Sunday, 3 January 2016

APABILA WATSON BERSUARA




SETELAH lebih sebulan berdiam diri, akhirnya bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek bersuara.
Sinonim dengan gelaran Flying Dayak, Watson Nyambek yang kini merupakan jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak, dengan nada tegas mahu Malaysian Amateur Athletics Union (MAAU) segera menyelesaikan kemelut keputusan rekod yang dicipta Badrul Hisham Abdul Manap pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Negara Brunei Darussalam, bulan lepas.
Pada kejohanan tersebut, Badrul Hisham Azmi mencatat masa 10.29 saat dalam acara larian 100 meter mengatasi rekod 10.30 saat yang pernah dicipta oleh Watson Nyambek, pada 1998.
Kekeliruan mengenai keputusan rekod yang dicipta Badrul Hisham timbul berikutan penganjur kejohanan didapati tidak mengikut Peraturan 168 International Association of Athletics Federations (IAAF).
Penganjur kejohanan didapati gagal menyediakan pengukur angin yang sepatutnya berada pada kedudukan 50 meter sebelum garisan penamat selain ketiadaan bukti 'photofinish'.
Kedua~dua perkara tersebut perlu ada untuk menentukan keputusan kejohanan mendapat pengiktirafan IAAF.
Berikutan kemelut yang melanda, timbul kekeliruan di kalangan peminat sukan olahraga negara mengenai keputusan rekod masa yang dicipta Badrul Hisham dan rekod acara yang sama, pernah dicipta Watson Nyambek, 17 tahun lalu.
Sebelum ini, media massa dan elektronik menyiarkan laporan Badrul Hisham Abdul Manap berjaya memecah rekod 100 meter yang dipegang Watson Nyambek dengan catitan masa terbaru 10.29 saat.
Menyedari timbulnya kekeliruan keputusan, penganjur kejohanan meminta Malaysia mengemukakan bantahan rasmi agar satu siasatan terperinci dapat dijalankan.

Kredit gambar: Watson Nyambek.

No comments:

Post a Comment