JANGAN ingat memandu kenderaan berjenama mahal dan di lebuh raya boleh terlepas dari risiko kemalangan maut. Ini kisah yang dirakam lensa kamera petang semalam, di jalan raya yang merupakan sebahagian rangkaian Lebuh Raya Pan Borneo.
Kejadian kemalangan ngeri melibatkan kenderaan jenis Toyota Vios dengan lori kargo muatan 10 tan di Kilometer 114, Jalan Sibu~Bintulu telah mengorbankan tiga mangsa iaitu pasangan adik beradik dan seorang warga emas.
Pemandu kereta Toyota Vios, Ferrinow bin Kadri, 34 tahun dan penumpang yang juga adik Ferrinow, Anthony bin Kadri, 25 tahun serta seorang warga emas, Nau'yah binti Pusih, 64 tahun maut serta merta di tempat kejadian.
Ketiga~tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan Vios berwarna putih yang hampir keseluruhannya rosak teruk. Menurut sumber, kenderaan Vios yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Sibu terbabas ke sebelah kanan jalan dan bertembung dengan lori yang sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu.
Pemandu kenderaan Vios dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kenderaan bernombor pendaftaran salah sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia itu terpelosok di bawah bahagian hadapan lori.
Usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan oleh sekumpulan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tatau, yang lokasinya kira~kira 66 kilometer dari tempat kejadian.
Menurut Ketua Balai Bomba Tatau, Azrel Izaidi Ahamad, pihaknya turut dibantu dua buah lori untuk meregangkan lori dan kenderaan Vios bagi mempercepatkan usaha mengeluarkan mangsa terakhir yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Bagaimanapun, pemandu lori, Ngu Heng Huat, 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
No comments:
Post a Comment