Tuesday, 5 January 2016

API DAPUR KAYU

DUA kes kebakaran rumah panjang berlaku di Baram dalam tempoh belum sampai seminggu ambang tahun baharu 2016. Terbaru, kebakaran rumah panjang Long Anyat Patah di Long Lama berlaku selang dua hari selepas kebakaran Rumah Panjang Kajan Singeh di Long Teru, Tinjar pada 1 Januari lepas.
Usaha memadam api daripada terus merebak menemui jalan buntu berikutan ketiadaan bekalan air dan kemudahan alat pemadam kebakaran disediakan di rumah panjang Long Anyat Patah.
Laeng Anyi, mengalami kecederaan di bahagian belakang akibat terkena bahang api semasa berusaha memadamkan api yang sedang marak.
Beliau antara 85 orang penghuni yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran yang turut memusnahkan 12 pintu rumah panjang. Punca kebakaran dipercayai daripada dapur kayu.Ketika kejadian, majoriti penghuni rumah panjang Long Anyat Patah tiada di rumah kerana sedang menguruskan pendaftaran sekolah anak~anak mereka di Miri.
Kedudukan rumah panjang Long Anyat Patah, lima jam perjalanan darat dari Miri manakala dari Marudi terpaksa meredah perjalanan darat selama empat jam.

Monday, 4 January 2016

CERITA SEKOLAH LUAR BANDAR



KEDUDUKAN Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penipah, Mukah dikategorikan sekolah luar bandar Sarawak.
Di sebalik keterujaan memulakan sesi persekolahan 2016, para pelajar dan pentadbiran SK Sungai Penipah dikejutkan dengan kejadian runtuhan binaan struktur papan kayu yang merupakan laluan luar menghubungkan bangunan asrama sekolah berkenaan.
Kejadian berlaku ketika sekumpulan pelajar sedang berjalan di laluan papan kayu tersebut untuk memulakan sesi persekolahan. Bagaimanapun tiada kecederaan serius dilapurkan berlaku.
Mungkin sesetengah pihak menyifatkan insiden yang berlaku sebagai kes terpencil.
Tetapi bagi para pelajar dan ibu bapa serta pentadbiran SK Sungai Penipah, kejadian ini mengundang kebimbangan terhadap tahap keselamatan para pelajar yang menimba ilmu di sekolah ini.
Pendedahan kejadian ini bukan bermaksud menuding jari kepada mana~mana pihak. Sebaliknya bertujuan memikirkan bersama usaha dan langkah mengatasi agar insiden seumpama ini tidak berulang lagi di masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan merekodkan daripada sejumlah 1,452 sekolah seluruh Sarawak yang telah diaudit, terdapat 388 sekolah diklasfikasikan sebagai sekolah rosak teruk, 327 rosak sedikit dan 464 rosak sederhana.
Sejumlah 124 buah sekolah di Sarawak mengalami infrastruktur yang 'rosak teruk' dan memerlukan pembaikan serta merta.
Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa lawatan kerja ke Sarawak baru~baru ini mengarahkan penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan sekolah yang mengalami kerosakan teruk dilaksanakan serta merta tanpa menunggu sesi persekolahan bermula.
Mungkinkah SK Sungai Penipah, Mukah, antara salah sebuah sekolah yang tersenarai untuk kerja ~kerja penyelenggaraan cuma menanti masa sahaja bagi kerja~kerja dimulakan.

Kredit foto: Robert M. Bert Bert

Sunday, 3 January 2016

KEMBALI KE SEKOLAH LAGI



SESI persekolahan bermula lagi. Dulu, kini dan selamanya gelagat hari pertama anak~anak melangkah alam sekolah menciut perasaan dan kenangan terindah yang sentiasa segar menggamit ingatan. Mari berkongsi detik indah dan gelagat anak~anak anda ke alam persekolahan bersama RedParrot.
Aksi-aksi pelajar Tahun 1 SK Rakyat Jalan Haji Bolhassan, Petra Jaya, Kuching. 4 Januari 2015

APABILA WATSON BERSUARA




SETELAH lebih sebulan berdiam diri, akhirnya bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek bersuara.
Sinonim dengan gelaran Flying Dayak, Watson Nyambek yang kini merupakan jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak, dengan nada tegas mahu Malaysian Amateur Athletics Union (MAAU) segera menyelesaikan kemelut keputusan rekod yang dicipta Badrul Hisham Abdul Manap pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Negara Brunei Darussalam, bulan lepas.
Pada kejohanan tersebut, Badrul Hisham Azmi mencatat masa 10.29 saat dalam acara larian 100 meter mengatasi rekod 10.30 saat yang pernah dicipta oleh Watson Nyambek, pada 1998.
Kekeliruan mengenai keputusan rekod yang dicipta Badrul Hisham timbul berikutan penganjur kejohanan didapati tidak mengikut Peraturan 168 International Association of Athletics Federations (IAAF).
Penganjur kejohanan didapati gagal menyediakan pengukur angin yang sepatutnya berada pada kedudukan 50 meter sebelum garisan penamat selain ketiadaan bukti 'photofinish'.
Kedua~dua perkara tersebut perlu ada untuk menentukan keputusan kejohanan mendapat pengiktirafan IAAF.
Berikutan kemelut yang melanda, timbul kekeliruan di kalangan peminat sukan olahraga negara mengenai keputusan rekod masa yang dicipta Badrul Hisham dan rekod acara yang sama, pernah dicipta Watson Nyambek, 17 tahun lalu.
Sebelum ini, media massa dan elektronik menyiarkan laporan Badrul Hisham Abdul Manap berjaya memecah rekod 100 meter yang dipegang Watson Nyambek dengan catitan masa terbaru 10.29 saat.
Menyedari timbulnya kekeliruan keputusan, penganjur kejohanan meminta Malaysia mengemukakan bantahan rasmi agar satu siasatan terperinci dapat dijalankan.

Kredit gambar: Watson Nyambek.

MUZIUM WANITA SARAWAK

MUZIUM Wanita Sarawak.. sudah tentu ramai yang tidak mengetahui kewujudannya kerana agak kurang pendedahan mengenainya. Dirasmikan pada 6 Ogos 2007 oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu iaitu Pehin Sri Datuk Patinggi Abdul Taib bin Mahmud.
Lokasi muzium ini adalah terletak di Blok E, Kompleks Pelancongan Sarawak (Bangunan Mahkamah Lama), Kuching, Sarawak. Dan muzium ini diuruskan sepenuhnya oleh SABATI.
Tujuan penubuhan muzium ini adalah satu iaitu untuk mengiktiraf sumbangan wanita anak Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama di dalam pelbagai bidang demi pembangunan Sarawak.
Di samping itu dengan adanya muzium ini juga diharap agar setiap informasi-informasi mengenai kejayaan setiap wanita yang terpilih itu akan mampu menjadi aspirasi kepada generasi muda Sarawak untuk tampil berusaha dan berjaya seperti mereka.
Memang agak istimewa muzium ini kerana ianya merupakan muzium wanita pertama di Malaysia yang menghimpunkan segalanya berkenaan wanita Sarawak baik dari segi kejayaan, tradisi mahupun budaya.

Saturday, 2 January 2016

NASIB BUKU TEKS



FIZIKAL buku teks rosak, kotor dengan pebagai tulisan, dicemari dakwat pen dan helaian mukasurat terpisah jahitannya. Kelihatan buruk dan daif serta tidak selayaknya diagih kepada para pelajar.
Bukan menuding jari dan mencari silap mana~mana pihak. Namun ini realiti yang dialami sebahagian para pelajar sekolah yang menerima agihan buku teks di bawah Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah.
Sukar membayangkan perasaan para pelajar dan kedua ibu bapa mereka apabila melihat fizikal buku teks yang diagihkan pihak sekolah.
Persoalannya, mengapa dan sampai bila buku teks yang daif ini terus diagihkan untuk tatapan para pelajar.
Melihat keadaan buku teks itu sudah cukup melunturkan semangat dan minat belajar di kalangan mereka.
Mungkinkah Kementerian Pendidikan Malaysia mengalami kekangan peruntukan bagi membeli buku~buku teks gantian untuk diagihkan ke seluruh sekolah~sekolah yang telah dikenalpasti seluruh Sarawak?
Munasabahkah menuding jari menyalahkan para pelajar kerana gagal menjaga dengan baik buku teks yang dipinjamkan kepada mereka? Atau mungkin juga generasi pelajar hari ini kurang kesedaran sivik menjaga seelok mungkin harta kerajaan yang dipinjamkan kepada mereka.
Teringat zaman sekolah dahulu, kesukaran mendapatkan pinjaman buku teks mendorong para pelajar menjaga seeloknya buku~buku teks yang diagihkan pihak sekolah.
Lebih membimbangkan para pelajar, buku teks yang dipinjam hilang dan mereka didenda supaya menggantikannya dengan buku teks baharu.
Terfikir lagi ibubapa bakal mengeluarkan duit untuk mengganti buku yang rosak atau hilang sedangkan telah diketahui berapa sahaja pendapatan mereka pada masa itu selain terpaksa menyara perbelanjaan harian keluarga.

Friday, 1 January 2016

HAPPY NEW YEAR 2016

New Year marks a new beginning. New people to meet, new adventures to enjoy and new memories to create.
Here's wishing you the Happiest New Year ever!