HARI ini, 16hb Julai 2019 genap setahun sidang parlimen sejak era Malaysia Baharu. Dan pada hari ini juga buat sekian lamanya Perlembagaan Persekutuan berjaya dipinda dengan sebulat suara. 211 ahli-ahli Yang Berhormat telah mengundi untuk menyokong usul ini, tiada yang menolak usul ini dan tiada yang tidak mengundi.
Mungkin ramai yang terkejut kerana banyak “poll” atau undian atas talian terutamanya di Facebook dibuat menunjukkan majoriti tidak bersetuju dengan penurun “voting age” dari 21 tahun kepada 18 tahun. Kenapa pula YB-YB di Dewan Rakyat boleh sebulat suara? Berikut merupakan antara kebarangkalian faktornya:-
1. AGE OF MAJORITY.
Menurut Akta Umur Dewasa 1971, seseorang itu dianggap dewasa bila mencapai umur 18 tahun menurut kalendar Gregorian. Jadi, setelah seseorang itu menjadi dewasa semua liabiliti terhadap dirinya tidak lagi ditanggung atau dipengaruhi oleh ibu bapa atau penjaganya. Seseorang yang dewa kini boleh menyertai kontrak jual-beli, bertanggung spenuhnya terhadap perbuatannya, tidak lagi dilindungi sebagai kanak-kanak dan tindakan yang menyalahi undang-undang kini dianggap sebagai jenayah.
2. KESAN LANGSUNG DARI DASAR KERAJAAN.
Pada poin pertama tadi kita sudah mengupas 18 tahun sebagai dewasa. Hal ini bermakna semua perkara yang dilakukannya kini menjadi liabiliti masing-masing. Hal ini termasuklah menyertai sesuatu pekerjaan, membayar cukai, undang-undang dan peraturan juga memberi kesan secara langsung kepada mereka. Oleh sebab itu, mereka juga berhak diberi peluang untuk memilih kerajaan yang dirasakan bersesuaian dengan mereka yang mana segala tindak tanduk kerajaan dan dasar-dasarnya mempengaruhi kehidupan mereka secara langsung.
3. MAJORITI NEGARA LAIN SUDAH MENGAMALKANNYA.
Hampir 86 peratus daripada 223 buah negara di dunia telah pun mengamalkan sistem undian bermula 18 tahun. Di rantau Asia Tenggara pula hanya tinggal Malaysia dan Singapura yang masih mengamalkan had usia pengundi bermula 21 tahun. Majoriti negara ini berubah sejurus Era Perang Dunia Kedua (WWII). Kini kebanyakan negara di Eropah sedang berusaha menurunkan kepada 16 tahun.
4. SOKONG TAPI BERSYARAT.
Bersyarat? Syarat yang macam mana? Kebanyakan ahli-ahli Yang Berhormat terutamanya dari blok pembangkang menyatakan persetujuan tetapi secara bersyarat. Sayarat utama yang dinyatakan ialah pendaftaran pengundi baru perlulah dibuat secara automatik. Maksudnya apabila seseorang itu cukup syarat iaitu warganegara Malaysia yang sah, berfikiran waras, tidak dalam hukuman penjara dan lain-lain lagi terus diberikan hak untuk mengundi dalam pilhanraya tanpa perlu mendaftar sebagai pengundi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Pemberian taraf pemilih dalam pilihanraya secara automatik bertujuan tiada siapa terutamanya anak-anak muda ini dihalang dan dieksploitasi daripada mengundi oleh aman-mana pihak.
5. PERUBAHAN ZAMAN.
Dahulu, segala maklumat mengenai pentadbiran dan pengurusan kewangan negara sangat terhad dan hanya boleh dicapai oleh pegawai-pegawai kerajaan ataupun ahli-ahli korporat yang memerlukan pengetahuan sedemikian. Namun kini, perbincangan mengenai kaedah pentadbiran dan pengurusan negara dibincangkan secara bebas terutamanya di laman sosial. Hal ini bermaksud segala maklumat mengenai isu-isu semasa tidak lagi terhad kepada golongan pentadbir semata-mata, malahan anak-anak di abngku sekolah juga kini dapat mencapai maklumat tersebut serta masuk ke dalam perbincangan sedemikian. Oleh sebab itu, kurang tepat jika dikatakan generasi kini kurang pengetahuan dalam soal politik.
Walaubagaimanapun, hal ini tidak bermakna perubahan ini hanya berhenti setakat ini dan kita perlu berpuashati dengan keputusan yang telah dibuat di dalam Dewan Rakyat. Perlu diingat perubahan ini harus disertai dengan beberapa perubahan lain termasuklah menyesuaikan sistem pendidikan di sekolah dan pengajian tinggi supaya sesuai untuk melahirkan golongan pengundi muda yang matang.
Pada masa yang sama, ruang yang luas juga perlu dibuka kepada anak-anak muda ini untuk melontarkan pandangan dan kritikan terhadap pimpinan di peringkat negara, negeri mahupun setempat. Walaubagaimanapun persediaan rapi juga perlu diperhebat oleh kerajaan kerana kita tidak mahu negara ini menjadi semakin huru-hara dengan lontaran idea anak-anak muda yang “gelojoh” sehingga menyentuh sensitiviti perkauman, keagamaan, peribadi dan lain—lain yang berkait.
Kita tidak boleh mengharapkan perubahan hanya kerana ianya populis dan terkejar-kejar untuk seiring dengan negara lain. Negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri telah mencuba sebanyak 26 percubaan dan terpaksa menunggu selama 30 tahun bermula tahun 1941 sebelum idea untuk menurunkan had usia pengundi dari 21 tahun diturunkan pada 18 tahun pada tahun 1971.
Hari ini merupakan detik bersejarah dalam perkembangan negara Malaysia. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan 2019) iaitu meminda Perkara 119 ini, dijangkakan sekurang-kurangnya 7 juta pengundi baharu akan membuang undi dalam pilihanraya umum ke 15 sekiranya dibubarkan pada 2023. Kita tunggu dan lihat apakah hasilnya nanti.
Selamat Maju Jaya Negaraku Malaysia!
Oleh Syahrizzal Arfandy Haji Adam
No comments:
Post a Comment