Friday, 14 December 2018

ANAK SARAWAK JUARA WBPF KE-10



TANPA kita sebagai rakyat Sarawak sedari ada seorang anak Sarawak kelahiran Jaong, Sri Aman secara diam-diam telah mengukir nama Malaysia dan Sarawak di peringkat dunia semalam iaitu Buda Anchah, seorang atlit bina badan yang telah mengungguli Kejohanan World Bodybuilding Physique Sports Federation siri ke-10 berlangsung di Chiangmai, Thailand.  Beliau memenangi pingat emas peringkat umur 40-49 tahun di kejohanan tersebut.  Sekaligus turut melakar sejarah peribadi yang dilakukannya ketika kejohanan yang sama di Budapest, Hungary pada tahun 2013.  

Salam tahniah untuk Buda Anchah atas kejayaan ini.  Kami berbangga atas kegigihan anda.  

BARU BIAN "HILANG" LAGI!


SELEPAS tidak menghadiri mesyuarat pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat peringkat pusat tempohari, kali ini Menteri Kerja Raya Malaysia yang juga Ahli Parlimen Selangau iaitu Baru Bian turut "lesap" buat kali kedua. Mesyuarat parti yang dijadualkan hari ini jam 3 petang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Hilton ternyata gagal memikat hati beliau untuk menghadirinya.

Setakat ini tidaklah diketahui apakah pula alasan beliau namun menurut sumber dalaman, mesyuarat di Kuching sekarang diadakan dalam situasi tegang lebih-lebih lagi desas-desus menyatakan kemungkinan besar Larry Sng yang akan mengambilalih kepimpinan tertinggi PKR Sarawak. Dalam pada itu turut dinyatakan bahawa MP Miri iaitu Dr. Michael Teo Yu Keng turut menawarkan diri sendiri bagi jawatan tersebut.

Yang pasti, kehilangan Baru Bian untuk kali ini seperti sudah ada tanda-tanda pemberontakan dalaman di dalam pentadbiran PKR Sarawak. Baru Bian merupakan calon 'favourite' akar umbi PKR Sarawak. Sama-samalah kita tunggu apa kesudahannya kelak.

-RP-

Thursday, 13 December 2018

PENGGUNAAN SLIP KERTAS PUTIH IMIGRESEN SARAWAK ITU “HARAM”!


DALAM dua hari ini tular mengenai penggunaan passport dan kertas slip putih yang menjadi antara hak autonomi Imigresen Sarawak jika ingin melawat Sarawak bagi rakyat Malaysia. Difahamkan kesedaran mengenai “salahlaku” penggunaan kertas slip putih bagi rakyat Malaysia bukan warga Sarawak memasuki Sarawak dengan diberikan kertas slip putih bermula apabila seorang warga netizen memuatnaik statusnya di laman mukabuka sebelumnya.  

Terpanggil menjawab segala yang dirasakan agak bercanggah dengan proses yang sepatutnya, seorang menteri kanan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk James Jemut Masing tegas menyatakan bahawa penggunaan pasport hendaklah digunapakai semula.  Dan kenyataan itu adalah seperti di dalam pautan ini:


Dalam pada itu adalah difahamkan bahawasanya penggunaan slip kertas putih diberikan kepada rakyat Malaysia bukan warga Sarawak bermula sekitar tahun 1986 iaitu pada ketika itu adanya kemudahan Feri Malaysia yang belayar dari Malaya ke Sarawak dan Sabah.  Dan turut dinyatakan bahawa ianya dibuat sedemikian rupa bagi menggalakkan industri pelancongan tempatan pada masa itu kerana tidak mahu membebankan rakyat Malaysia yang perlu untuk mempunyai pasport jika ingin memasuki Sarawak pada ketika itu.  Dengan hanya memberikan kad pengenalan Malaysia sewaktu di pintu masuk maka satu slip putih akan diberikan kepada yang bukan warga Sarawak yang mana mempunyai tempoh-tempoh tertentu untuk berada di Sarawak.  Dan ianya digunapakai sehingga ke hari ini.  

Apa yang memusykilkan, sekiranya penggunaan slip kertas putih ini digunapakai selama hari ini TIDAKKAH ianya melanggar kuasa autonomi Imigresen Sarawak yang mana sudah tercatit proses penggunaan passport seperti yang tertera di dalam Perjanjian Malaysia 1963.  Ditambahlagi mana mungkin atas sebab-sebab tertentu ianya secara sengaja atau tidak sengaja diubah mahupun dipinda isi kandungan dan pautannya kerana Perjanjian Malaysia 1963 itu sendiri adalah satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tanggal 21 September 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.  

Dan lagi tambah memeningkan kepala selama ianya berlangsung TIDAK PERNAH pindaan ini diwar-warkan kepada rakyat Malaysia umumnya dan Sarawak khususnya kerana ia hanya melibatkan pihak Imigresen dan kerajaan sahaja.  Dari tahun 1986 sehinggalah ke hari ini tiada bukti Hansard Parlimen mahupun usul Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menyentuh hal tersebut.  

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa pindaan menggunakan slip kertas putih dari pasport Malaysia adalah satu yang HARAM dari segi undang-undang.  Jadi andaikata ramai rakyat Sarawak mahukan ianya digunapakai semula ada kebenarannya kerana kita menyentuh soal autonomi yang cukup jelas disebutkan di dalam roh penubuhan Malaysia yang dibentuk oleh Malaya, Sabah dan Sarawak (setelah Singapura menarik diri pada tahun 1965).  

Jangan dipandang sebelah mata atas hal ini kerana kita sedia maklum banyak pindaan-pindaan yang dibuat tidak sama seperti asal perjanjian. Dahulu mungkin rakyat Sarawak alpa namun sekarang kita cukup jelas hak-hak kita. Ahli politik Sarawak samada dari parti pemerintah atau pembangkang harus memainkan peranan mereka untuk mengembalikan ia seperti asalnya walau apa jua alasan. Manakala di pihak persekutuan pula dituntut untuk memulangkannya jika benar-benar menyatakan akan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 yang asal.  Undang-undang itu tetap undang-undang. Jangan kita biarkan pisang berbuah dua kali.

-RP- 

Friday, 12 October 2018

SARAWAK TOLAK JAWATANKUASA KHAS MA63


PADA dasarnya Sarawak mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyemaksemula Perjanjian Malaysia 1963 seperti apa yang dilaungkan oleh rakyat Sarawak mahupun Sabah sejak kebelakangan ini.  Ianya adalah satu misi seperti apa yang dipelopori oleh Allahyarham Tok Nan dan kemudian diteruskan oleh penyandang selepasnya iaitu Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari. 

Namun begitu ditengah-tengah keterujaan untuk menerima cadangan ahli jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 yang telah ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia yang mana turut menggariskan bahawa sebarang keputusan hanya akan diwar-warkan selepas enam bulan diadakan, ada beberapa hal yang perlu diperkirakan semula sehingga memungkin Sarawak dibawah Ketua Menterinya Abang Johari menolak senarai ahli jawatankuasa Khas MA63 seperti yang dicadangkan.  

Untuk rekod, senarai cadangan nama yang membarisi jawatankuasa khas MA63 adalah seperti berikut iaitu:

1.  Tun Dr. Mahathir bin Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-7 (Pengerusi)
2.  Datuk Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)
3.  Lim Guan Eng, Menteri Kewangan
4.  Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi
5.  Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia
6.  Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri
7.  Anthony Loke, Menteri Pengangkutan
8.  Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Zohari, Ketua Menteri Sarawak
9.  Baru Bian, Menteri Kerjaraya
10. Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal, Ketua Menteri Sabah
11. Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa
12. Tommy Thomas, Ketua Peguam Negara
13. Datuk Seri Ismail Bakar, Ketua Setiausaha Negara
14. Professor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, Akademik Undang-undang.  

Bila kita melihat kepada senarai ini sahaja sudah cukup menyajikan bahawa jawatankuasa khas ini langsung tidak mencerminkan “roh” sebenar Perjanjian Malaysia 1963.  Ada asasnya kepada penolakan ini kerana hakikatnya jauh sebelum penubuhan Malaysia yang berlaku pada tanggal 16 September 1963 turut mempunyai Inter-Government Committee (IGC) yang dibentuk pada tahun 1962 iaitu mempunyai wakil-wakil yang setara daripada United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan North Borneo (Sabah).  

Jadi, dimanakah menghilangnya wakil-wakil yang setara daripada Sabah dan Sarawak sekiranya hanya dua wakil yang disenaraikan dengan menidakkan keberadaan Peguam Kerajaan Sarawak. Dan dua wakil dari Sarawak dan Sabah pula adalah mereka yang mewakili Kerajaan PH di dalam kabinet Persekutuan. Seharusnya Sarawak mahupun Sabah semestinya diwakili oleh Ketua Peguam mereka dan juga ahli parlimen malah adun yang mewakili parti pemerintah wilayah tersebut.  Ini bukanlah jawatankuasa khas MA63 sebaliknya merupakan jawatankuasa khas kabinet kerajaan PH.  

Perlulah diketahui bahawasanya Perjanjian Malaysia 1963 itu merupakan satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tanggal 21 September 1970 dengan nombor pendaftarannya 10760.  Ianya tidaklah boleh sewenang-wenangnya dipinda tanpa melibatkan pemegang amanahnya yang mana langsung tiada wakil daripada Kerajaan British itu sendiri sepertimana IGC 1962.   

Penolakan Kerajaan Sarawak adalah sesuatu yang wajar memandangkan suara dan keputusan serta penilaian daripada Sabah, Sarawak mahupun Malaya seharusnya seimbang kerana disinilah nanti kita mampu melihat semula mana-mana yang “telah hilang” selama ini. Kita tidak mahu selepas keputusan penilaian dikeluarkan masih ada lagi yang pincang tidak seperti yang kita mahukan iaitu memartabatkan kembali Perjanjian Malaysia 1963 yang asalnya.

Komposisi jawatankuasa khas MA63 ini seumpama bahtera senget sebelah!

“Anang Malaysia tuk sebaka tebu, manis di pun tabar di ujung”. -Tun Jugah-
  

Monday, 17 September 2018

20% ROYALTI MEMBUNUH PETRONAS, HAK SARAWAK “DIBUNUH” TIDAK APA?


BETAPA permainan “sorong papan tarik papan’ mantan PM ke-4 dan PM ke-7 Kerajaan Malaysia sekarang begitu menjengkelkan bagi kita semua.  Selepas kerajaan yang diwakilinya mempermainkan isu royalti 20% minyak dan gas daripada diperhitungkan melalui jumlah perolehan kasar kepada jumlah keuntungan bersih, sekali lagi kenyataan yang memeritkan terpaksa kita telan sebagai antara pengeluar utama minyak dan gas Malaysia.   

Dan hari ini pula menyaksikan beliau berbicara sesungguhnya tindakan untuk memberikan 20% royalti kepada Sarawak dan Sabah yang mana hasil buminya digodek akan menyebabkan satu badan yang dinamakan PETRONAS boleh “dibunuh”.  Dalam pada itu, beliau turut seolah-olah memberi petanda “amaran” kepada kita semua apabila menyatakan bahawa jumlah royalti minyak 5% yang kita terima selama ini TERLALU BESAR sehingga ingin dikaji semula.  

Hal ini dikatakan oleh beliau berdasarkan pautan ini;


Mana mungkin kita boleh menerima ini semua dengan 1001 alasan diberikan bagi menidakkan hak kita selama ini.  Untuk informasi, semenjak Petronas diberikan kuasa untuk membuat eksplorasi minyak dan gas di wilayah Malaysia dari tahun 1974 hinggalah sekarang, Sarawak hanya menerima RM34 billion (setakat 2017) jumlah tunai sedangkan hakikatnya Petronas sudah mengaut bertrillion-trillion tunai untuk keuntungan mereka. Rekod juga menyaksikan bahawa pada tahun 2017, Petronas mampu pula membayar cukai sebanyak RM34 billion kepada Kerajaan Persekutuan.  Bayangkan jumlah yang diterima Sarawak (1974-2017) dengan jumlah yang diterima oleh Persekutuan saban tahun. Adilkah?

Dari zaman Sarawak dibawah kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan seterusnya bertukar tangan kepada Datuk Patinggi Abang Johari, Sarawak tetap meneruskan misi untuk mendapatkan 20% royalti minyak bagi tujuan pembangunan Sarawak yang kian mendesak.  Dari Malaysia dibawah Datuk Seri Najib Razak dan sekarang kembali semula kepada Tun Mahathir Mohamed, pihak Putrajaya masih lagi bermain tarik tali dengan hak kita.  

Perlukah kita hanya berdiam diri dan duduk menadah tangan sahaja “bersyukur kerana Sarawak masih aman” sedangkan hak kita diperkotak-katikkan sebegitu sahaja.  Hanya kerana sudah diketahui bahawa Sarawak mempunyai rizab tunai yang dimiliki kita melalui perbelanjaan berhemah sehingga memungkinkan kita menawarkan RM1 billion (dalam bentuk pinjaman) bagi membantu menaikkan prasarana sekolah-sekolah daif di Sarawak (yang sememangnya dibawah jurisdiksi Kerajaan Persekutuan Malaysia), beliau sudah mempunyai ura-ura untuk memotong royalti 5% seciput yang kita miliki selama ini.  

Sesuatu yang tidak boleh disabit dek akal bagaimana PETRONAS “mencuri” hak rakyat Sarawak sebanyak RM258 juta setiap hari dan kita dilayan seumpama pengemis atas hak sendiri. Mungkin PETRONAS tidak boleh “dibunuh” kerana disinilah berhimpun sumber kekayaan anak-anak dan kroni-kroni Tun Mahathir dan biarlah rakyat Sarawak yang empunya hak sebenar-benarnya “DIBUNUH” TIDAK APA KERANA TIADA NILAI.  

Inilah bahananya sekiranya kita mempercayai seorang pemimpin yang sememangnya mempunyai trek rekod 22 tahun sebagai “raja putar alam” memegang tampuk tertinggi kerajaan.  Kita memohon wakil-wakil kita di Parlimen bahkan Kerajaan Negeri Sarawak jangan sesekali berpatah arang atas setiap pujukan dan desakan pihak persekutuan dibawah PH.  Malah wakil-wakil PH dari Sarawak yang sudah menjadi sebahagian daripada kabinet Malaysia jangan pula menjadi “Yes man” sebaliknya dahulukan hak Sarawak.  Jika ada yang hanya berdiam diri sahaja bermakna memang betullah anda “Ulun Malaya”.  

Lain yang dijanji, lain pula yang menjadi. Lawan tetap lawan!

-HB & JC-  

#Sarawakian1st
#kameksayangSarawakbah!

Saturday, 15 September 2018

HARI MALAYSIA 2018


Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke 55 tahun kepada seluruh rakyat Malaysia walau dimana jua anda berada. Hayatilah maksud pembentukan sebuah negara yang menggabungkan empat entiti pada asalnya sehingga hanya menjadi 3 entiti sekarang. Julanglah dan kembalilah semula roh serta kedaulatan Perjanjian Malaysia 1963 seperti yang dimeterai 55 tahun yang lalu.

Tuesday, 11 September 2018

ANWAR PILIH PORT DICKSON


BERDASARKAN kepada isu terkini seperti yang diwar-warkan di dalam sidang media Parti Keadilan sebentar tadi maka sudahlah terang lagi bersuluh bahawasanya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali ke arena politik Malaysia. Telah dinyatakan dengan mengkhusus yang DSAI akan mencuba nasibnya untuk pertama kalinya bagi Parlimen Port Dickson.

Di dalam kenyataan media itu turut menyaksikan penyandang Port Dickson iaitu Ahli Parlimen Danyal Balagopal Abdullah sudahpun menghantar surat pemberitahuan untuk mengosongkan kerusi Port Dickson bagi membenarkan DSAI bertanding mewakili PKR di parlimen tersebut.

Untuk rekod berdasarkan undang-undang pilihanraya Malaysia, pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mempunyai tempohmasa 60 hari untuk mengadakan pilihanraya kecil dan sama-samalah kita tunggu samada akan ada pertandingan atau tidak. Mungkin pilihanraya kecil ini adalah antara PRK yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia kerana umum mengetahui betapa DSAI menunggu begitu lama untuk mengapai jawatan Perdana Menteri Malaysia.