Sunday, 2 April 2017

WISMA ADENAN DIBERI NAMA


PEMERGIANNYA pada tanggal 11 Januari 2017 diratapi kita semua dan sehingga sekarang tempat persemadian kekalnya tetap dikunjungi oleh rakyat pelbagai kaum dan agama dari seluruh pelusuk Sarawak mahupun Malaysia itu sendiri.  Begitulah istimewanya seorang insan yang terlalu dekat di hati kita semua iaitu Allahyarham Datu Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem.

Di dalam corat coret rakyat yang mahu namanya dikenang sepanjang zaman akhirnya ianya berjaya dilestarikan apabila Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak yang terletak di Jalan Sultan Tengah ditukar namanya bagi mengenang jasa beliau.  Wisma Adenan itulah nama barunya yang diharap akan berjaya mengukir namanya sebagai antara pusat yang berjaya melahirkan masyarakat Sarawak yang berilmu.   

Tiada siapa boleh menidakkan bagaimana Yayasan Sarawak adalah antara badan kerajaan di Sarawak yang telah banyak membantu generasi muda Sarawak selama ini.  Ditubuhkan dibawah Ordinans Yayasan Sarawak pada 27 Mei 1971 adalah badan berkanun yang dikhaskan untuk memberi kemudahan biasiswa dan pinjaman atau penyediaan bantuan kewangan untuk bakal para pelajar yang ingin meneruskan pengajiannya di institusi pengajian tinggi di dalam mahupun luar negara.

RM5K SEPINTU UNTUK MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG SEKENDU





PADA tanggal 29 Mac 2017 kita menerima khabar kurang enak apabila sebuah rumah panjang di Kampung Sekendu di Simunjan musnah dijilat api di dalam satu kebakaran.  Dikatakan juga akibat api marak dengan terlalu cepat, para penduduk hanya tinggal sehelai sepinggang tanpa dapat menyelamatkan barangan mereka.  

Sejurus menerima perkhabaran ini pelbagai agensi malahan orang awam telah datang menghuluskan bantuan bagi meringankan beban para penduduk kampung yang terlibat.  Tanggal 1 April 2017 pula usai tugasan di Parlimen Malaysia yang sedang bersidang, Ahli Parlimen P200 Batang Sadong telah bergegas pulang ke kawasan parlimennya untuk meninjau sendiri keperitan rakyatnya yang sedang dilanda musibah. Turut berada bersama beliau sewaktu tinjauan tersebut adalah ADUN Simunjan iaitu YB Awla Idris.   

Memahami akan bebanan mangsa kebakaran, Datuk Seri Hajjah Nancy Syukri turut menghulurkan bantuan segera berupa wang tunai sebanyak RM5,000 bagi setiap pintu rumah panjang yang terbabit di dalam kebakaran tersebut.  12 pintu kesemuanya dan ini bermakna RM60,000 disediakan untuk bantuan sementara ini. Selain itu beliau turut menyatakan akan membuat apa sahaja dengan meneruskan perbincangan bersama agensi kerajaan yang terlibat bagi menyediakan tempat tinggal yang tetap bagi setiap mangsa kebakaran.  

Pada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berurusan terus dengan Tuai Rumah iaitu Awat ak Minggu, JKKK Kampung Sekendu atau Pejabat Daerah Simunjan.   

Thursday, 30 March 2017

PEMBEBASAN 9 RAKYAT MALAYSIA DI KOREA UTARA


TRAGEDI pembunuhan seorang warga Korea Utara di KLIA2 beberapa minggu yang lalu telah membawa kepada ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.  Dan rentetan cerita ini telah menzahirkan ada antara rakyat Malaysia yang bekerja di Wisma Putra di sana tidak dibenarkan untuk pulang ke Malaysia dan begitulah juga untuk rakyat Korea Utara yang ada di Malaysia.  

Hasil daripada perhubungan diplomasi yang diusahakan akhirnya semalam sekitar jam 7.30 malam melalui berita yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia di laman twitter serta media massa menyaksikan 9 orang rakyat Malaysia ini telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan yang dijangka sampai ke tanahair sekitar jam 5 pagi hari ini.  Turut dinyatakan bahawa mayat abang kepada Presiden Korea Utara turut juga akan dihantar pulang ke negaranya dan segala larangan kepada rakyat Korea Utara di Malaysia sudah ditarikbalik.  

Sementara itu untuk di Sarawak pula, berita “keghaiban” 176 orang pekerja Korea Utara dari sektor pembinaan terus menjadi misteri yang tidak mampu diungkap sehingga sekarang.  Menurut rekod perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sarawak sehingga ke hari ini tiada bukti yang menyatakan 176 orang Korea Utara ini meninggalkan Sarawak, Malaysia.  

Wednesday, 29 March 2017

HARGA MINYAK SEMASA 30 MAC - 5 APRIL


BERMULA pada 29 Mac 2017 seperti yang diwar-warkan oleh Kerajaan, harga minyak semasa akan dikemaskini pada setiap hari Rabu dan berkuatkuasa pada hari Khamis tepat jam 12.01 pagi pada hari berikutnya. Ianya akan menggantikan penetapan harga minyak dan petrol mengikut bulanan seperti yang digunapakai sebelumnya.

Berikut merupakan harga terkini mingguannya berkuatkuasa 30 Mac hingga 5 April.

RON95 - RM 2.13
RON97 - RM 2.41
DIESEL - RM 2.11

Ini bermakna jika melihat kepada perbandingan dari 1-29 Mac, kadar harga minya mengikut jenis adalah RON95 (-17 sen), RON97 (-19 sen) dan Diesel (-9 sen).

Monday, 27 March 2017

SERIAN INTOWN




“UPTOWN” atau ada juga “downtown” dan sekarang muncul pula “intown”, itulah antara nama-nama moden di dalam kita berbicara pasar malam. Ianya bukanlah seperti dulu-dulu yang agak konvensional dan sekarang sesuai dengan peredaran zaman ruang berniaga di hujung minggu ini telah ditambah dengan pelbagai tarikan buat pengunjungnya.

Bagi merancakkan cuti hujung minggu serta kemudahan untuk warga tempatan yang gemar untuk menambah pendapatan telah dibuka “Serian Intown” di Taman Komuniti Serian.  Ianya beroperasi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad iaitu dari jam 8.00 pagi sehingga 11.30 malam.  Dengan pelbagai jualan seperti pakaian, aksesori telefon mudahalih, gerai-gerai makanan turut diadakan beberapa slot permainan untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak untuk bergembira.  

Pembukaan Serian Intown ini sudah tentu akan memeriahkan lagi suasana hujung minggu di Serian dan pada mereka yang berada di sekitar Serian jangan lupa untuk mengunjunginya.

PERLANTIKAN TMJ PRESIDEN FAM BERI ASPIRASI BARU

BAGI peminat sukan bolasepak tanahair perlantikan Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Sabtu yang lepas umpama memberikan satu harapan baru bagi menaikkan semula sukan no. 1 di Malaysia ini. Apatah tidak dari setahun ke setahun mutu bolasepak Malaysia sentiasa menjadi kritikan peminat sukan di tanahair.
Keunggulan TMJ di dalam menjadi sebuah persatuan sukan bolasepak negerinya iaitu JDT menjadi antara pengukur aras mutu pengurusan sesuatu pasukan telah terbukti dengan jayanya. Dan sekarang apabila baginda sendiri yang mengemudi pengurusan persatuan bolasepak Malaysia sudah tentu mempunyai impaknya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi sejak sebelum berada di dalam pengurusan FAM, bagindalah antara mereka yang lantang bersuara mengkritik bagaimana FAM menguruskan sukan bolasepak Malaysia selama ini.
Kesungguhan baginda dapat dilihat apabila belumpun sampai 24 jam mengemudi FAM tanpa berlengah telah mengeluarkan pelan jangkapendek dan jangka panjang FAM itu sendiri. Dan yang lebih mengejutkan apabila pertukaran serta merta dilakukan oleh baginda apabila Mario Gomez, bekas ketua jurulatih JDT diangkat menjadi Ketua Jurulatih Malaysia yang baharu manakala mantan ketua jurulatih yang dahulu iaitu Datuk Ong Kim Swee akan fokus sebagai jurulatih bagi bagi pasukan Malaysia bawah 23 tahun mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Sudah tentu ada banyak lagi pembaharuan drastik yang akan baginda lakukan. Dan bagi peminat sukan bolasepak di Sarawak amatlah mengharap agar kehadiran TMJ sebagai Presiden FAM akan lebih memberikan keadilan kepada Sarawak terutama sekali di dalam menentukan tayangan siaran langsung perlawanan yang ternyata begitu mendukacitakan kita semua apabila ingin melihat sendiri aksi pasukan Sarawak di bermain di luar Sarawak.

REMAJA 16 TAHUN DITANGKAP EDAR DADAH


SEMAKIN menjadi-jadi kes yang berkaitan dengan dadah di Sarawak. Amat menyedihkan ianya turut berlaku pada remaja bawah umur yang sudah berani menjadi pengedar dadah pula.
Semalam sekitar jam 5.30 petang berlaku satu penangkapan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Bandar Baru Semariang Fasa 1 di sebuah rumah berdekatan Jalan Astana. Turut ditangkap bersama beliau adalah dadah jenis syabu seberat 6.4 gram dan wang hasil penjualan dadah sebanyak RM445.
Hal seperti sungguh membimbangkan dan semakin menjadi barah di dalam masyarakat kita. Satu mekanisma harus dibentuk yang memerlukan setiap anggota masyarakat dan jangan hanya menyerahkan segala bebanan pada anggota polis untuk mencegahnya.