TUMPUAN para pelabur mula beralih arah dengan rangsangan minat mendalam terhadap saham berwajaran tinggi yang berpangkalan di Sarawak menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) KE~11.
Sejak akhir 2015 Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adenan Haji Satem telah memberi bayangan PRN diadakan seawal Mac dan paling lewat Mei 2016, menguatkan lagi keyakinan para pelabur terhadap saham berkaitan Sarawak.
Sokongan keyakinan para pelabur turut didorong pestasi kerajaan Barisan Nasional yang dijangka dapat mengekalkan semula majoriti terbesar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan pertambahan sebelas lagi kerusi baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 82 kerusi.
Pemerhati prestasi saham menjangkakan sejak awal tahun 2016, saham berkaitan Sarawak berada di bawah dagangan pilihan sempena PRN.
Prospek saham syarikat Sarawak berkaitan pembinaan dan kejuruteraan dilihat mendapat manafaat menjelang PRN. Antaranya syarikat pembinaan Cahya Mata Sarawak (CMS), Sarawak Cable Bhd, Hock Seng Lee (HSL), KKB Engineering dan Naim Holdings.
Pembentangan bajet negeri yang dipacu PRN 2016 melibatkan RM8.04 billion, meningkat 26.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia termasuk peruntukan RM5.97 bilion untuk pembangunan jalanraya, bekalan air bersih dan sektor berkaitan pertanian.
Sarawak dijangka mendapat manafaat yang besar daripada pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM27 bilion yang dibiayai kerajaan persekutuan.
Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak meliputi jajaran jalan raya sepanjang 1,090 kilometer dan pembinaan jambatan baharu. Syarikat CMS, HSL, KKB dan Naim dijangka berpotensi secara langsung dan penerima manafaat secara tidak langsung daripada projek berskala besar dan impak tinggi Sarawak ini.
Keseluruhan kos projek bernilai kira~kira RM15 bilion, bakal dilaksanakan secara rakan projek, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd dan dijangka siap pada awal 2023.
Untuk tujuan itu, sejumlah 10 pakej diperkenalkan secara berperingkat. Terkini, antara 12 hingga 15 konsortium yang melibatkan firma Sarawak dan Semenanjung Malaysia telah memenuhi prasyarat.
Kerajaan Sarawak menetapkan entiti tempatan mempunyai ekuiti sebanyak 70 peratus dalam setiap konsortium dengan rakan kongsi dari Semenanjung Malaysia.
Sebahagian pakej awal projek pembinaan lebuh raya itu bermula Mac lepas melibatkan laluan 43 kilometer dengan nilai kontrak RM638 juta.
Pakej kedua dengan nilai kontrak RM580 juta dilancarkan pada 1 September lepas dengan laluan sejauh 33 kilometer. Lain~lain pakej bakal dilaksanakan awal tahun ini.
Lebuh raya ini dijangka turut merangsang pembangunan di dalam dan luar Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
No comments:
Post a Comment