APABILA Allahyarham Toknan tampil dengan polisi untuk mengwujudkan khidmat anak Sarawak dari kalangan warga pendidik didahulukan bagi memenuhi tugasan mendidik anak bangsa dengan ratio 90:10, ianya mendapat maklumbalas yang terbaik dari rakyat Sarawak. Dan dengan hubungan baiknya dengan kepimpinan pusat pada masa itu maka ianya turut diluluskan.
Pemergian Allahyarham bukanlah lama tetapi sudah ada mereka yang bertanggungjawab merealisasikan polisi itu menjadi satu kenyataan mengeluarkan nada-nada seolah-olah ianya tidak mampu dilaksanakan langsung. Dan lagi mengguris hati apabila dikatakan polisi ini sukar dilaksanakan kerana warga pendidik kelahiran Sarawak kurang berkualiti. Satu kenyataan yang seolah-olah cuba untuk memperlekehkan kewibawaan anak Sarawak bertugas di negeri kelahirannya sendiri.
Seharusnya sebagai mereka yang memegang teraju pendidikan di Sarawak tampil dengan pelbagai solusi sekiranya benar kualiti itu penyumbangnya dan bukan hanya menuding jari sebegitu sahaja. Setiap warga pendidik yang dipilih sudah tentu bukan terdiri daripada mereka yang tangkap muat untuk memikul tugas mendidik anak bangsa. Lihatlah sahaja betapa payahnya prosedur untuk memasuki institut pendidikan itu sendiri sudah cukup untuk menjadi perbandingannya.
Warga pendidik yang berkualiti dilahirkan daripada mereka yang mempunyai semangat yang ikhlas untuk mengajar. Selain daripada itu mereka juga turut harus diperkemaskan lagi dengan kursus-kursus yang banyak bagi mengetengahkan mereka untuk lebih berdaya saing di dalam teknologi pendidikan. Manakala untuk institut pendidikan yang menjadi pemangkin pengeluaran produk guru berkualiti juga turut jangan dilupakan. Berikan kemudahan kepada mereka untuk mendapatkan barisan pensyarah-pensyarah ilmu pendidikan yang terbaik agar bakal pendidik kelak mampu memberikan perkhidmatan yang lebih bagi mendidik anak bangsanya.
Hakikatnya tiada yang mustahil di dunia ini sekiranya kita bersemangat waja dan mengotakan apa yang dijanjikan seperti kata bidalan lama, dimana ada kemahuan disitu ada jalannya. Usah sesekali menjadi mereka yang putus asa, belum lagi bertingkah di kancah peperangan sudah awal-awal menaikkan bendera putih tanda mengalah. Cukup-cukuplah dengan kera di hutan disusukan sedangkan anak sendiri di rumah mati kelaparan.
No comments:
Post a Comment