MAKAN malam Pakatan Harapan baru sahaja selesai malam tadi dan diceritakan ramai pemimpin-pemimpin pusat PH mendatangi Sarawak konon-kononnya membawa 1001 “harapan yang tidak pasti” sepertimana mereka menabur janji dengan manifesto bukan satu kitab suci ketika PRU ke-14 yang lalu. Dalam pada itu ucapan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Presiden PPBM malam tadi ada menyatakan bahawa rakyat Sarawak “rugi” kerana GPS iaitu kerajaan pemerintah yang sedia ada mengasingkan diri daripada menyertai kem PH.
Pautan adalah seperti berikut:
https://www.utusanborneo.com.my/2019/07/29/sikap-bersendirian-gps-merugikan-rakyat-sarawak-muhyiddin
Tindakan parti-parti tempatan yang membentuk Gabungan Parti Sarawak keluar dari Barisan Nasional seepas kekalahan BN pada PRU ke-14 yang lalu ada sebabnya yang mana ianya dilakukan agar suara-suara dan tuntutan rakyat Sarawak akan lebih besar untuk didengar di peringkat pusat terutama sekali melibatkan tuntutan autonomi dan beberapa hal yang bertindih melalui Perjanjian Malaysia 1963.
Dan dek kerana itulah GPS tampil dengan moto “Sarawak Diutamakan” yang mana ianya mengkhusus untuk menyatakan bahawa di dalam apa jua yang dilakukan oleh GPS adalah semata-mata dari rakyat dan Sarawak Bumi Kenyalang. Dengan tidak menyertai mana-mana gabungan dan pakatan dari luar Sarawak maka GPS sudah tentu dengan lebih mudah untuk membentuk polisi, keputusan dan perancangan tanpa campurtangan pihak luar.
Belajar dari kesilapan yang lepas ketika dibawah Barisan Nasional dahulu yakni sejak di tahun 1970 apabila parti pemerintah Sarawak mulai bergabung dengan BN di peringkat pusat menyaksikan berapalah sangat pembangunan yang dibawa. Dengan terikat tangan dan kaki tatkala berada di kerusi pro-BN banyak dasar-dasar serta kehendak rakyat Sarawak terpaksa dilakukan seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan sesekali berselerakkan. Natijahnya jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak itu sendiri begitu ketara biarpun hakikatnya Sarawak adalah penyumbang ekonomi Malaysia sejak dari dahulu lagi.
Jika hendak berkata rakyat Sarawak “rugi” juga adalah tidak benar sama sekali kerana sejak GPS memilih untuk “bersendirian” maka pembangunan infrastruktur Sarawak tetap diteruskan malah lebih rancak daripada dahulu. Ini kerana biarpun Putrajaya yang dipegang oleh PH mendabik dada bahawa mereka tidak seperti BN dahulu tetapi mereka adalah “kembar tidak seiras”. Lihatlah bagaimana cara “keadilan” ala PH yang dengan sewenang-wenangnya memotong belanjawan pembangunan untuk Sarawak biarpun ianya sudah diperuntukkan sejak zaman BN memerintah. Atas alasan negara hendak “bangkrap” konon tetapi boleh pula memberikan berbilion-bilion untuk projek-projek infrastruktur di negeri-negeri lain.
Makanya Sarawak dibawah GPS telah menggunakan mekanisma yang lebih baik untuk memastikan pembangunan infrastruktur Sarawak terus berkembang dengan dana sendiri apabila mencari alternatif pendapatan sendiri seperti cukai jualan petrol dan gas melalui OMO 1958. Dengan hasil penjanaan ekonomi sendiri maka kerana itulah belanjawan Sarawak 2019 adalah belanjawan yang paling besar pernah Sarawak adakan iaitu hampir RM11 bilion kesemuanya. Dan ianya langsung bukan sama sekali menyebabkan rizab Sarawak itu berkurangan kerana mempunyai surplus perbelanjaan saban tahun. Dan sudah tentu pengiraan untuk jumlah pendapatan Sarawak itu bukanlah seperti Menteri Kewangan Malaysia, LGE yang mengira berdasarkan prinsip matematik budak sekolah tadika iaitu Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun seperti yang beliau dakwa.
Bila berkata mengenai soal integriti pula mungkin Sarawak dibawah kepimpinan GPS yang memilih untuk “bersendirian” itu adalah satu kerajaan yang gila. Ini kerana belum ada lagi satu kerajaan negeri yang berani tampil meminta pihak SPRM untuk bersama-sama dengan pengurusan kerajaan negeri bagi memastikan soal pemberian projek dan tender itu berlandaskan yang betul dan beretika. Memilih untuk “bersendirian” tapi membenarkan badan dari Pusat untuk menggodek kelemahan sekiranya ada adalah satu tindakan berani mati.
Malah bukan sahaja itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Belia dan Sukan Sarawak misalnya turut menjemput seorang YB PH untuk bersama-sama di dalam kementerian mereka selama enam bulan iaitu YB Violet Yong dari DAP agar segala hal mengenai perbangunan pelancongan Sarawak dapat diangkat bersama. Pernahkah ada satu kementerian kerajaan yang membuka pintu seluas-luasnya kepada “musuh” untuk masuk ke dalam rumahnya sebelum ini? Ini sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan GPS itu berani bertindak kerana mereka berada di landas yang betul dan bukannya seperti yang PH Sarawak gembar-gemburkan sebelum ini.
Rasanya tindakan GPS untuk bersendirian itu lebih baik kerana sekiranya bersama satu kerajaan yang sentiasa goyah sana sini ditambahlagi dengan keadaan politik dalaman yang terumbang ambing akan lebih merugikan rakyat Sarawak. Dengan cantas mencantas demi mengejar kedudukan di dalam parti ditambahlagi dengan parti gabungan terbelah dua kerana punya kem-kem tersendiri bilakah masa untuk memikirkan untung nasib rakyat.
Ini belum lagi ditambah dengan menteri-menteri persekutuan PH yang mengemukakan dasar pelik-pelik di peringkat persekutuan hanya untuk menunjukkan mereka hebat yang mana akhirnya menunjukkan kedangkalan mereka sendiri.
Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang seumpama “kick ganja” berfantasi dengan kereta terbang?
Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai menteri yang boleh mengira berapa jumlah ikan kembung di lautan dan meminta para nelayan menanam nenas di belakang rumah?
Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang lebih mementingkan kasut hitam daripada dasar pendidikan negara?
Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri persekutuan yang lebih memilih untuk menjadi pelakon daripada memikirkan ekonomi negara?
Rugikah rakyat Sarawak jika mempunyai seorang menteri yang meminta rakyat meminum minyak sawit sesudu setiap hari untuk menambah kebijaksanaan?
Atau rugikah rakyat Sarawak jika faktor pencemaran dan gas beracun yang terjadi di Johor itu disebabkan oleh tahi burung merpati?
Apa yang benar-benar merugikan rakyat Sarawak sekarang adalah mempunyai dua orang menteri persekutuan dari PH Sarawak yang langsung tidak berfungsi untuk memenangkan rakyat Sarawak. Menteri persekutuan yang menjaga pembangunan infrastruktur Malaysia hanya mampu menjadi pak angguk-angguk, geleng-geleng tatkala belanjawan untuk Sarawak dipotong dan seterusnya seorang menteri barangan dari Sarawak yang gah berkata sekiranya PH memerintah peringkat pusat royalti 20% minyak akan diberikan kepada parti pemerintah Sarawak tanpa syarat dan tanpa melompat mati. Akhirnya bersembunyi di sebalik pintu menelan air liur basi apabila Perdana Menteri Malaysia sendiri berkata Petronas boleh muflis jika memberikan 20% royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak.
Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh pemerintah Kerajaan Sarawak sekarang iaitu GPS yang memilih untuk “bersendirian” dan hanya akan menyokong Kerajaan Pusat apabila ianya melibatkan kepentingan Sarawak adalah satu yang benar. Biarlah kita bersendirian daripada terus menjadi “ulun Malaya” untuk 56 tahun lagi. Sejarah yang lepas sudah cukup untuk kita jadikan sempadan.
Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Mansang terus Mansang Sarawak dibawah Kerajaan GPS. Jangan diulang kesilapan yang lepas.
Mansang terus Mansang Sarawak dibawah Kerajaan GPS. Jangan diulang kesilapan yang lepas.
#Sarawakdiutamakan
No comments:
Post a Comment