Saturday 16 January 2016

“WINNABLE CANDIDATE” DUN BARU PRN SARAWAK KE-11

MENJENGAH tahun 2016, angin sudah mula bertiup kencang apabila hari demi hari kita disogokkan dengan tarikh sebenar Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 yang akan diadakan kelak. Pelbagai teka-teki bermain di minda dan tidak kurang juga debaran bagi YB yang sudah sedia ada mahupun yang mengulam impian hendak menjadi “Yang Berkhidmat” kepada rakyat jelata.
Dalam pada itu sudah tentu yang menjadi topik hangat rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya lebih tertumpu kepada calon-calon “impian” untuk 11 kerusi DUN baru yang telah disahkan menurut persempadanan semula untuk PRN Sarawak ke-11 nanti.
11 DUN baru ini sudah tentu menuntut calon “Yang Berkhidmat” yang mampu untuk menterjemahkan inspirasi dan cita-cita Kerajaan Negeri Sarawak nanti. 11 DUN baru itu adalah:

1. N13 Batu Kitang
Kerusi DUN baru yang diwujudkan di dalam kawasan Parlimen Stampin (P196). Ianya merupakan pecahan daripada N12 Kota Sentosa dan N13 Batu Kawah. Sewaktu PRN-10 2011 menyaksikan N12 dan N13 dimenangi oleh DAP iaitu Chong Chien Jen dan Christina Chew Wang See. Pada ketika itu kedua-duanya mengalahkan calon dari SUPP dengan Chong Chien Jen majoriti undi 4,824 manakala Christina Chew menang tipis iaitu 543 undi.
Ketiga-tiga kerusi ini iaitu N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawah dan N13 Batu Kitang mempunyai kira-kira 20,000 pengundi berdaftar.

2. N17 Stakan
Berada di dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan (P197) mempunyai 2 DUN sebelumnya iaitu N12 Asajaya dan N15 Muara Tuang. Menurut rekod kawasan ini merupakan kubu kuat kepada PBB dan setakat ini belum ada mana-mana lagi yang bisa merobohkan “tembok” PBB di kawasan ini.

3. N18 Serembu
Dahulunya ianya dibawah Parlimen Mambong (P198) dan telah ditukar nama kepada Parlimen Puncah Borneo (P198) sekarang. Terdapat 2 DUN di dalam parlimen ini iaitu dahulunya N16 Bengoh dan N17 Tarat. N16 Bengoh sudahpun ditukar nama kepada N16 Mambong untuk PRN Ke-11 nanti.
Ketika PRN-10 2011, N16 Mambong telah dimenangi oleh Dr Jerip Susil yang bertanding atas tiket SUPP dengan kemenangan majority tipis iaitu 275 undi. Manakala untuk N17 Tarat pula dimenangi oleh Roland Sageh Wee Inn atas tiket PBB dengan majority 1,995 undi.

4. N23 Triboh
Kerusi N23 Triboh ini adalah satu kerusi yang diwujudkan di dalam Parlimen Serian (P199). Jadi sekarang kawasan Parlimen Serian sudah mempunyai 3 kerusi DUN disamping 2 lagi kerusi yang sedia ada iaitu N18 Tebedu dan N19 Kedup. Ketika PRN-10 2011 dimenangi oleh calon BN-PBB iaitu Michael Manyin anak Jawong (N18) dan Maclaine Ben @ Martin Ben (N19).

5. N26 Gedong
Diwujudkan dibawah Parlimen Batang Sadong (P200) mempunyai 2 kerusi DUN sebelumnya iaitu N20 Sadong Jaya dan N21 Simunjan. Di kawasan ini juga merupakan kubu kuat kepada BN-PBB dengan kedua-dua calonnya yang menang majoriti besar ketika PRN-10 2011 iaitu Aidel bin Lariwoo (N20) dan Mohd Naroden bin Majais (N21).

6. N40 Kabong
Merupakan tambahan kepada kerusi N33 Kalaka dan N34 Krian dan terletak di dalam kawasan Parlimen Saratok (P205). Untuk kawasan parlimen ini sudah tentu menyaksikan pertembungan yang menarik dengan adanya pertambahan kerusi N40 Kabong.
Ini kerana ketika PRN-10 2011 ianya telah menyaksikan bagaimana N33 Kalaka dimenangi oleh calon BN-PBB iaitu Abdul Wahab bin Abdul Aziz manakala N34 Krian pula dimenangi oleh calon PKR iaitu Ali Biju.


7. N57 Telian
Kerusi baru yang diwujudkan di dalam kawasan Parlimen Mukah (P213) juga mempunyai 2 kerusi yang sedia ada iaitu N50 Dalat dan N51 Balingian. Juga merupakan kubu kuat BN-PBB dengan PRN-10 2011 dimenangi dengan keputusan majoriti besar iaitu melalui Fatimah Bt Abdullah @ Ting Sai Ming (N50).
Dan setelah Pehin Sri Datuk Patinggi Abdul Taib bin Mahmud yang berundur di dalam semua aktiviti politiknya telah diadakan satu pilihanraya kecil pada 29 Mac 2014 iaitu dimenangi oleh calon BN-PBB Yussibnosh Balo dengan keputusan majoriti sebanyak 6,911 undi mengalahkan calon PKR iaitu Abdul Jalil Bujang.

8. N63 Selirik
Kerusi DUN yang diwujudkan di dalam kawasan Parlimen Kapit (P215) mempunyai dua lagi kerusi yang sedia ada iaitu N54 Pelagus dan N55 Katibas. Di kerusi DUN ini menyaksikan N55 dimenangi oleh Ambrose Blikau anak Enturan dari kerusi BN-PBB manakala N54 Pelagus dimenangi oleh seorang calon bebas ketika PRN-10 2011 iaitu George Lagong.
Dan sudah tentu calon di N54 Pelagus ini nanti akan menguji bagaimana idea taktikal politik yang berkesan kerana George Lagong itu sendiri selepas memenangi kerusi tersebut telah menyertai SWP dan kemudian sekali lagi keluar parti dan menyertai pasukan ADUN SUPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak untuk membentuk TERAS.
Dan kemudian, George Lagong digugurkan dari tersenarai di dalam barisan adun yang membentuk TERAS kerana pendirian tegas PRS bahawa kerusi itu milik mereka. Dan CM Datuk Adenan yang merupakan Pengerusi BN pula menyatakan bahawa kerusi ini adalah milik PRS.
Jadi dari parti komponen BN manakah dan siapakah calonnya pula yang akan mewakili N63 Selirik?

9. N66 Murum
Dibawah Parlimen Hulu Rajang (P216) mempunyai 2 kerusi sebelumnya dan sekarang sudah mempunyai 1 kerusi tambahan menjadikannya 3 kerusi DUN secara keseluruhan. N56 Baleh dan N57 Belaga kedua-duanya dimenangi oleh calon BN-PRS iaitu James Jemut Masing (N56) dan Liwan Lagang (N57).

10. N70 Samalaju
Di Parlimen Bintulu (P217) dahulunya mempunyai 3 kerusi DUN iaitu N58 Jepak, N59 Kidurong dan ditukar kepada nama N59 Tanjung Batu dan N60 Kemena. Yang menariknya diketiga-tiga kerusi ini 2 daripada adalah milik BN Sarawak melalui PRN-10 2011 dimenangi oleh Datuk Talip bin Zulpilip (N58) dan Stephen Rundi anak Utom (N60).
Dan N59 Tanjung Batu (Kidurong) pula dimenangi oleh calon dari DAP iaitu Chiew Chin Sing yang mengalahkan calon SUPP iaitu Henry Ling Koung Meng dengan majoriti besar iaitu 6,930 undi. Jadi siapakah pula calon “istimewa” untuk kesemua parti untuk N70 Samalaju nanti?

11. N78 Long Lama
Dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 8,057 orang, kerusi ini merupakan tambahan kepada 2 kerusi di dalam Parlimen Baram (P220). 2 kerusi sebelumnya adalah N66 Marudi dan N67 Telang Usan. Ketika PRN-10 2011, N66 dimenangi oleh wakil SPDP iaitu Sylvester Entrie manakala N67 Telang Usan dimenangi oleh Dennis Ngau melalui tiket BN-PBB.

Jika melihat kepada pertambahan kerusi serta kerusi-kerusi yang sedia ada berdasarkan kepada kawasan parlimen dimana 11 kerusi baru ini berada sudah tentu setiap parti politik yang akan bertanding akan cuba untuk meletakkan siapakah "WINNABLE CANDIDATE".
Bagi kita ini pula akan terus mencongak-congak bilakah tarikh pilihanraya dan berteki-teki siapalah pula yang akan bertanding untuk jawatan “Yang Berkhidmat” itu nanti.

No comments:

Post a Comment