Sunday, 10 January 2016

PENDUDUK LONG LOYANG SEMAKIN BIMBANG




LEBIH seribu penduduk dari 128 pintu rumah panjang Long Loyang, Tinjar, Baram semakin bimbang sekiranya hujan di kawasan hulu turun berterusan dalam tempoh 24 jam lagi.  Keadaan paras banjir surut seketika sebelah pagi tadi.

Bagaimana pun hujan yang turun berterusan di bahagian hulu Long Loyang sebelah petang tadi menyebabkan paras air naik semula.

Admin RedParrot dimaklumkan para penduduk semakin bertambah bimbang keselamatan mereka sekiranya berlaku kenaikan paras air secara mendadak berikutan kedudukan rumah panjang Long Loyang yang hampir dengan Sungai Tinjar.

Sehingga petang tadi, paras banjir di Long Loyang masih lagi bertahan. Namun sekiranya hujan turun lagi berterusan malam ini, dijangka banjir yang melanda sejak dua hari lepas semakin bertambah buruk.

Semalam, akibat hujan turun berterusan, sebahagian jalan darat yang menghubungkan Long Loyang ke pekan Lapok mendap dan berlaku runtuhan tanah pada sebahagian bahu jalan. Beberapa hari lalu jambatan Temedo telah dihanyutkan arus deras Sungai Temedo.

Siang tadi, jalan darat yang mendap dan runtuhan tanah di kawasan tersebut sudah dibaikpulih oleh pihak syarikat ladang kelapa sawit berhampiran menggunakan lima jentolak.

Selain jalan darat, para penduduk Long Loyang menggunakan perahu panjang memudiki Sungai Tinjar untuk sampai ke pekan Lapok, yang mengambil masa antara 3 hingga 4 jam perjalanan bergantung dengan keadaan paras air sungai dan kekuatan kuasa kuda enjin yang digunakan.

Jika melalui jalan darat mengambil masa kira~kira dua jam perjalanan ke pekan Lapok dan tiga jam perjalanan ke Miri. Tempoh masa perjalanan menggunakan jalan darat ini juga tertakluk kepada cuaca dan keadaan jalan.



No comments:

Post a Comment