Saturday, 9 March 2019

TERRORIST DITANGKAP DI SERIAN, SARAWAK


TANPA kita sedari sebagai rakyat Sarawak pada tanggal 2hb Februari 2019 yang lepas, ada serbuan dilakukan oleh Pasukan Counter Terrorist Cawangan Khas di Serian, Kuching.  Ianya diwar-warkan oleh Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Mohd Fuzi Harun yang mana menurut beliau, penangkapan tiga orang suspek yang mana seorang lelaki rakyat Mesir dan dua rakyat Sarawak (seorangnya wanita) adalah susulan daripada penahanan sembilan lagi suspek yang dicekup di dalam operasi bersepadu di ibukota Kuala Lumpur.  

Tiga orang suspek yang berusia dari 20 hingga 54 tahun disyaki menyembunyikan maklumat tentang kehadiran Operatif Ansar Al-Shariah An-Tunisia yang menjadikan Malaysia sebagai ‘pangkalan selamat” yakni negara transit dan logistik mereka di Asia Tenggara.  Antara modus operandi pengganas ini adalah adalah dengan menggunakan dokumen perjalanan palsu atau sah yang kemudiannya mereka berkahwin dengan rakyat tempatan demi untuk memperoleh visa pasangan (spouse visa).  Kehadiran mereka amatlah berbahaya kerana boleh menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyerang negara ketiga atau melancarkan serangan di dalam Negara Malaysia itu sendiri.

Suspek-suspek ini ditahan di bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). Difahamkan pada tanggal 5hb Mac 2019 yang lalu kesemua mereka telah diusir ke negara asal sebagai langkah keselamatan dan turut telah disenaraihitam daripada memasuki negara ini seumur hidup.

Untuk itu bagi semua rakyat Sarawak adalah perlu untuk kita berhati-hati di hal seperti ini.  Ramai antara kelompok pengganas ini sentiasa cuba menangguk di air yang keruh atas sifat keterbukaan kita menerima orang asing di dalam hidup.  Perlulah untuk kita menyiasat dahulu siapakah kenalan kita sebelum nasi menjadi bubur.  Buruk padahnya kemudian hari.  

VIDEO PROMOSI RMWF MENANG ANUGERAH EMAS DI ITB BERLIN 2019


DISEBALIK promosi rancak yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019, semalam 9hb Mac 2019 menyaksikan video promosi Rainforest Music Festival yang meletakkan nama Sarawak sebagai tumpuan dunia saban tahun telah berjaya memenangi anugerah Emas The Golden City Gate 2019 di ITB Berlin, Jerman iaitu satu acara tahunan antarabangsa yang berkisar tentang dunia pelancongan.  Ianya merupakan satu penghormatan besar untuk Sarawak lebih-lebih lagi video promosi tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh sebuah produksi Sarawak iaitu Asa Esa yang menggunakan tenaga seni kreatif anak Sarawak sendiri.  

Anugerah tersebut diterima oleh Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang merupakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yang juga ADUN Asajaya dari President Golden City Gate, Mr. Wolfgang Jo Huschert di Malaysian Pavillion, Messe Berlin, Jerman.  

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Sarawak Tourism Board, Kementerian Pelancongan Sarawak dan sudah tentu Asa Esa.  Satu kejayaan yang membuktikan bahawa hasil kerja kreatif anak tempatan Sarawak boleh diiktiraf di peringkat dunia.  

STATUS RAKAN KONGSI SABAH SARAWAK



PARLIMEN Malaysia akan bersidang bermula 11hb Mac 2019 ini dan ada satu berita gembira yang kita perolehi iaitu dinyatakan bahawa Kabinet Persekutuan bersetuju untuk membuat usul bagi membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi pembentukan Negara Malaysia.  Dan bagi merealisasikannya sudah awal-awal lagi, Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Mahathir Mohamed menyatakan bahawa mereka memerlukan 2/3 undi majoriti di dalam parlimen kelak.  

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang wajar untuk kita ikuti perkembangannya lebih-lebih lagi inilah antara misi dan visi Sarawak semenjak di zaman kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem lagi iaitu bagi mengangkat semula status Sarawak seperti yang terkandung di dalam MA63 suatu ketika dahulu.  Dan untuk Kerajaan Negeri Sarawak dibawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak yang diketuai oleh Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg pula pada hari ini turut menyatakan bahawa beliau akan meminta kesemua ahli-ahli Parlimen GPS untuk menyokong usul tersebut.  Ianya sejajar dengan pendirian GPS sejak ia ditubuhkan iaitu akan mendahulukan Sarawak dan sebarang perkara yang membawa kebaikan untuk Sarawak akan disokong biarpun Sarawak bukan gabungan parti politik di dalam Pakatan Harapan sekarang.  

Untuk rekod jika kita menyelak kembali 55 tahun dahulu seperti apa yang terkandung di dalam draf pertama Perlembagaan sewaktu penubuhan Malaysia ada menyatakan yang berikut iaitu:

Article 1: The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be-

(a) The States of Malaya, namely, Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu
(b) The Borneo states, namely, Sabah and Sarawak, and
(c) The state of Singapore

Dan sekitar tahun 1976, Perlembagaan telah dipinda yang mana melalui bukti Hansard Parlimen pada masa itu turut dipersetujui oleh wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak.  Cuma bezanya jika kita merujuk kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun Sabah, pindaan ini langsung tidak pernah diusulkan di peringkat Negeri.  

Selepas pindaan Perlembagaan itu maka jadilah ianya seperti berikut:

Article 1: The The federation shall be known, in Malay and in English, by the name Malaysia.

Article 2: The states of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Selangor.  

Pindaan ini menyebabkan Sabah dan Sarawak telah dituruntaraf menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Malaysia.  

Menjadi tiga entiti pembentuk Negara Malaysia ada bezanya menjadi negeri ke-12 dan ke-13 di dalam Negara Malaysia dan hal ini harus diketahui oleh semua rakyat Malaysia.  Makna rakan kongsi itu juga membawa maksud yang cukup besar baik dari segi sosial dan ekonomi.  Pembahagian bajet misalnya adalah sesuatu yang memainkan peranan yang amat besar di dalam pembangunan negeri pembentuk seperti Sarawak dan Sabah.  

Sebagai rakyat Sarawak mahupun Sabah, sudah tentu ini adalah sesuatu yang kita nanti-nantikan dan seharusnya tindakan ini kita sokong tanpa mengira perbezaan politik.  Kesilapan dahulu adalah satu sejarah yang seharusnya tidak boleh kita ulangi kembali.  Yang penting sekarang masih ada sirna untuk membetulkan kesilapannya dan kita harus berfikir ke hadapan atas nama Sarawak mahupun Sabah.  

#SarawakDiutamakan

Friday, 8 March 2019

PENJARA 10 TAHUN DENDA RM50K UNTUK AYEA


TULAR di media sosial beberapa hari yang lepas apabila seorang pemuda anak Sarawak memuatnaik komentar yang menghina Nabi Muhammad.  Banyak laporan polis diterima atas onar yang dibuat oleh seorang pemuda yang mana nama sebenarnya adalah Alister Cogia berasal dari Singai, Bau yang menggunakan nama “Ayea” di laman mukabuku milik beliau.  

Hari ini menyaksikan, Ayea dihadapkan ke mahkamah dengan dirinya mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau dibawah Seksyen 298A(1)(a) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.  Secara total bagi setiap kesalahan adalah penjara 10 tahun dan denda RM50,000 dikenakan ke atas beliau.  

Berita penuh ada dilink ini:

3 DIDAKWA KES HINA NABI DAN TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN


HARI ini menyaksikan tiga orang rakyat Malaysia dengan kes menghina Nabi Muhammad dan agama Islam di laman media sosial telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.  Mereka adalah Mohammad Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, Chow Mun Fan, 43 tahun dan Danny Antoni, seorang anak Sarawak yang tinggal di Malaya.  Ketiga-tiga mereka dituduh dengan pelbagai kesalahan menyalahgunakan laman sosial yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama di Malaysia. Sebelum itu Mohammad Yazid mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau manakala dua lagi iaitu Chow dan Danny mengaku tidak bersalah. 
  
Kes mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.  Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan dan Seksyen 505c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.  Dek kerana keseriusan kes ini maka pihak Mahkamah menetapkan TIADA IKAT JAMIN DIBENARKAN terhadap mereka bertiga dan 5hb April 2019 sebagai tarikh untuk sebutan semula kes.
  
Ambillah iktibar atas perkara yang berlaku ini dan semoga kita terus menjunjung kebebasan beragama dan menjaga keharmonian kaum serta saling hormat-menghormati antara kita.  Jangan kerana mengikut kata hati yang penuh dengan dendam dan benci akhirnya menyebabkan kita menjadi penghuni jeriji besi dek kerana otak tidak berhubung dengan jari sebelum memuatnaik status di laman media sosial.  

Wednesday, 6 March 2019

2 LAGI MANTAN MP SERTAI PSB


BUKAN seorang tetapi ada dua lagi ahli politik Sarawak yang disahkan menganggotai Parti Sarawak Bersatu hari ini.  Selepas Dato Masir Kujat, kem PSB dibawah Dato Sri Wong Soon Koh turut dianggotai oleh Datuk Joseph Entulu Belaun dan Dato William Nyalau Badak.  Sebelum ini mantan ADUN Marudi iaitu Datuk Sylvester Entri Muran dan Banyi Beradak (TERAS) turut awal-awal “angkat kaki” meninggalkan parti asal mereka memulakan karier politik dan menyertai PSB.  

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pucuk pimpinan Parti Rakyat Sarawak sekarang lebih-lebih lagi menjelang PRN yang dijadualkan berakhir pada tahun 2021.  

DATO MASIR KUJAT KELUAR PRS SERTAI PSB


SATU nama besar di dalam arena politik Sarawak iaitu Dato Masir Anak Kujat, antara pemimpin di dalam Parti Rakyat Sarawak mengumumkan perletakan jawatannya di dalam parti tersebut hari ini.  Difahamkan beliau akan menganggotai Parti Sarawak Bersatu atau United Peoples Party (UPP) yang dijenamakan semula yakni satu lagi parti tempatan Sarawak yang dipimpin oleh Dato Sri Wong Soon Koh.

Sehingga artikel ini ditulis belum ada lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Dato Masir sebab musabab perletakkan jawatan beliau dari Parti Rakyat Sarawak.