NAMPAK gayanya satu demi persatu bidang kuasa yang sepatutnya dibawah Persekutuan cuba ditidakkan dengan membiarkan ianya digalas oleh pihak Kerajaan Negeri Sarawak. Selepas isu tarik papan sorong papan dengan sekolah-sekolah daif, vaksin wabak rabies dan kali ini penyelenggaraan jalan persekutuan pula yang dijadikan mangsa.
Setelah menerima banyak maklumbalas dari warga Sarawak yang bimbang akan keadaan jalan persekutuan di Sarawak yang dibiarkan bersemak samun dan berlobang sana sini, akhirnya Menteri Kerja raya Malaysia yang juga harapan pengundi PH di Sarawak iaitu YB Baru Bian tampil dengan kenyataan bahawasanya Kerajaan Negeri Sarawak diminta untuk mengambil tugas tersebut. Ianya adalah seperti pautan berikut:
Dalam pada itu, tindakan Menteri Kerja raya itu telah dibidas oleh Ahli Parlimen Santubong iaitu Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bertegas menyatakan bahawasanya apa jua bentuk penyelenggaraan jalan persekutuan adalah juridiksi Persekutuan dan tiada kompromi mengenainya. Ianya adalah seperti pautan berikut:
Jika difikirkan sampai bila isu kekangan kewangan hendak dijadikan modal oleh pihak Persekutuan sedangkan hakikatnya mereka boleh lagi meneruskan projek-projek infrastruktur yang lain untuk negeri-negeri dibawah penguasaan parti PH. Contoh terdekat adalah bagaimana Kerajaan Kedah mendapat 11 projek infrastruktur yang juga memakan jutaan ringgit dananya. Dan mengapa harus membuli Sarawak yang sudah tentu bukan negeri biasa sebaliknya pembentuk Gagasan Malaysia.
Dan apakah pula fungsi YB Baru Bian yang menjadi wakil Sarawak di peringkat persekutuan sekiranya terus tunduk dan sama-sama “membuli” negeri kelahiran sendiri. Ya, mungkin apabila melihat keadaan belanjawan Sarawak untuk 2019, mereka berpendapat bahawa Sarawak mampu berdiri atas kaki sendiri tanpa ada bantuan daripada Persekutuan namun haruslah diambilmaklum bahawasanya belanjawan itu adalah untuk memastikan rakyat Sarawak menerima pembangunan yang sudah dijanjikan sebelumnya.
Pihak Persekutuan seharusnya tahu membezakan juridiksi bidang tugas mereka seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan janganlah sesekali membiarkan segalanya dilakukan oleh Sarawak sendirian. Apalah guna kita bersama-sama di dalam Gagasan Malaysia sekiranya segala cukai sudah dibayar kepada pihak Persekutuan tetapi tatkala membuat kerja penyelenggaraan dan sebagainya menggunakan tabung sendiri.
Jangan nanti apabila sudah siap kerja-kerjanya dan cantik dipandang mata serta mendapat pujian rakyat maka berbonong-bononglah pihak Persekutuan mengwar-warkan diri untuk mendapat nama seumpama kata bidalan kambing punya susu, lembu mendapat nama atau dalam bahasa dunia sosial media sekarang “#doneclaim”. Kotakan janji anda wahai Kerajaan Persekutuan, kami muak dengan taktik membuli anda. Untuk wakil Sarawak di dalam kabinet Putrajaya, buat kerja anda sebagai wakil kami dan jangan menjadi seperti kerbau dicucuk hidung. Rakyat memerhati!
#SarawakFirst
No comments:
Post a Comment