibat perpecahan maka Ahli Parlimen PKR telah berubah angin memihak kepada PPBM pula.  Dengan GPS merupakan rakan menyokong untuk Perikatan Nasional terus kekal memerintah Malaysia dan PPBM juga adalah salah satu rakan PN jadi sudah tentu kerusi Parlimen itu akan menjadi rebutan.

Biar gendang PRU ke-14 belum dipalu namun awal-awal lagi di pihak GPS sudah ada yang melaungkan untuk tidak memberi muka mengenai pengagihan kerusi.  Dr. Jerip yang merupakan ADUN Mambong telah awal-awal memberitahu bahawa kerusi Parlimen Puncak Borneo adalah untuk GPS melalui parti gabungannya PBB dan tiada kompromi akan hal itu. 

Pautan berita penuh: 

https://dayakdaily.com/parlimen-puncak-borneo-milik-gps-tiada-kompromi/?fbclid=IwAR1roBgbbpiOWfa6sMHQ8K9VDkM96I9lp59EA71v3fvh4BpEno3aXN7HYjE

Untuk rekod, penyandang Parlimen Puncak Borneo sekarang adalah Datuk Willie Mongin yang merupakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru mengalahkan BN dan STAR pada PRU ke-13.  Dalam PRN Sarawak baru-baru ini, Datuk Willie adalah penyokong kuat ke atas calon-calon GPS di tiga DUN Parlimen Puncak Borneo iaitu Mambong, Tarat dan Serembu.  Perkembangan kerusi Parlimen ini sudah tentu amat menarik untuk kita ikuti kelak.  


#redparrot 
#teamGPS 



MP KOTA SAMARAHAN TERIMA PINGAT DARI YDPA


SEKALONG tahniah diucapkan kepada YB Datuk Hajjah Rubiah Wang, Ahli Parlimen Kota Samarahan diatas pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W)) yang membawa gelaran Datuk. Pingat dianugerahkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada Selasa, 8 Februari 2022 di Kuala Lumpur.


#redparrot

#teamGPS

Wednesday, 9 September 2020

PROJEK JALAN JIWA MURNI BUKAN DIBAWAH BIDANGKUASA KERAJAAN NEGERI SARAWAK

DUA hari yang lepas menyaksikan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia telah mengumumkan penangkapan dua orang kontraktor yang didakwa mempunyai perkaitan dengan projek infrastruktur 10 jalan “jiwa murni” dibawah Kementerian Pertahanan di Miri, Ba Kelalan, Limbang, Kapit dan belaga. Ianya melibatkan jumlah sebanyak RM800 juta. Serentak dengan penangkapan itu juga maka berbonong-bononglah pembangkang menjaja cerita palsu seperti kebiasaannya tanpa mengetahui hujung pangkal cerita dengan mengaitkan sekali projek tersebut dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang konon-kononnya menganugerahkan projek tersebut kepada kontraktor tertentu.  

Hakikatnya setiap projek infrastruktur jalan dibawah Program Jiwa Murni langsung tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Negeri Sarawak baik dari segi peruntukan, kos mahupun penganugerahan projek.  Ianya tidak dibawah jurisdiksi Jabatan Kerja Raya sekalipun malahan segalanya dibawah Kementerian Pertahanan Malaysia.  Hal ini disahkan oleh Tan Sri James Jemut Masing yang merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak sewaktu sidang medianya semalam.

Rujukan: dayakdaily.com bertarikh 9.9.2020 - Sarawak govt has no connection to Jiwa Murni roads: Masing

Jadi kepada mereka yang asyik meratib fitnah demi survival politik mereka dengan terus-terusan menyalahkan Kerajaan Negeri Sarawak diharap fahamilah dahulu prosedur tentang sesuatu projek yang dilaksanakan di Sarawak.  Bukan semua dibawah kawalan Kerajaan Negeri kerana Kerajaan Malaysia di peringkat Persekutuan turut mempunyai banyak dana dari kementerian-kementerian lain bagi membantu perlaksanaan projek infrastruktur di kawasan pedalaman Sarawak.  

Kita sebagai rakyat Sarawak sebenarnya begitu kecewa kerana ada dikalangan rakyat Sarawak sendiri yang sudah diberikan kepercayaan untuk melaksanakan projek sanggup menjadi petualang anak negeri hanya kerana wang ringgit.  Sama-samalah kita tunggu segala cerita penyelewengan ini daripada siasatan SPRM kelak.  

#teamGPS
#iamSarawakian
#SarawakkuSayang 

Tuesday, 8 September 2020

SAYA CUMA MAHU SUPP DAN PSB BERDAMAI - CM ABG JO


DALAM satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu ADUN Bawang Assan, Datuk Wong Soon Koh pada tanggal 7 September 2020 menyatakan bahawa Datuk Patinggi Abang Johari ketika PSB ditubuhkan merupakan antara individu yang menyokong kuat penubuhan PSB pada waktu itu setelah WSK dan beberapa wakil rakyat SUPP keluar SUPP dan membentuk UPP.  Pada waktu itu CM Abang Jo adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak.  Malah dakwa WSK lagi bahawa perletakan jawatan WSK sebagai Menteri Kewangan Sarawak adalah kerana “dipaksa” dan CM Abang Jo mengetahui akan cerita sebenarnya.  

 Rujuk Borneo Post 7 Septermber 2020; Abang Johari Backed PSB Formation Soon Koh Recalls After CM Criticises Party

Bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh WSK itu, satu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh CM Abang Jo pada 8 September 2020 kerana menurut beliau apa yang dilontarkan oleh WSK itu tidak menceritakan hal yang sebenar-benarnya.  

Menurut CM Abang Jo menyatakan selepas PRN 2011, SUPP mengalami krisis kepimpinan yang mana menyaksikan SUPP telah terbahagi kepada dua pasukan yang berbeza.  Atas nama semangat satu pasukan pada masa itu Barisan Nasional telah memutuskan untuk krisis SUPP harus diselesaikan secara pendamaian antara ahli di dalam parti itu sendiri dengan BN Sarawak tidak akan mencampuri urusan dalam parti komponen.  

Klimaks kepada krisis SUPP itu akhirnya membawa kepada WSK dan kumpulannya di dalam SUPP telah dipecat namun begitu BN Sarawak tetap mengekalkan mereka di dalam kabinet Kerajaan Negeri Sarawak pada waktu itu.  Apa yang menjadi keutaman oleh Kerajaan pada waktu itu adalah bagi memastikan bahawa suara Kaum Cina Sarawak terus ada di dalam pemerintahan Negeri Sarawak.  Menurut CM Abang Jo lagi bayangkan ketika era pemerintahan Pehin Sri Adenan Satem, kumpulan WSK masih lagi dibenarkan menggunakan simbol dacing BN ketika bertanding biarpun mereka tidak lagi bersama di dalam BN Sarawak (dikenali dengan nama BN Plus) dan ianya sebulat suara diterima atas hal yang sama iaitu menyatukan kaum Cina Sarawak dan membolehkan wakil mereka mengambil bahagian di dalam pemerintahan yang sedia ada.  

Dan atas semangat itu juga atas arahan CM Toknan pada masa itu, CM Abang Jo yang merupakan Timbalan CM telah merasmikan perlancaran UPP yang kemudiannya turut melancarkan UPP ke PSB pada waktu itu.

Tatkala pemerintahan diambilalih oleh CM Abang Jo, beliau meneruskan dasar BN Plus yang mana mengekalkan WSK sebagai menteri.  Ini semua dilakukan agar SUPP dan PSB diberi masa untuk mencari jalan penyelesaian iaitu BERDAMAI.  Namun begitu setelah melihat PSB mula menerima wakil-wakil dari parti komponen GPS ini sesungguhnya tidak boleh diterima kerana sudah menganggu dasar semangat berpasukan di dalam GPS.  Dan aktiviti PSB itu sudah cukup menjadi bukti bahawa mereka langsung sebenarnya tidak mahu menyatukan kaum Cina dan berdamai sebaliknya ingin melawan Gabungan Parti Sarawak dan inilah yang membawa kepada perletakan jawatan WSK di dalam kabinet Sarawak.   

Rujuk: Kenyataan Media Ketua Menteri Sarawak bertarikh 8 September 2020

Niat murni Allahyarham CM Toknan yang kemudiannya diteruskan oleh CM Abang Jo apabila berbicara soal anggota serpihan SUPP yang sekarang menjadi PSB mungkin sudah cukup jelas tidak akan kesampaian sampai bila-bila.  Sebagai satu pasukan GPS yang dianggotai oleh SUPP, PRS, PBB dan PDP harus mengutamakan perpaduan dan andainya ada individu politik yang “makan kawan” sememangnya harus disingkirkan. WSK seharusnya menerima bahawa ini jalan yang PSB pilih dan tidak perlu untuk memutarkan kenyataan yang beliau sendiri sudah tahu puncanya.  

Mana-mana individu politik yang menjadi “gunting di dalam lipatan” dan “musuh di dalam selimut” begitu bahaya untuk disimpan di dalam mana-mana parti politik lebih-lebih lagi yang berbentuk gabungan.  

#teamGPS #IamSarawakian #SarawakkuSayang 

Friday, 17 July 2020

SARAWAK DILANDA GELOMBANG KEDUA COVID-19


SESUNGGUHNYA kita tidak mahu dibadai sekali lagi oleh musuh halimunan yang kita perangi hampir tujuh bulan lamanya namun apakan daya hari ini 17 Julai 2020 Sarawak disahkan dibadai oleh gelombang kedua Covid-19.  Ini berikutan kes positif Covid-19 yang baharu direkodkan sudah mencecah dua angka hari ini iaitu sebanyak 10 kes.  Dari jumlah itu enam kes adalah di daerah Kuching dan masing-masing dua kes di Daerah Samarahan dan Bintulu.

Hal ini diwar-warkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas sewaktu sidang media harian di Kuching petang tadi.  Sungguhpun begitu beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak untuk TIDAK PANIK sebaliknya terus mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan berlangsung.  

Tambah beliau lagi, Sarawak bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sudah di dalam kesiapsiagaan dan akan terus melakukan yang terbaik bagi membendung virus Covid-19 menular di Sarawak.  

Pautan berita penuh:


#staysafeSarawakian
#fightscovi19 

Thursday, 16 July 2020

SARAWAK TUNTUT 1/3 KERUSI PARLIMEN DIPULANGKAN


JIKA kita kembali ke sejarah lama iaitu sejak diawal penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Malaya mendapat 2/3 daripada kerusi parlimen sementara 1/3 lagi diberikan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura.  Dan pembahagiannya adalah 104 kerusi untuk Malaya, 15 kerusi untuk Singapura dan 16 kerusi untuk Sabah sementara 24 kerusi.  Tatkala Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965 pula, 15 kerusi itu langsung tidak diberikan kepada Sabah dan Sarawak sebaliknya diambil oleh Malaya menjadikan jumlah kerusi mereka adalah sebanyak 119 kerusi pada masa itu.  

Sejajar dengan waktu sekarang Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi parlimen yang mana Malaya menguasai 166 kerusi sementara Sarawak 31 kerusi dan Sabah 25 kerusi.  Dan ini langsung sebenarnya tidak setara kerana agihan kuasa untuk sebarang pindaan perlembagaan memungkinkan hanya dengan jumlah kerusi itu sudah menunjukkan sebarang pindaan perlembagaan hanya memerlukan suara dari Malaya sahaja.  Ini seharusnya tidak berlaku kerana hanya dengan mengekalkan 1/3 daripada jumlah kerusi parlimen Malaysia itu sahaja baharulah kuasa itu sama rata.  

Melihat kepada itulah Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari mengulangi akan tuntutan Sarawak sepertimana ianya telah dinyatakan pada bulan Februari 2020 yang mana sewaktu Jawatankuasa Pembaharuan Pilihanraya ditubuhkan oleh Pakatan Harapan.  

Pautan berita penuh:

https://sarawakvoice.com/2020/07/15/sarawak-tuntut-dapatkan-semula-peruntukan-1-3-kerusi-parlimen/

Andai benar sesiapa sahaja yang memerintah di Persekutuan ingin untuk mengembalikan roh dan jiwa MA63 yakni Sarawak dan Sabah bersama Malaya adalah tiga entiti pembentuk Negara Malaysia, apa yang dituntut oleh Sarawak mahupun Sabah itu bukanlah sesuatu yang sengaja diada-adakan sebaliknya itu merupakan hak kedua-dua entiti pembentuk Malaysia nun di Pulau Borneo lokasinya.  Kita membentuk Malaysia bukan untuk menjadi negeri yang termiskin di Malaysia mahupun “dijajah” oleh Malaya, itu sudah pasti.  

PERLETAKAN JAWATAN YB SEE: “JUST A LAME EXCUSES THEY SAY”


JAWATANKUASA Perunding MA63 bukanlah satu jawatankuasa yang ditubuhkan suka-suka sahaja tetapi ianya satu jawatankuasa yang memainkan peranan yang penting di dalam memastikan kesemua hal-hal teknikal terutama sekali yang melibatkan perundangan di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Dek kerana itu hampir kesemua ahli jawatankuasa yang dipilih bukanlah sembrono dipilih sebaliknya mempunyai latarbelakang undang-undang yang kukuh.  Dan Sarawak sebagai negeri yang mahukan MA63 dimartabatkan semula tanpa mengira batasan politik telah melantik barisan ahli politik yang sudah tentu adalah pengamal undang-undang tampil sebagai wakil Sarawak.  

Namun begitu tindakan YB See Chee How yang merupakan ADUN Batu Lintang yang dahulunya PKR dan sekarang PSB lain pula ceritanya apabila beliau meletak jawatan kerana tidak berpuashati bahawa rundingan Sarawak dengan Petronas adalah mengenai Cukai Jualan Petroleum.  Itulah yang dijadikan beliau alasan sedangkan hakikatnya berdasarkan kepada kenyataan media daripada Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Lawas menyatakan bahawa rundingan antara Sarawak dan Petronas langsung bukan mengenai SST sebaliknya mengenai peluang perniagaan industri minyak dan gas Sarawak untuk rakyat Sarawak sendiri terokai.  

Pautan adalah seperti berikut:

https://dayakdaily.com/awang-tengah-rebuts-chee-hows-claims-on-petronas-negotiations/?fbclid=IwAR1oSSj68l0I5Ed7PO1ee_GUtYPUPsG1MkU9ocv-dySY608VSdc9p8Myw7s

Dalam pada itu menurut Dato Idris Buang yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa perunding teknikal MA63 juga seorang pengamal undang-undang dan ADUN Muara Tuang menyatakan tindakan YB See meletak jawatan itu sungguh mengecewakan.  Ini kerana seharusnya biar politik berbeza tetapi hendaklah didahulukan visi dan misi Sarawak sepertimana kehendak rakyat Sarawak yang mahukan MA63 itu dimartabatkan semula.  Dan dengan perletakan jawatan itu juga YB See sendiri telah menyukarkan lagi pemahaman pihak pembangkang di dalam usaha itu sendiri kerana andai beliau bersama sudah tentu setiap hal yang berlaku beliau akan lebih mengetahui selok-belok ceritanya.  

Untuk itu menurut Dato Idris jika selepas ini YB See hendak bercakap mengenai sebarang perundingan yang berjalan antara Sarawak dan Persekutuan maka beliau tidaklah layak lagi kerana telah diberikan peluang namun beliau sendiri mempersia-siakan.  

Pautan berita penuh:


Bagi seorang pengamal undang-undang kanan yang juga Timbalan Pengerusi SUPP Satok iaitu di Encik Shankar Ram Asnani tindakan YB See meletak jawatan adalah satu tindakan yang salah malah boleh membawa kepada keraguan rakyat sedangkan hakikatnya apa yang dilakukan oleh Sarawak adalah di jalan yang betul.  Andaikata ada sebarang permasalahan dan keraguan sewajarnya ia dibincangkan antara mereka dan bukan sesekali membuat tuduhan liar sebegitu sahaja sedangkan kita mengetahui bahawa laluan untuk memartabatkan apa yang kita hilang dan terkikis di dalam MA63 sekarang adalah satu laluan yang penuh onak dan berduri.  

Tambah Encik Shankar setakat ini usaha yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg adalah dijalan yang betul dan kita semua perlulah ingat beliaulah satu-satunya Ketua Menteri Sarawak yang berani membuka langkah membawa kes ini sehingga didengar di mahkamah bukan hanya cakap-cakap sahaja.  Dan hasil keberanian itu sudahpun dilihat apabila Mahkamah sendiri berpihak kepada Sarawak yang mempunyai hak mengenakan SST di Sarawak.  

Pautan berita penuh:


Begitulah ceritanya apabila seorang ahli politik Sarawak yang sentiasa berkata akan mendahulukan perjuangan Sarawak melebihi politik tetapi sebaliknya berlaku.  Tuduhan tanpa usul periksa yang diwar-warkan hanya untuk menutup kesalahan sendiri.  “Just a lame excuses they say”. :D 

Wednesday, 15 July 2020

PERKHIDMATAN BAS SEKOLAH PERCUMA SARAWAK DILANCARKAN


BUKAN janji “aik liur” tetapi ini janji yang ditepati sepertimana sewaktu pembentangan Belanjawan Sarawak 2019 yang lepas.  Dan semalam menyaksikan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg melancarkan Bas Sekolah Percuma Sarawak di bangunan Yayasan Sarawak, Kuching.  

Difahamkan perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching ini merupakan projek perintis yang mana apabila ianya sudah stabil kelak akan diperluaskan ke Sibu dan Miri secepat mungkin.  Buat masa sekarang, perkhidmatan bas sekolah percuma dibahagikan kepada 18 zon iaitu mencakupi daerah Kuching dan Samarahan yang mana ia melibatkan 32 buah sekolah.  Sementara itu ada 46 buah bas sekolah dan juga van sekolah yang terlibat.  

Pautan berita penuh:


Dikala sekarang rakyat terhimpit dengan kos sarahidup yang hidup telahan lagi kita masih berperang dengan Covid-19 sudah tentu bantuan daripada Kerajaan Sarawak bagi mengurangkan kos menghantar anak-anak ke sekolah akan memberi sedikit kelegaan kepada para ibubapa.  Untuk warga di Sibu dan Miri bersabarlah dahulu menanti perkhidmatan bas sekolah percuma menjengah ke tempat anda.  

Monday, 13 July 2020

DEWAN RAKYAT LULUS USUL TUKAR TUAN SPEAKER


UJIAN pertama PM TSMY untuk membuat pertukaran Tuan Speaker Dewan Rakyat iaitu Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof DILULUSKAN oleh Dewan Rakyat hari ini.  Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Speaker iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon jumlah undi yang menyokong adalah 111 undi manakala yang tidak menyokong adalah 109 undi.  Hanya seorang sahaja Ahli Parlimen yang tidak hadir mengundi kerana mempunyai masalah kesihatan.  Sekaligus ini bermakna PM TSMY berjaya melakukannya dengan menang tipis iaitu dua undi sahaja.  

Maka segala teka-teki akhirnya terjawab sudah setelah Dewan Rakyat pada hari ini berlangsung dengan keadaan yang agak “panas” dengan ahli dewan baik pemerintah mahupun pembangkang bertikam lidah antara satu sama lain bagi memperjelaskan kesungguhan mereka untuk mempertahankan pendirian masing-masing.  Proses demokrasi yang sememangnya terus diutamakan di dalam Parlimen Malaysia.  Mengikut apa yang dicadangkan oleh PM TSMY, Tuan Speaker yang baharu adalah  bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan @ Harun

Pautan berita penuh: 

Saturday, 11 July 2020

5 ANAK SARAWAK SELAMAT TIBA DARI TERKANDAS DI NIGERIA


KITA almaklum ada rakyat Sarawak yang masih lagi terkandas di bumi Nigeria semenjak serangan Covid-19 dan hari ini kita menerima perkhabaran gembira bahawa seramai 25 lagi rakyat Malaysia yang diterbangkan dari Lagos, Nigeria yang mana sudahpun selamat sampai di KLIA kira-kira jam 9.15 pagi tadi.  Mereka menaiki penerbangan yang diatur oleh Kerajaan Nigeria melalui hubungan antarabangsa antara Malaysia dan Nigeria iaitu dengan pesawat Air Peace.  

Dari jumlah 25 orang rakyat Malaysia itu ada lima orang merupakan anak Sarawak iaitu:

1. Injun Anak Kee.  Injun mempunyai kediaman di Cheras, Kuala Lumpur telah memilih untuk menjalani kuarantin di rumahnya selama 14 hari.  

2.  Mohd Salleh bin Abdullah berlepas dari KLIA dan tiba di Miri, Sarawak kira-kira jam 12.07 tengahari tadi di Lapangan Terbang Miri dan diarahkan untuk menjalani kuarantin seperti SOP yang ditetapkan untuk warga Sarawak yang baru tiba dari luar negara.  

3. Benjamin Langai.  Menaiki penerbangan dari KLIA dan tiba di Miri  kira-kira jam 11.07 pagi dari KLIA dan sedang menjalani kuarantin.  

4. Leonard Kurtzman Anak Lane.  Menaiki penerbangan dari KLIA ke Kuching dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 3.30 petang dan sekarang sedang menjalani kuarantin di Harbour View Hotel, Kuching.  

5. Willie Ngalih Anak Jayang - Tiba di Miri kira-kira jam 11.07 pagi dari KLIA dan sedang menjalani kuarantin.   

Selamat pulang ke tanahair diucapkan kepada mereka semua dan terima kasih Kerajaan Sarawak, Kerajaan Malaysia serta Kerajaan Nigeria atas usaha membawa mereka pulang ke tanahair yang tercinta.     

Thursday, 9 July 2020

YANG PENTING CALON GPS MENANG -DATO IDRIS BUANG-


MENJENGAH PRN ke-12 Sarawak yang menurut khabar beritanya akan dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung tahun 2020, ada banyak cerita dibelakang tabir yang kita dengar menjadi paparan di media sosial mahupun di dada akhbar.  Dan seperti selalunya pihak pembangkang di Sarawak sedang gigih mencari calon malah ada yang sudah memaparkan siapakah gerangan bakal calon mereka di kawasan tertentu.  

Baru-baru ini Ahli Parlimen Bintulu yang juga Presiden Progresives Democrative Party (PDP) antara gabungan parti yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (PDP) iaitu Dato Seri Tiong King Sing ada menyatakan bahawa parti gabungan di dalam GPS tidak sewajarnya hanya menumpukan pembahagian di kawasan tradisi yang diwakili mereka.  Ini kerana sejajar dengan perubahan waktu mungkin ada yang mahukan ia diwakili oleh calon-calon dari parti yang lain.  

Berbicara dari konteks itu menurut Dato Idris Buang yakni ADUN Muara Tuang yang juga Ketua Penerangan PBB turut bersetuju dengan kenyataan Dato Seri Tiong malah katanya andaikata perlu untuk parti-parti GPS membuat pertukaran kerusi kawasan maka ia harus dilakukan.  Apa yang penting individu politik yang mewakili GPS itu berkelayakan dan terbukti mampu meneruskan kecemerlangan perkhidmatan kepada rakyat dan beliau sememangnya akan mendapat mandat dari rakyat untuk menang dikawasan tersebut.  

Pautan berita penuh:

Tuesday, 7 July 2020

MENDIANG TUN JUGAH ANAK BARIENG DALAM KENANGAN


“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun tabar di ujung”.. itu adalah antara kata-kata azimat dari seorang pemimpin tersohor di Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah Anak Barieng atau lebih popular di kalangan masyarakat dengan panggilan Apai Jugah suatu ketika dahulu ketika Negara Malaysia baharu sahaja ditubuhkan pada tahun 1963.  Dan hari ini genaplah 39 tahun mendiang meninggalkan kita semua namun begitu kata-katanya tetap sentiasa diulang-ulang sehingga sekarang.  

Tun Jugah dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Dilantik menjadi Penghulu di rumah panjangnya ketika berusia 20 tahun kerana kepimpinannya terserlah sejak remaja lagi. Ketika pendudukan Jepun pula beliau diangkat menjadi Sanji iaitu satu barisan kepimpinan tempatan yang menjadi pengantara pemerintahan Jepun dengan masyarakat tempatan.  Walaupun ramai yang mengwarnai mendiang sebagai talibarut Jepun tetapi menurut sebuah buku yang bertajuk Voices From Borneo karangan seorang bekas tentera Australia yang pernah menjadi Komando Semut di dalam Operasi Semut di Sarawak iaitu Jim Truscott menyatakan bahawa banyak rahsia perang daripada pihak tentera Jepun disalurkan oleh Tun Jugah kepada mereka ketika mereka membuat serangan gerila di bumi Sungai Rejang pada ketika itu. Sekaligus ia membenarkan tindakan Tun Jugah bukan sekali tidak patriotik sebaliknya demi survival masyarakat Iban pada waktu itu.  

Sekitar tahun 1953 iaitu ketika Sarawak telahpun diserahkan kepada Koloni Mahkota Sarawak British, khidmat Tun Jugah juga turut ditagih dan beliau diberikan peluang untuk menjadi wakil masyarakat Iban iaitu untuk menjaga kesemua hal kebajikan masyarakat Iban pada waktu itu. Di kala api kemerdekaan sudah mula menusuk ke sanubari setiap rakyat Sarawak, Tun Jugah tidak ketinggalan merasai nada yang sama. Ketika adanya tinjauan mengenai cadangan Gagasan Malaysia diadakan di Sarawak, Tun Jugah antara pemimpin masyarakat pribumi Sarawak yang bersama-sama dengan etnik-etnik yang lain yang pada mulanya membantah telah dijemput ke Malaya oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj iaitu Perdana Menteri Tanah Melayu pada masa itu.

Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Tun Jugah merupakan ahli parlimen yang terpilih untuk menganggotai barisan kabinet Parlimen Malaysia yang pertama iaitu sebagai Menteri Penuh yang menjaga hal-ehwal Sarawak di dalam Malaysia. Di dalam arena politik Sarawak, nama Tun Jugah juga turut mewarnai lipatan sejarah Sarawak kerana beliaulah Presiden Pertama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan jawatan itu dipegang olehnya sehingga ke akhir hayatnya.  

Jasa Mendiang Tun Jugah akan terus dikenang sepanjang zaman.  Semoga tenang disisi Tuhan yang Esa.  

Friday, 3 July 2020

BINTULU SEBAGAI HAB PETROKIMIA SARAWAK




SEMALAM menyaksikan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg melakukan lawatan kerja ke Bintulu, Sarawak.  Dan lawatan itu adalah untuk melakukan tinjauan tapak ke satu kawasan di Tanjung Kidurong, Bintulu yang berkeluasan 1,068 ekar untuk dibangunkan sebagai hab Petrokimia Sarawak.  

Dengan Bintulu sekarang yang terkenal dengan industri hiliran berasaskan minyak dan gas maka pemilihan Bintulu untuk dijadikan hab petrokimia Sarawak sememangnya adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.  Antara yang akan dilaksanakan di Tanjung Kidurong oleh SEDC sebagai pemajunya adalah seperti berikut:

• Gas to Liquid Plant
• Ammonia-Urea Plant
• Hydrogen Large Scale Production Facility
• Glass Manufacturing Plant
• Siloxane Manufacturing Plant
• Siloxane Derivative Complex
• Sarawak Integrated Sour Gas Evacuation System (SISGES) Plant
• Choline Chloride Plant
• Mono Ethylene Plant
• Propylene Plant

Sekiranya ini semua siap kelak sudah tentu akan memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak malah boleh meningkatkan lagi ekonomi serta sosial kita.