Tuesday 12 January 2016

TRAGEDI BERULANG LAGI



KEGHAIRAHAN sekumpulan lima remaja dari Kampung Santubong, mandi manda bertukar tragedi.
Salah seorang rakan mereka tiba~tiba hilang, dipercayai tenggelam dan lemas akibat kejadian pusaran ombak yang berlaku tanpa di sedari mangsa berhampiran pantai kampung itu, lewat petang semalam.
Sebelum kejadian, mangsa, Raziman Razali, 15, dikatakan enggan menyertai rakan sebayanya naik ke darat dan pulang ke rumah masing~masing berikutan hari sudah hampir senja.
"Apabila dipelawa pulang, Raziman enggan mengikuti kami sebaliknya masih terus berada di dalam air," beritahu Fairul Ikman ketika ditemui admin RedParrot, hari ini di lokasi kejadian.
Menurut Fairul, selang beberapa minit dan sebaik menoleh semula ke belakang, mereka melihat tangan Raziman terkapai~kapai sebelum tenggelam ke dalam air.
Kesemua mereka yang terkejut menyaksikan kejadian yang tidak terduga berlaku di depan mata, ketika itu tidak sempat bertindak menyelamatkan Raziman.
"Raziman sempat membeli air minuman dari kedai berhampiran sebelum turun ke pantai untuk mandi manda," cerita Fairul Ikman lagi.
Lewat petang semalam, sebaik menerima lapuran kejadian, pihak Bomba dan Penyelamat dengan dibantu Jabatan Pertahanan Awam dan Rela serta ahli keluarga dan penduduk kampung segera menjalankan gerakan mencari dan menyelamat mangsa di lokasi terakhir mangsa kelihatan.
Bagaimana usaha mencari dan menyelamat selama beberapa jam terpaksa ditangguhkan sebelum lewat malam berikutan lokasi kejadian yang gelap dan air laut pasang.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa diteruskan lagi sejak awal pagi tadi dan sehingga artikel ini ditulis, tumpuan pencarian beralih dua radius dari lokasi terakhir ke arah laut.
ADUN Pantai Damai, Dr Abdul Rahman yang turut berada di lokasi kejadian menasihatkan orang ramai di Kampung Santubong menghindarkan diri daripada sebarang aktiviti pantai buat sementara waktu.
Admin RedParrot turut bersimpati dengan nasib yang tidak terduga menimpa keluarga Raziman. Diharapkan mereka terus berdoa dan sabar menghadapi saat~saat sukar ini. Semoga segala usaha mencari dan menyelamat berhasil menemui Raziman semula.

No comments:

Post a Comment