Monday, 22 July 2019

HARI SARAWAK, 22 JULAI 2019


HARI ini, 22 Julai merupakan hari bersejarah di dalam kita mengenang kembali semangat anak watan Sarawak yang sanggup berjuang dan berkorban apa sahaja di dalam memastikan menoa Sarawak diperintah oleh anak watan sendiri.
Selamat menyambut Hari Sarawak, 22 Julai kepada seluruh anak Sarawak walau dimana jua anda berada.
Sekali merdeka, selamanya merdeka! 
Agi Idup Agi Ngelaban!


#22JulaiHariSarawak
#SarawakFirst

SARAWAK GAZETTE, SARAWAK DAY 22 JULAI


22 Julai sewaktu dahulu begitu asing bagi rakyat Sarawak kerana ianya hanya satu sejarah yang besar tetapi dianggap sepintas lalu oleh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Mendengar suara rakyat yang nahu ianya dimartabatkan maka tanggal 20 Mei 2016, hari itu digazetkan sebagai hari besar di dalam kronologi sejarah Sarawak.
Melalui The Government Sarawak Gazette bernombor siri LXXI No 38, hari Sarawak diertikan sebagai Sarawak Independence Day dengan ditandatangi penuh oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawa, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud iaitu antara salah seorang barisan kabinet Sarawak yang pertama pada tanggal 22 Julai 1963.

Friday, 19 July 2019

30 JULAI CUTI UMUM SARAWAK


KERAJAAN Sarawak semalam mengumumkan bahawa 30hb Julai 2019 ini merupakan cuti umum bersempena dengan Pertabalan Yang Dipertuan Agung XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.  

Pengumuman diwar-warkan berdasarkan kepada The Sarawak Gazette Part II Vol. LXXIV No. 59 yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg pada tanggal 17 Julai 2019.


Ihsan gambar: Istana Negara 

Thursday, 18 July 2019

ALI & WILLIE, PRO-AZMIN ATAU PRO-ANWAR???


BERIKUTAN kenyataan dari DSAI, Presiden PKR yang secara terbuka meminta Azmin Ali untuk meletak jawatan jika sahih terbabit di dalam video hubungan intim songsang mendapat respons yang pelbagai.  Natijah atas desakan DSAI itu mendapat respon dari MPP PKR sendiri semalam apabila 23 MPP dan 4 Ahli Parlimen menempelak kenyataan Presiden PKR itu. Antara nama yang membarisi kumpulan yang menyelar tindak tanduk DSAI adalah YB Ali Biju dan YB Willie Mongin.

Pautannya adalah seperti berikut:


Dalam pada itu apa yang menarik perhatian adalah usai menandatangani kenyataan yang pro-Azmin, kedua-dua Ahli Parlimen Sarawak yakni Ali Biju dan Willie Mongin boleh pula berada di “Team Anwar” iaitu ketika sidang media DSAI yang diadakan di bangunan Parlimen semalam.  Malah kedua-duanya dilihat mengapit Presiden PKR kiri dan kanan sewaktu sidang media tersebut diadakan tanpa ada mana-mana kelibat dari yang pro-azmin.  

Pautannya adalah seperti berikut:


Keberadaan kedua-dua ahli parlimen Sarawak di dua pihak yang berbeza sudah tentu mengundang banyak spekulasi pelbagai pihak.  Bahasa kiasan lama ada menyebut jika kapal yang hendak karam sila tinggalkan dan carilah bahtera yang kukuh agar boleh sampai ke destinasi dengan selamat. Politik hendak hidup katakan.


BONNIE DAPAT GANJARAN INSENTIF DARI KERAJAAN SARAWAK


TANGGAL 16 Julai yang lalu, seorang atlit para powerlifting kelahiran Sarawak iaitu Bonnie Bunyau Gustin telah mengharumkan nama Negara Malaysia dan Sarawak tatkala dinobatkan sebagai Juara Dunia untuk sukan para powerlifting yang berlangsung di Kazakhtans.  Kejayaan ini sudah tentu wajar diberikan perhatian oleh Kerajaan Sarawak agar ianya mampu menjadi asas untuk lebih ramai lagi OKU bergiat di dalam sukan sepertimana orang normal yang lain.

Semalam, Datuk Abdul Karim bin Hamzah yakni Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak mengwar-warkan bahawasanya Kerajaan Sarawak akan memberikan ganjaran insentif kepada Bonnie Bunyau Gustin atas kejayaan beliau.  

Berita penuh seperti pautan ini:

VIDEO TULEN, GENDANG PERANG PKR SUDAH DIPALU!


STATUS terkini siasatan mengenai video hubungan intim sonsang yang menggegarkan dunia politik Malaysia disahkan tulen oleh Ketua Polis Negara di Bukit Aman sebentar tadi.  Menurut beliau ianya disahkan oleh cybersecurity biarpun pihak itu belum lagi dapat memastikan adakah dua orang aktor tersebut merupakan Haziq Abdullah bin Abdul Aziz mahupun seorang menteri kabinet Malaysia seperti yang didakwa.  


Dalam pada itu semalam menyaksikan Presiden PKR yakni Datuk Seri Anwar bin Ibrahim mengeluarkan satu kenyataan beliau bahawa Azmin Ali perlu meletak jawatan sekiranya video itu sahih.  Kenyataan tersebut jauh berbeza dengan kenyataan awalnya semasa video itu tular di media massa yang mana menurut Datuk Seri Anwar, Azmin tidak perlu mengambil cuti sekalipun.

Pautannya adalah seperti berikut:


Dan sewaktu di Parlimen semalam turut menyaksikan maklumbalas daripada Azmin Ali tatkala dihujani pelbagai soalan oleh wartawan mengenai kenyataan daripada DSAI yang juga merupakan sekutu rapatnya sejak di zaman reformasi lagi.  Dengan nada sinis Azmin menjawab untuk DSAI cermin dirinya dahulu di cermin yang sekaligus mungkin membawa makna bahawa Azmin mengetahui apa yang rakyat tidak ketahui kebenarannya.  

Pautan adalah seperti berikut:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/07/476534/suruh-dia-cermin-diri-azmin

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula maklumbalas daripada pemimpin-pemimpin PKR yang sudah jelas sekarang mempunyai dua kem yang berbeza.  Dan perlulah diketahui bahawa pada pemilihan MPP PKR yang lepas bukanlah satu rahsia bahawa yang mendominasi jawatan tertinggi MPP itu adalah pemimpin PKR yang pro-Azmin.  

Ternyata sekali mereka kurang senang dengan kenyataan daripada Presiden PKR itu dan natijahnya satu kenyataan telah dikeluarkan yang mana menyaksikan 28 anggota MPP dan ahli parlimen PKR menegur Presiden mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan bersandarkan spekulasi semata-mata.  Umpama membuang paku buah keras, 28 MPP dan ahli-ahli parlimen PKR turut mengingatkan Presiden mereka bagaimana pada tahun 2011 mereka bermati-matian mempertahankan DSAI sewaktu fitnah dan video seks itu disahkan tulen oleh pihak berkuasa pada waktu itu.  

Pautan adalah seperti berikut:  


Nampak gayanya semakin tersepit dan terbelit PKR dengan berita mutakhir hasil perkembangan siasatan video hubungan intim songsang tersebut.  Malah setelah didodoikan bahawa ini merupakan fitnah politik daripada pembangkang, sudah terang lagi bersuluh bahawa ianya adalah kerja orang-orang PKR sendiri.  Setelah enam individu ditangkap dan ditahan reman beberapa hari yang lepas ada tiga lagi yang ditahan dan salah seorangnya adalah setiausaha politik DSAI sendiri.  

Pautannya adalah seperti berikut:



Semakin mendekat kita kepada jalan cerita mengenai video intim songsang yang menjadi pemangkin kepada kebenaran khabar angin yang bertiup kencang di dalam kem kepimpinan PKR selama ini. Dengan Presiden PKR yang dijanjikan sebagai bakal PM ke-8 di dalam jangkamasa 2 tahun menyaksikan sudah ada yang tidak sabar menanti lebih-lebih lagi turut dikatakan Azmin Ali lebih condong untuk menjadi pilihan Tun Mahathir sebagai penggantinya.  

Keretakan hubungan antara kepimpinan PKR yang semakin jelas sekarang dengan tanpa berselindung baik pemimpin mahupun ahli-ahli parti mereka sudah menampakkan akan ada satu perang yang nyata di dalam parti tersebut.  Sekaligus andaikata ada yang berpecah akan memberikan impak kepada dunia politik Malaysia.  Ini kerana dari kerusi PKR adalah penyumbang terbanyak untuk Pakatan Harapan bertakhta di Putrajaya.  

Gendang perang sudah dipalu, ramai pendekar sudah siaga untuk bertingkah. Yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Anwar atau Azmin? Sama-sama kita tunggu kesudahannya.  

Wednesday, 17 July 2019

USUL UNDI 18 TAHUN LULUS DI PARLIMEN. KENAPA YB-YB SEMUA SETUJU?


HARI ini, 16hb Julai 2019 genap setahun sidang parlimen sejak era Malaysia Baharu. Dan pada hari ini juga buat sekian lamanya Perlembagaan Persekutuan berjaya dipinda dengan sebulat suara. 211 ahli-ahli Yang Berhormat telah mengundi untuk menyokong usul ini, tiada yang menolak usul ini dan tiada yang tidak mengundi.

Mungkin ramai yang terkejut kerana banyak “poll” atau undian atas talian terutamanya di Facebook dibuat menunjukkan majoriti tidak bersetuju dengan penurun “voting age” dari 21 tahun kepada 18 tahun. Kenapa pula YB-YB di Dewan Rakyat boleh sebulat suara? Berikut merupakan antara kebarangkalian faktornya:-

1. AGE OF MAJORITY.

Menurut Akta Umur Dewasa 1971, seseorang itu dianggap dewasa bila mencapai umur 18 tahun menurut kalendar Gregorian. Jadi, setelah seseorang itu menjadi dewasa semua liabiliti terhadap dirinya tidak lagi ditanggung atau dipengaruhi oleh ibu bapa atau penjaganya. Seseorang yang dewa kini boleh menyertai kontrak jual-beli, bertanggung spenuhnya terhadap perbuatannya, tidak lagi dilindungi sebagai kanak-kanak dan tindakan yang menyalahi undang-undang kini dianggap sebagai jenayah.

2. KESAN LANGSUNG DARI DASAR KERAJAAN.

Pada poin pertama tadi kita sudah mengupas 18 tahun sebagai dewasa. Hal ini bermakna semua perkara yang dilakukannya kini menjadi liabiliti masing-masing. Hal ini termasuklah menyertai sesuatu pekerjaan, membayar cukai, undang-undang dan peraturan juga memberi kesan secara langsung kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka juga berhak diberi peluang untuk memilih kerajaan yang dirasakan bersesuaian dengan mereka yang mana segala tindak tanduk kerajaan dan dasar-dasarnya mempengaruhi kehidupan mereka secara langsung.

3. MAJORITI NEGARA LAIN SUDAH MENGAMALKANNYA.

Hampir 86 peratus daripada 223 buah negara di dunia telah pun mengamalkan sistem undian bermula 18 tahun. Di rantau Asia Tenggara pula hanya tinggal Malaysia dan Singapura yang masih mengamalkan had usia pengundi bermula 21 tahun. Majoriti negara ini berubah sejurus Era Perang Dunia Kedua (WWII). Kini kebanyakan negara di Eropah sedang berusaha menurunkan kepada 16 tahun.

4. SOKONG TAPI BERSYARAT.

Bersyarat? Syarat yang macam mana? Kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat terutamanya dari blok pembangkang menyatakan persetujuan tetapi secara bersyarat. Sayarat utama yang dinyatakan ialah pendaftaran pengundi baru perlulah dibuat secara automatik. Maksudnya apabila seseorang itu cukup syarat iaitu warganegara Malaysia yang sah, berfikiran waras, tidak dalam hukuman penjara dan lain-lain lagi terus diberikan hak untuk mengundi dalam pilhanraya tanpa perlu mendaftar sebagai pengundi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Pemberian taraf pemilih dalam pilihanraya secara automatik bertujuan tiada siapa terutamanya anak-anak muda ini dihalang dan dieksploitasi daripada mengundi oleh aman-mana pihak.

5. PERUBAHAN ZAMAN.

Dahulu, segala maklumat mengenai pentadbiran dan pengurusan kewangan negara sangat terhad dan hanya boleh dicapai oleh pegawai-pegawai kerajaan ataupun ahli-ahli korporat yang memerlukan pengetahuan sedemikian. Namun kini, perbincangan mengenai kaedah pentadbiran dan pengurusan negara dibincangkan secara bebas terutamanya di laman sosial. Hal ini bermaksud segala maklumat mengenai isu-isu semasa tidak lagi terhad kepada golongan pentadbir semata-mata, malahan anak-anak di abngku sekolah juga kini dapat mencapai maklumat tersebut serta masuk ke dalam perbincangan sedemikian. Oleh sebab itu, kurang tepat jika dikatakan generasi kini kurang pengetahuan dalam soal politik.

Walaubagaimanapun, hal ini tidak bermakna perubahan ini hanya berhenti setakat ini dan kita perlu berpuashati dengan keputusan yang telah dibuat di dalam Dewan Rakyat. Perlu diingat perubahan ini harus disertai dengan beberapa perubahan lain termasuklah menyesuaikan sistem pendidikan di sekolah dan pengajian tinggi supaya sesuai untuk melahirkan golongan pengundi muda yang matang.

Pada masa yang sama, ruang yang luas juga perlu dibuka kepada anak-anak muda ini untuk melontarkan pandangan dan kritikan terhadap pimpinan di peringkat negara, negeri mahupun setempat. Walaubagaimanapun persediaan rapi juga perlu diperhebat oleh kerajaan kerana kita tidak mahu negara ini menjadi semakin huru-hara dengan lontaran idea anak-anak muda yang “gelojoh” sehingga menyentuh sensitiviti perkauman, keagamaan, peribadi dan lain—lain yang berkait.

Kita tidak boleh mengharapkan perubahan hanya kerana ianya populis dan terkejar-kejar untuk seiring dengan negara lain. Negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri telah mencuba sebanyak 26 percubaan dan terpaksa menunggu selama 30 tahun bermula tahun 1941 sebelum idea untuk menurunkan had usia pengundi dari 21 tahun diturunkan pada 18 tahun pada tahun 1971.

Hari ini merupakan detik bersejarah dalam perkembangan negara Malaysia. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan 2019) iaitu meminda Perkara 119 ini, dijangkakan sekurang-kurangnya 7 juta pengundi baharu akan membuang undi dalam pilihanraya umum ke 15 sekiranya dibubarkan pada 2023. Kita tunggu dan lihat apakah hasilnya nanti.

Selamat Maju Jaya Negaraku Malaysia!

Oleh Syahrizzal Arfandy Haji Adam