Thursday, 5 September 2019

HARIMAU MALAYA PULANG NAIK BARRACUDA SELEPAS MENANG


KEMENANGAN pasukan bolasepak Negara Malaysia iaitu Harimau Malaya melawan Garuda, Indonesia semalam sememangnya satu detik yang kita semua tunggu-tunggukan.  Sekaligus kemenangan 3-2 semalam menjadi penanda aras untuk Malaysia kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelak.  

Dalam pada itu keterujaan penyokong kedua-dua negara atas nama semangat kesukanan terpalit dengan insiden penyokong Garuda menyerang penyokong Malaysia sehingga memaksa pengadil terpaksa menghentikan perlawanan pada minit ke 69.  Akibat daripada itu ramai warganet Malaysia mengecam tindakan penyokong Indonesia.  Lebih-lebih lagi difahamkan pemain Harimau Malaya turut terpaksa diangkut dengan menggunakan kenderaan Barracuda usai perlawanan.  


Kita amat mengharapkan agar pihak di Indonesia mampu mengawal sikap seperti itu. Tidak seharusnya ada rasa balas dendam dan sebagainya memandangkan sudah menjadi adat perlawanan mesti ada yang kalah ataupun menang.  

Hakikatnya Indonesia mahupun Malaysia adalah saudara jiran yang terdekat. Nggak perlu kita berantakan kerna sepak bola walhal jerebu kita hirup bersama dong!

6 KAWASAN SARAWAK IPU TIDAK SIHAT


KITA masih lagi belum reda dengan jerebu nampak gayanya dengan hari ini menunjukkan enam kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.  Enam kawasan itu adalah Miri 133, Sibu 123, Sarikei 109, Sri Aman 166, Samarahan 120 dan Kuching 125.

Wednesday, 4 September 2019

PEGAWAI KOMANDO MENINGGAL DUNIA TERTEMBAK KETIKA GIMIK DEMONSTRASI


SEMALAM negara dikejutkan dengan berita kembalinya ke rahmatullah seorang pegawai komando bernama Mejar Mohd. Zahir Armaya yang mana insiden tertembak ketika sedang melakukan gimik demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.  Beliau yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 9.20 pagi, 4 September 2019.  

Pautan berita penuh:


Dalam pada itu ketika keluarga dan seluruh warga ATM menangisi pemergian anggota mereka, terselit cerita kurang enak apabila warganet telah mula menyebarkan berita spekulasi mengenai hal ini.  Untuk itu adalah lebih baik andaikata kita semua hanya bersabar menunggu segala siasatan yang akan dijalankan oleh pihak ATM dan hentikan sebaran berita yang langsung tidak sah itu.    

Yang penting sekarang jika kita sebagai masyarakat yang prihatin sama-samalah kita berdoa agar roh Arwah ditempatkan dikalangan yang beriman dan semoga proses siasatan dipermudahkan.  

Salam takziah untuk keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zamir Armaya yang juga putera kepada pelakon dan pelawak Malaysia iaitu Encik Armaya Aman Ramli atau lebih popular dikenali sebagai A.R Badul dan seluruh warga tentera Malaysia.  

Al-Fatihah.

Tuesday, 3 September 2019

TANPA PERSETUJUAN DUN, PENUBUHAN PELABUHAN BINTULU ITU TIDAK SAH! -DATO IDRIS BUANG-


TATKALA pada rombakan kabinet Kerajaan Sarawak baru-baru ini menampilkan satu portfolio tambahan iaitu Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan menjadi satu tandatanya kerana selama ini isu pelabuhan jarang mendapat liputan di Sarawak. Bagi meredakan persoalan rakyat mengenai hal itu, Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari di dalam satu ucapannya menyatakan bahawa portfolio itu diwujudkan kerana pelabuhan itu adalah hak autonomi Sarawak.  

Semalam pula menyaksikan Menteri yang bertanggungjawab mengenai pelabuhan di Sarawak iaitu Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak sedang membuat penyemakan mengenai penubuhan Pelabuhan Bintulu yang sebenarnya telah melanggar hak autonomi Sarawak.  Oleh itu kenyataan dari Menteri Pengangkutan Malaysia yang mengatakan bahawa penubuhan Bintulu Port adalah termaktub di dalam kuasa Parlimen dan Sarawak tidak punya kuasa keatasnya telah dibidas oleh beliau.  

Pautan adalah seperti berikut:


Mengulas isu ini, Ketua Informasi PBB Sarawak yakni Dato Idris Buang yang juga ADUN Muara Tuang turut sependapat dengan kenyataan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.  Menurut beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berpengalaman di Sarawak, Akta Pelabuhan Bintulu 1981 yang dikuatkuasakan jika dilihat dari segi undang-undang berkemungkinan besar tidak mengikut saluran undang-undang yang betul kerana ketika ianya dikuatkuasakan langsung tiada mendapat persetujuan daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak.  

Menurut beliau lagi, sekiranya ia betul maka penubuhan Pelabuhan Bintulu itu tidak sah sama sekali.  

Pautan berita penuh:

CUKUPLAH 60 TAHUN HAD UMUR MAKSIMUM PESARA -TUN M-


BEBERAPA hari yang lepas ada cadangan untuk menaikkan had umur pesara dari 60 tahun ke 65 tahun mengikut had umur pesara negara-negara maju.  Dan hal ini turut dikatakan mendapat sokongan daripada Menteri Sumber Tenaga Manusia.  Banyak maklumbalas daripada warganet lebih-lebih lagi golongan belia yang berpendapat ianya akan menyebabkan peluang mereka untuk mendapat kerja di sektor awam akan menjadi semakin mengecil.

Hari ini, Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir Mohammed menyatakan bahawa tiada keperluan untuk melanjutkan had umur pesara kepada 65 tahun seperti yang dicadangkan. Sekaligus Tun M turut sependapat dengan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Sadiq yang membantah cadangan itu yang mana sekiranya ianya dikuatkuasakan maka peluang generasi muda yang berpotensi disekat.

Pautan berita penuh :

https://www.sinarharian.com.my/article/46246/BERITA/Nasional/Tiada-keperluan-lanjut-had-umur-bersara-kepada-65-tahun-Dr-Mahathir?fbclid=IwAR3iPwO4UlMN-0M5Rcz7bMgpzDKSBJmTOBRrWF3VSC5bIKFzMBlTmnKWsjE

Sunday, 1 September 2019

PENERBANGAN KUL/SDK MENDARAT DI MIRI UNTUK PENUMPANG LAHIRKAN ANAK




SATU penerbangan Air Asia yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Sandakan yang membawa 130 orang penumpang dan enam anak kapal terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Miri semalam bagi membolehkan seorang penumpang yang sudah mempunyai tanda-tanda untuk melahirkan anak.
Setiba di Miri, pihak perubatan sudahpun bersiaga dan selamat dibawa ke Hospital Miri untuk melahirkan anak beliau. Pesawat itu pula meneruskan penerbangan ke destinasi Sandakan kira-kira jam 6.27 petang.

“LIVE” 31 OGOS LOKASI SABAH SARAWAK DICACA MERBAKAN!


TANGGAL 31 Ogos yang lalu ada satu stesen TV yang membuat satu program Live di tv di dalam bahasa Mandarin yang antara intipati rancangannya adalah untuk mengenali Malaysia secara lebih dekat.  Niat itu sudah betul dan sememangnya akan disokong CUMA persembahan pada hari itu begitu menjengkelkan tatkala seperti sudah buta akan kedudukan Sarawak dan Sabah itu di dalam geografi Malaysia itu sendiri. Dengan slide yang ditayangkan cukup jelas kesalahan nyata bagaimana Kuching diletakkan sebagai ibukota Sabah manakala Kota Kinabalu sebagai ibukota Sarawak.  

Tatkala hal ini berlaku ramai penonton dari Sabah dan Sarawak malah ianya ditularkan di media sosial amat marah dengan kesalahan tersebut. Jika diikutkan hal seperti ini BUKANLAH KALI PERTAMA berlaku malah sudah banyak kali dilakukan oleh banyak stesen televisyen tempatan.  Walaupun untuk hal Live ini pihak penyiar sudah memohon maaf namun secara realitinya ianya gambaran kepada betapa rakyat Malaysia itu sendiri TIDAK MENGETAHUI apakah itu Sabah Sarawak.  

Pautan berita penuh seperti berikut:


Seharusnya pihak Kerajaan Malaysia menerusi kementerian yang bertanggungjawab janganlah hanya melihat kesilapan seperti ini sipi-sipi sahaja.  Memang sudah terbukti pengetahuan am mengenai Sabah dan Sarawak bagi ramai rakyat di Malaya itu terlalu kurang sama sekali.  Jika hendak merapatkan jurang antara tiga entiti pembentuk Negara Malaysia BUKAN hanya dari infrastruktur tetapi juga minda itu sendiri.  

Sebagai rakyat Sarawak dan Sabah, kami di rakyat Malaysia yang terpisah oleh Laut China Selatan “lelah” dengan hal sebegini yang masih lagi tiada penghujungnya.