Wednesday 20 January 2016

BUKIT AMAN PANTAU KESELAMATAN DI SARAWAK.



RAKYAT Sarawak tidak perlu merasa bimbang tentang keselamatan di negeri ini susulan serangan pengganas militan di Jakarta minggu lepas.
Pegawai Bahagian Siasatan dan Perundangan, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Superintenden Ahmad Norisham Ma'arus tidak menafikan Pasukan Khas Bukit Aman ada mengesan cubaan penyebaran fahaman militan ke Sarawak oleh pihak yang terpengaruh dengan kegiatan pelampau Daesh.
"Hasil maklumat risikan, ada percubaan menyebarkan fahaman itu di Kuching. Pihak berkuasa sedang memantau elemen keganasan itu dan sekiranya berjaya, ia merupakan tangkapan pertama di Sarawak yang melibatkan keganasan", jelas Ahmad Norisham kepada media selepas ceramah mengenai "Menangani Ancaman Kumpulan Militan di Malaysia."
Menurut Ahmad Norisham, penduduk Sarawak tidak perlu bimbang kerana berdasarkan operasi yang dikendalikan Pasukan Khas Bukit Aman, kadar ancaman jenayah di Sarawak masih rendah berbanding negeri~negeri lain di Malaysia.

"Saya kata ada percubaan dan mungkin ada jika diteruskan atau terhenti di situ", ujarnya sambil menambah berdasarkan pengalaman menangani ancaman keganasan, Malaysia dijadikan pusat oleh anggota militan mengumpul dana.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad menasihatkan orangramai tidak panik dan berhenti menyebarkan spekulasi mengenai isu yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Hasil risikan keadaan terkawal dan pemantauan tetap diteruskan. Cuma saya tidak akan mendedahkan berkenaan strategi pemantauan kami" katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
ACP Roslan Bek Ahmad berterima kasih di atas kerjasama orang awam terhadap anggota polis dalam usaha menangani pembanterasan jenayah di Sarawak.

No comments:

Post a Comment