Friday, 10 November 2017

PERASMIAN JAMBATAN EMAS KUCHING 11.11.2017




DETIK yang dinanti-nantikan oleh warga Kuching khususnya sudahpun tiba apabila pada hari ini, 11 November 2017 merupakan acara perasmian Jambatan Emas Kuching akan diadakan.  Sambutan perasmian penuh warna warni dijangka akan bermula sekitar jam 7.30 petang.  Ianya akan disempurnakan oleh TYT Sarawak iaitu Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.  

Untuk itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan suasana.  Diharap kesemua yang hadir akan merancang perjalanan anda sebaik mungkin memandangkan banyak kawasan sekitar Tebingan Kuching akan ditutup jalannya bagi sambutan tersebut.  

SOKONGAN MAJORITI LULUS USUL MA63


MESYUARAT DUN Sarawak sudahpun bermula beberapa hari yang lepas dan semalam menyaksikan Usul MA63 dibentangkan dan mendapat perdebatan yang amat positif daripada ADUN Sarawak tanpa mengira parti politik.  Sekaligus membuktikan bahawa apabila berbicara mengenai hak-hak Sarawak maka ianya mendapat kesepaduan daripada semua pihak.  

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah iaitu Datuk Sri Douglas Unggah Embas turut menyatakan di dalam perbahasannya bahawa Sabah Dan Sarawak harus dilihat sebagai rakan sejajar di dalam pembentukan Gagasan Malaysia dan bukannya sebagai satu negeri didalam persekutuan.  

Dan beliau turut menyarankan agar Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan Pasukan Tugas Khas bertaraf tinggi dan meminta pihak Persekutuan turut mempunyai pasukan yang sama.  Kedua-dua pihak iaitu Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak harus bersama-sama menyelesaikan segala isu-isu berbangkit seperti yang terkandung di dalam Perjanjian Malaysia dan IGC Report.  

Hubungan yang baik antara kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia sekarang dengan kerajaan Negeri Sarawak iaitu semasa dibawah kepimpinan Allahyarham Toknan dan membawa sehingga ke Datuk Patinggi Abang Johari sekarang sudah tentu akan mampu merealisasikan segala cita-cita rakyat Sarawak yang mahu Perjanjian Malaysia itu dihormati semula.

Tuesday, 7 November 2017

BAJET SARAWAK 2018


HARI ini bermulalah Dewan Undangan Negeri Sarawak bersidang buat kali yang ke-18.  Dan sebentar tadi, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg telah membentangkan Bajet Sarawak 2018.  

Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan hampir RM5.745 billion jumlah keseluruhan bajet yang dibentangkan.  Dan hampir 70% daripada jumlah tersebut adalah untuk membiayai pembangunan Sarawak manakala 30% iaitu kira-kira RM2.481 billion untuk kos operasi.  

Monday, 6 November 2017

SELAMAT DATAI KE SARAWAK, PRINCE CHARLES DAN ISTERI






KEDATANGAN keluarga diraja British disambut meriah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.  Kemudian konvoi diraja ini dibawa ke Kampung Budaya Sarawak yang mana mereka akan diraikan dengan penuh adat istiadat budaya pelbagai etnik Sarawak.

Kredit gambar: APG

Sunday, 5 November 2017

USUL MA63 KE DUN SARAWAK


TINDAKAN Kerajaan Sarawak yang menghantar delegasi peguam ke London bagi membuat semakan ibu kepada segala perjanjian pembentukan Malaysia iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) beberapa bulan lepas telah mendapat respons yang pelbagai dari rakyat Malaysia.  Dan kepulangan mereka yang membawa segala penemuan lebih-lebih lagi apabila berbicara dari konteks ada beberapa dokumen yang tidak pernah dilihat oleh kerajaan telah menimbulkan pelbagai tanda tanya semua pihak.  

Dan baru-baru ini juga menyaksikan ianya cuba dijadikan modal oleh ahli politik DAP Sarawak yang begitu gelojoh untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku.  Dan seperti apa yang dinyatakan oleh ketua delegasi Sarawak ke London iaitu YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kesemua itu akan dibincangkan di peringkat parti dan DUN kemudiannya.  

Untuk sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan diadakan dari tanggal 8 hingga 17 November 2017 ini, usul MA63 akan mula dibincangkan.  Ianya diwar-warkan ketika sidang media selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN BN pada Sabtu lepas.  Menurut Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia bin Awang Nassar, usul MA63 akan dicadangkan oleh Datuk Douglas Unggah Embas dan akan disokong oleh Tan Sri James Masing.  Kedua-duanya adalah Timbalan Ketua Menteri Sarawak.  

Thursday, 2 November 2017

WARGA PENDIDIK ANAK SARAWAK KURANG KUALITI!


APABILA Allahyarham Toknan tampil dengan polisi untuk mengwujudkan khidmat anak Sarawak dari kalangan warga pendidik didahulukan bagi memenuhi tugasan mendidik anak bangsa dengan ratio 90:10, ianya mendapat maklumbalas yang terbaik dari rakyat Sarawak.  Dan dengan hubungan baiknya dengan kepimpinan pusat pada masa itu maka ianya turut diluluskan.  

Pemergian Allahyarham bukanlah lama tetapi sudah ada mereka yang bertanggungjawab merealisasikan polisi itu menjadi satu kenyataan mengeluarkan nada-nada seolah-olah ianya tidak mampu dilaksanakan langsung.  Dan lagi mengguris hati apabila dikatakan polisi ini sukar dilaksanakan kerana warga pendidik kelahiran Sarawak kurang berkualiti.  Satu kenyataan yang seolah-olah cuba untuk memperlekehkan kewibawaan anak Sarawak bertugas di negeri kelahirannya sendiri.  

Seharusnya sebagai mereka yang memegang teraju pendidikan di Sarawak tampil dengan pelbagai solusi sekiranya benar kualiti itu penyumbangnya dan bukan hanya menuding jari sebegitu sahaja.  Setiap warga pendidik yang dipilih sudah tentu bukan terdiri daripada mereka yang tangkap muat untuk memikul tugas mendidik anak bangsa.  Lihatlah sahaja betapa payahnya prosedur untuk memasuki institut pendidikan itu sendiri sudah cukup untuk menjadi perbandingannya.  

Warga pendidik yang berkualiti dilahirkan daripada mereka yang mempunyai semangat yang ikhlas untuk mengajar. Selain daripada itu mereka juga turut harus diperkemaskan lagi dengan kursus-kursus yang banyak bagi mengetengahkan mereka untuk lebih berdaya saing di dalam teknologi pendidikan.  Manakala untuk institut pendidikan yang menjadi pemangkin pengeluaran produk guru berkualiti juga turut jangan dilupakan.  Berikan kemudahan kepada mereka untuk mendapatkan barisan pensyarah-pensyarah ilmu pendidikan yang terbaik agar bakal pendidik kelak mampu memberikan perkhidmatan yang lebih bagi mendidik anak bangsanya.  

Hakikatnya tiada yang mustahil di dunia ini sekiranya kita bersemangat waja dan mengotakan apa yang dijanjikan seperti kata bidalan lama, dimana ada kemahuan disitu ada jalannya.  Usah sesekali menjadi mereka yang putus asa, belum lagi bertingkah di kancah peperangan sudah awal-awal menaikkan bendera putih tanda mengalah.  Cukup-cukuplah dengan kera di hutan disusukan sedangkan anak sendiri di rumah mati kelaparan.   

Wednesday, 1 November 2017

“NASI LEMAK” KE PERSADA DUNIA


PADA pertandingan Miss Universe 2016 untuk segmen baju kebangsaan menyaksikan Ratu Malaysia 2016 iaitu Kiran Jassal mengenakan baju bertemakan menara berkembar Petronas KLCC.  Satu langkah berani dan bijak oleh pereka fesyen pada ketika sehingga menyaksikan ianya trending dan viral.  Mungkin sesuatu yang diluar kotak pemikiran kita pada ketika itu namun sebaliknya negara Thailand tampil kreatif dengan seni fesyen baju berlatarbelakangkan kenderaan tuk-tuk mereka.  

Itulah evolusi dunia fesyen terkini yang semakin pelik tetapi tetap menampilkan keunikan tersendiri. Untuk pertandingan Miss Universe 2017 pula, Malaysia dengan beraninya menampilkan menu makanan pula untuk mewakili identiti negara iaitu Nasi Lemak.  Ratu Malaysia 2017 iaitu Samatha Katie James akan memperagakan fesyen Nasi Lemak ini untuk edisi ke-66 Miss Universe 2017 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat pada akhir November ini.  

Sama-sama kita nantikan samada fesyen nasi lemak yang dibawa ke Miss Universe 2017 akan memberikan sesuatu kepada kita sesuai dengan”trademark”nya yang enak dan pedas bagi penggemarnya.  Syabas kepada perekanya yang berani dan berfikir di luar kotak.  

Malaysia Boleh!