Wednesday, 20 January 2016

MASJID AL-QADIM, SIBU, SARAWAK

KALI ini kita akan menjengah satu sejarah sebuah masjid yang tidak kurang hebatnya suatu waktu dahulu.  Dibina hasil daripada derma penduduk tempatan iaitu hasil daripada penanaman huma dan sebagainya.  Inilah Masjid Al-Qadim, Sibu, Sarawak yang mana lokasinya sekarang adalah di Jalan Kampung Nyabor, Sibu, Sarawak.

Semasa ianya dibina ianya hanya mempunyai struktur kayu dan beratapkan daun nipah.  Dan dibina oleh seorang pendakwah yang mempergiatkan syiar Islam di Sibu pada waktu itu iaitu Tuan Haji Salam Minangkabau.  Tuan Haji Salam ini dikatakan berasal daripada Minangkabau yang juga amat pakar di dalam bertukang rumah. 

Terdapat 2 teori sejarah mengenai masjid ini kerana ada yang mengatakan bahawa Masjid Al-Qadim ini merupakan masjid yang tertua di Sarawak.  Menurut penduduk Sibu sebenarnya masjid ini dibina pada tahun 1830 iaitu jauh sebelum Brooke datang memerintah Sarawak.  Dan ada pula yang mengatakan bahawa masjid ini mungkin dibina seawal tahun 1881 iaitu sebelum berlakunya peristiwa “Lampong Pecah” di Sibu pada tahun 1883. 

Dan keunikan pada masjid ini selain daripada sejarahnya adalah bagaimana sebenarnya masjid ini walaupun telah melalui beberapa baikpulih dan pembinaan tambahan, lokasi asalnya tetap sama malah tidak terusik pada binaan tengah masjid yang juga merupakan binaan asalnya.

Sehingga sekarang, Masjid Al-Qadim tetap berdiri megah di lokasinya dibina lebih seratus tahun dahulu dan tetap menjadi lambang keutuhan syiar Islam di bumi Sarawak amnya dan Sibu khususnya. 



No comments:

Post a Comment