Sunday 24 January 2016

HARGAI KEMUDAHAN DI TEMPAT AWAM

SEBAHAGIAN kawasan bandar utama di Sarawak semalam, mengalami gangguan bekalan letrik sekaligus melumpuhkan seketika segala urusan harian penduduk di kawasan terbabit.
Antara kawasan yang terjejas ialah Hospital Umum Sarawak. Kebetulan ketika kejadian, seorang pengguna yang sedang dalam kecemasan, bergegas ke ruang legar hadapan bangunan hospital, bertujuan menggunakan perkhidmatan telefon awam yang disediakan.
Bagaimana pun, pengguna yang hanya ingin dikenali Peter, 48, terpaksa membatalkan hasratnya. Hampir semua kemudahan telefon awam yang ada dalam keadaan tidak sempurna dan gagal berfungsi. Paling menyedihkan, ada antara telefon awam di situ sudah hilang gagangnya.
Persoalannya, bagaimana dan macam mana deretan telefon awam yang letaknya di dalam bangunan hospital milik kerajaan menjadi mangsa perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Besarlah harapan pengguna supaya pengendali utama yang menyediakan perkhidmatan telefon awam untuk kemudahan orang ramai ini sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan berkala ke atas telefon awam tersebut. Pemeriksaan ini tidak hanya yang ada du dalam bangunan Hospital Umum Sarawak tetapi juga di tempat lain yang turut disediakan perkhidmatan serupa.
Masyarakat pula hendaklah sentiasa menghargai semua kemudahan yang disediakan di tempat awam. Kemudahan ini adalah untuk kegunaan semua bukan dijadikan bahan untuk perbuatan vandalisma yang akhirnya merugikan semua pihak.
Tanamkanlah sifat kesedaran sivik yang tinggi dalam kehidupan seharian dan sentiasa menjaga kemudahan yang terdapat di tempat awam.

No comments:

Post a Comment