Wednesday, 8 May 2019

"HADIAH ISTIMEWA" MENANTI KAUM IBU SARAWAK



ENDOWMENT Fund sudahpun direalisasikan dengan pemberian RM1,000 kepada bayi anak Sarawak yang dilahirkan pada tahun 2019.  Ianya adalah antara inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan generasi bakal pemimpin anak Sarawak sudah mempunyai tabungan sejak dilahirkan untuk kegunaan mereka tatkala menjelang usia mencecah 18 tahun.  

Dan beberapa hari yang lepas ketika membuat pelancaran aplikasi Sarawak Pay di Kota Sentosa pula, Ketua Menteri Abang Johari mengwar-warkan akan ada “hadiah istimewa” untuk kaum ibu anak Sarawak yang melahirkan bayi-bayi pada tahun ini.  Buat masa ini belumlah diketahui apakah bentuk “hadiah” yang dimaksudkan oleh beliau malah bilakah ianya berkuatkuasa juga tidak diberitahu secara mengkhusus.  Namun begitu secara berkias beliau ada menyatakan bahawa kaum ibu yang baru melahirkan anak harus diberikan perhatian yang istimewa terutama sekali dari segi pemakanan yang diambil.  

Sudah tentu pengumuman daripada KM Abang Johari ini disambut dengan baik oleh kita semua sebagai rakyat Sarawak.  Pengorbanan kaum Ibu dilupa jangan lebih-lebih lagi ketika melahirkan anak bukanlah senang malah nyawa mereka menjadi taruhan.  Kaum Ibu perlu diberikan penghargaan dan inisiatif Kerajaan Sarawak ini membuktikan bahawa Kerajaan ingin turut sama terbabit di dalam membentuk modal insan rakyatnya.  

Pautan penuh:

https://suarasarawak.my/2019/05/04/kerajaan-sarawak-bakal-umum-hadiah-untuk-kaum-ibu/

Tuesday, 7 May 2019

MAJLIS SAMBUTAN RAMADHAN BERSAMA PM CAMBODIA, HUN SEN





IBADAH puasa baharu sahaja memasuki hari kedua hari ini dan seperti juga di Malaysia, acara berbuka puasa beramai-ramai turut menjadi antara penghias keindahan bulan Ramadhan di Cambodia. Sebentar tadi, YB Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Ahli Parlimen Santubong yang lengkap berbusana baju melayu mewakili Kerajaan Sarawak untuk menghadiri majlis sambutan Ramadhan bersama-sama warga muslim di Cambodia.

Kehadiran beliau ke Cambodia adalah atas jemputan peribadi PM Hun Sen. Ianya juga mencatat sejarahnya tersendiri kerana setakat ini belum ada mana-mana ahli politik daripada Kerajaan Malaysia lagi-lagi Kerajaan Sarawak yang pernah diberi penghormatan sedemikian rupa daripada PM Hun Sen.


Monday, 6 May 2019

JEMPUTAN HUN SEN BUKTI USAHA KERAJAAN SARAWAK DIIKTIRAF


EPISOD 40 orang rakyat Sarawak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Cambodia beberapa bulan yang lepas menjadi satu peristiwa hitam bagi rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.  Dalam pada itu di dalam tempoh 48 jam, ianya juga mampu diselesaikan dengan penuh diplomasi antara wakil dua negara iaitu Kerajaan Sarawak mewakili Kerajaan Malaysia dan juga Kerajaan Cambodia itu sendiri.

Dan hari ini atas hubungan yang baik itu jugalah, Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Ahli Parlimen Santubong telah berangkat ke Cambodia bagi menghadiri satu acara atas jemputan peribadi yang dibuat oleh Perdana Menteri Cambodia yakni Hun Sen.  Turut bersama Datuk Wan Junaidi adalah “orang-orang kuat” Kementerian Luar Negeri Malaysia yang turut bergandingbahu membebaskan 40 rakyat Sarawak tempohari.  Datuk Hajjah Fatimah Abdullah pula tidak dapat menghadirkan diri kerana masih komited dengan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.  

Sesungguhnya jemputan seorang Perdana Menteri dari Kerajaan Cambodia ini begitu bermakna untuk hubungan diplomatik antara Kerajaan Sarawak dan Cambodia kerana sekaligus membuktikan bahawa apa yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak mengenai isu rakyatnya yang tersadai di Cambodia diiktiraf dan dihormati oleh satu kerajaan luar. 

#SarawakDiutamakan

Saturday, 4 May 2019

RAMADHAN 2019

Marhaban ya Ramadhan, bulan suci penuh berkah telahpun tiba. Saatnya untuk kita lebih mendekatkan diri padaNya, menjauhi keburukan, memperbanyakkan ibadah.
Dengan segala kerendahan hati, mohon maaf lahir dan batin daripada kami, pentadbir Red Parrot. Semoga mendapat berkah di bulan yang penuh mulia kepada semua muslim dan muslimah sekalian
Selamat menunaikan ibadah puasa.

Friday, 3 May 2019

USUL REFERENDUM ORDINANCE DI DUN SARAWAK?



AMAT luar biasa itulah ayat yang mampu menggambarkan semangat kenyalang yang meresap di sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini.  Boleh dikatakan hampir setiap hari sidang mesyuarat begitu “panas” dengan perdebatan daripada para ADUN GPS dan juga PH. Selain membawa isu-isu mutakhir di kawasan masing-masing, para ADUN juga setakat ini memberikan pandangan masing-masing tentang apa yang berlaku sekarang.  

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang maka begitulah juga sumber maklumat mengenai hak-hak rakyat begitu mudah untuk didapati.  Rakyat Sarawak misalnya sudah celik segalanya mengenai hak-hak mereka terutama generasi muda. Kesedaran melalui forum-forum yang disertai ditambahlagi dengan dunia tanpa sempadan, maklumat hanya dihujung jari sahaja manakan boleh hal-hal yang sememangnya jelas dilanggar di depan mata boleh didiamkan sebegitu sahaja.  

Berbicara dari aspek itu jika kita meneliti hujah-hujah daripada para ADUN mungkin ramai tidak menyedari bahawa pada kali ini ada yang berani tampil membicarakan soal Referendum Ordinance.  Referendum Ordinance jika dikuatkuasakan di Sarawak membolehkan rakyat Sarawak diberikan kuasa untuk memilih mengenai halatuju Sarawak pada masa hadapan dan bukan lagi bersandarkan pada satu kerajaan yang dipilih.  Maksudnya akan ada satu proses pengundian berlaku di seluruh Sarawak samada untuk memilih kekal bersama Malaysia ataupun berpisah.  

Bagi banyak pihak mungkin ini merupakan satu tindakan yang berani mati tetapi perlulah diingatkan bahawa ianya bukanlah salah dari segi undang-undang di dunia kerana ianya termaktub di bawah United Nations Declarations yang memperuntukkan dua cara untuk “self-declarations” iaitu:

A. The 1960 Declaration on the Granting it Independence to Colonial Countries
B. The 1970 Friendly Relations Declaration

Dan menurut sejarahnya, Singapura yang bertindak keluar daripada pembentuk Negara Malaysia pada tanggal 9 Ogos 1965 menggunakan pilihan (A) kerana pada masa itu Malaysia masih lagi baharu ditubuhkan.  Mengambil contoh wilayah Quebec di Kanada misalnya menggunakan pilihan (B) yakni mereka masih lagi warganegara Kanada tetapi mempunyai 100% autonomi ke atas segalanya tentang mereka tanpa kerajaan pusat boleh campurtangan sekalipun.  

Disamping itu mungkin ramai yang telah mengikuti bagaimana rakyat Catalonia, Sepanyol juga menggunakan kuasa referendum untuk memilih samada ingin kekal atau tidak bersama Sepanyol.  Scotland turut melakukan hal yang sama sebelum itu dan keputusannya rakyat Scotland masih lagi ingin bersama di United Kingdom.  Itulah penjelasan serba ringkas mengenai keperluan Referendum Ordinance dikuatkuasakan di sesebuah wilayah seperti Sarawak mahupun Sabah yang mempunyai kuasa berbuat demikian hanya setelah Persekutuan Malaysia itu dilihat “gagal” memberikan kesaksamaan seperti yang dijanjikan.  

Mungkin mendengar suara-suara daripada segelintir generasi anak Sarawak yang bukan lagi berselindung dengan kehendak mereka malah telah turun ke jalanan meminta referendum dikuatkuasakan maka ada tiga ADUN setakat ini yang menyokong untuk usul Referendum Ordinance dibuat di sidang DUN ini secepat mungkin.  

Mengambil kata-kata daripada tiga adun di sidang dewan iaitu ADUN Batu Kitang, YB Ir Lo Khere Chiang, ADUN Piasau, YB Sebastian Ting dan ADUN Meradong, YB Datuk Ding Kuong Hiing.  Ianya adalah seperti berikut:

Giving the green light to do a Referendum would be one of the wishes of the people on this very subject. A referendum is a peaceful way of finding out the people’s aspiration and wishes”. - YB Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Batu Kitang

I have been hearing voices of Referendum to be conducted, the soonest possible. This is also my own firm belief that we should allow our people to participate in deciding the future of Sarawak. ”. - YB Sebastian Ting, Adun Piasau.

“ Let’s enact the Referendum Ordinance”.-YB Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Meradong

Persoalannya sekarang adakah akan satu lagi kejutan di sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini yang dijangka berakhir pada tanggal 9hb Mei 2019 kelak.  Bayangan daripada tiga orang ADUN GPS ini perlu diambil serius malah tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kesemua ADUN baik dari GPS mahupun PH tahu akan segala sentimen rakyat Sarawak sekarang.  

Bersediakah kita semua untuk menghadapinya sekira ia diluluskan dan apakah pula reaksi rakyat di akar umbi.  Generasi muda sudah tentu memahami dengan mudah tetapi bagi golongan tua pasti mempunyai pandangan dan akal fikiran yang tersendiri.  Impak atas hal ini begitu besar dan jangan pula kita alpa bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia sudah tentu akan memberikan reaksi mereka.  Mana mungkin mereka akan hanya berpeluk tubuh sahaja lebih-lebih lagi akan kehilangan “permata” penjana keberhasilan Negara selama ini.  

Mahu referendum ordinance atau tidak? Genggam bara api biar jadi abu, jangan sesekali takut-takut berani.  


#SarawakDiutamakan

DUN LULUS USUL BANTAHAN RASMI PERPINDAHAN PEJABAT MAHKAMAH TINGGI SS


SUDAH terang-terangannya ianya melanggar perlembagaan dan tindakan Persekutuan yang cuba untuk memindahkan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu berkuatkuasa 1 Mei 2019 akhirnya terpaksa mereka “tunda”. Rakyat Sarawak dari pelbagai lapisan masyarakat bersama-sama seia sekata mempertahankannya sehingga Persekutuan beralah.  

Namun begitu adalah perlu untuk Sarawak membuat bantahan rasmi dan usul daripada ADUN Batu Lintang dari PKR iaitu See Chee How turut mendapat kelulusan sebulat suara di dalam sidang Dewan Undangan Sarawak tengahari tadi.  Begitulah hendaknya kita sebagai rakyat Sarawak tanpa mengira ideologi akan terus mempertahankan hak kita dengan meletakkan politiking ke tepi dan maruah Sarawak didahulukan.  



#SarawakDiutamakan 

Tuesday, 30 April 2019

SARAWAK TUNTUT PINDAAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DILAKUKAN SECARA MENYELURUH


TUJUH jam diperdebatkan yang melibatkan 47 ahli dewan samada daripada GPS dan Pakatan Harapan bertikam lidah, melontarkan pandangan mereka yang kadang-kadang kedengaran panas berapi namun kesemuanya dilakukan bagi memberi keputusan yang terbaik. Ini kerana usul yang dibentangkan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yakni YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang bukanlah usul sembarangan sebaliknya ianya begitu penting buat masa hadapan Sarawak. Usul yang menuntut pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bukanlah dilakukan setengah masak sebaliknya menyeluruh ini disokong oleh ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting.

Usai tempohmasa berdebat yang turut mencatatkan sejarahnya tersendiri di Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam menyaksikan kesemua ahli Dewan sepakat membulatkan tekad meluluskan usul tersebut. Sekaligus inilah pertama kalinya di dalam sejarah Sarawak ianya pernah dibincangkan diperingkat Kerajaan dan direkodkan di dalam Hansard buat peringatan kita semua kelak bahawa Sarawak serius di dalam tuntutan mengenai hak dan kedudukan Sarawak sebagai pembentuk Negara Malaysia.

Tuntutan yang menyeluruh ke atas pindaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah seperti berikut:

1. Mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi samarata dengan Persekutuan Tanah Melayu ketika Perjanjian Malaysia 1963 dipersetujui dan dimeterai.

2. Memperuntukan, Persekutuan yang lazimnya dirujuk adalah yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan BUKANNYA di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1957.

3. Melindungi kuasa perundangan dan eksekutif Sarawak, sumber pendapatan dan geran khas yang diberikan kepada Sarawak serta autonomi kewangannya.

Selain itu, Sarawak juga menuntut beberapa pindaan di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia selepas rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dengan Kerajaan Persekutuan selesai. Ianya adalah seperti dibawah:

1.Pindaan Perkara 1(2) hendaklah dibaca seperti1. (2) Negeri-Negeri Persekutuan mengikut Perjanjian Malaysia 1963, haruslah;

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, dan

(b) The Borneo States iaitu Sabah dan Sarawak.

2. Memasukkan satu Perkara baharu 85A yang dibaca seperti berikut:

(1) Di mana tanah atau kepentingan ke atas tanah di Negeri-Negeri Borneo, yang diduduki, digunakan, dikawal oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam untuk tujuan persekutuan di bawah Seksyen 75 Akta Malaysia, 1993 (No.26 of 1963) atau diberi hak dalam Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa awam selepas Hari Malaysia bagi tujuan persekutuan, dihentikan permohonan bagi tujuan persekutuan, tanah tersebut harus tidak

(a) dilupuskan oleh Kerajaan Persekutuan atau pihak berkuasa atau

(b) tanpa persetujuan Kerajaan Negeri digunakan untuk persekutuan lain atau apa-apa maksud lain selain maksud yang tanah itu digunakan sebaik sebelum Hari Malaysia atau tujuan yang ditetapkan dalam dokumen hakmilik itu, jika ada, bagi tanah tersebut.

(2) Jika persetujuan kerajaan negeri tidak diberikan di bawah perenggan (b) fasal (1)

(a) bagi kes tanah diduduki, diguna atau dikawal dan diurus Kerajaan Persekutuan atau mana-mana pihak berkuasa awam mengikut Seksyen 75 Akta Malaysia 1963 (No.26, 1963), Kerajaan Persekutuan harus menawarkan semula tanah itu kepada Kerajaan Negeri tertakluk kepada Kerajaan Negeri membayar kepada Kerajaan Persekutuan bagi nilai bangunan yang dibina atau dinaik taraf oleh Kerajaan Persekutuan di atas tersebut sejak Hari Malaysia;

atau

(b) bagi kes bagi tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan menurut Perkara 83 dan 85, tanah tersebut harus dikembali dan diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri apabila bayaran balik semua premium yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan untuk tanah tersebut di bawah Fasal (2) Perkara 83 atau Fasal (1) Perkara 85.

3. Pindaan Perkara 95B iaitu menambah satu lagi Fasal yang diberi nombor Fasal (1A) dibaca seperti berikut;

(1A) Tiada pindaan harus dibuat kepada tambahan untuk Senarai II atau Senarai III Jadual Kesembilan atau kepada Perlembagaan ini, jadi termasuk sebarang perkara yang belum ada dalam sebarang senarai seperti dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, tanpa persetujuan Badan Perundangan Sabah dan Sarawak untuk dinyatakan melalui resolusi yang diluluskan oleh Badan Perundangan kedua-dua negeri tersebut (Sabah dan Sarawak).

4. Perkara 160(2)-4.1 Menggantikan definisi ‘Persekutuan’ dengan definisi baharu seperti berikut:

‘Persekutuan’ harus bermakna Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963.

4.2 - Menambah definisi baharu berikut:

‘Hari Malaysia’ bermakna 16 September 1963.

5. Perkara 161A (7) - Senarai-senarai Perkara ini menyenaraikan semua kaum yang merupakan penduduk asal Sarawak (iaitu peribumi Sarawak). Ia dicadang untuk meminda Perkara ini dengan menambah:

(a) menambah selepas perkataan ‘Sea Dayak’ perkataan ‘atau Iban’.

(b) menambah selepas perkataan ‘Land Dayak’ perkataan ‘atau Bidayuh’; dan

(c) menambah selepas perkataan ‘Murut’ kepada perkataan ‘atau Lun Bawang’.

6. Meminda Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan -

1. Meminda ‘Pelancongan’ daripada perkara 25A dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) untuk disenaraikan sebagai Perkara 10 dalam Senarai III (Senarai Bersama)

2. Menambah ‘Alam Sekitar’ sebagai Perkara 19 kepada Senarai IIIA (Tambahan kepada Senarai Bersama untuk Sabah dan Sarawak).

Berdasarkan kepada butiran yang dinyatakan itu sudah cukup membuktikan bahawa perwakilan DUN Sarawak sememangnya mengetahui kehendak dan aspirasi rakyat Sarawak yang mahukan segalanya diperbetulkan semula, yang terhakis dikembalikan dan yang tidak boleh dipertikaikan terus dipegang sepertimana roh Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani 56 tahun yang lepas oleh nenek moyang kita.

Mengambil kata-kata hikmah daripada ADUN Semariang, YB Sharifah Hasedah yang berkata seperti berikut di dalam DUN semalam;

"Tiada orang Sarawak yang mahukan Sarawak dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaya 1957, kita mahu Perjanjian Malaysia 1963”

Syabas dan tahniah kepada para ADUN Sarawak kerana pada kali ini cukup ikhlas dan berani dengan mengenepikan fahaman politik dan MENDAHULUKAN SARAWAK lebih dari segalanya. Sekarang yang perlu kita tunggu adalah episod seterusnya yakni apakah pula reaksi Kerajaan Persekutuan.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


#SarawakDiutamakan