Thursday, 11 February 2016

ALKISAHNYA “EMPESUT SARAWAK”

DOLPHIN di dalam bahasa inggeris, ikan lumba-lumba di dalam bahasa Malaysia dan Empesut di dalam bahasa Melayu Sarawak. Nama yang merujuk kepada satu jenis mamalia laut yang merupakan antara spesis mamalia yang mempunyai habitat di perairan Sarawak.  Ramai antara kita orang Sarawak sendiri tidak mengetahuinya sehingga ianya menjadi satu kehairanan kerana kita semua berfikiran ianya hanya wujud di negara seberang laut.

Bagi nelayan-nelayan dan penduduk di sekitar kawasan habitat ikan lumba-lumba ini seperti di kawasan perairan Sungai Sarawak khususnya di Santubong, Sungai Rajang, Sungai Saribas, muara Sematan, Bako, Muara Tebas, Bintulu, Lawas dan Kuala Paloh, mungkin sudah biasa melihat kelibat sekumpulan ikan lumba-lumba ini berenang dengan riang di perairan mereka.  Sekali sekala ada juga yang datang dekat bot-bot nelayan menunggu “lauk percuma” dibuang ke dalam laut untuk habuan perut yang kosong. 

Sebenarnya ada banyak spesis ikan lumba-lumba yang menghuni perairan Sarawak antaranya adalah dari jenis Irrawaddy (Orcaella brevirostris), Indo-Pacific bottlenose dolphin (Tursiops Aduncus), Indo-Pacific humpback dolphin (Sousa Chinensis), Finless Porpise (Neophocaenia Phaceanoides) dan banyak lagi. Namun begitu di dalam banyak jenis ikan lumba-lumba ini, dikatakan hanya daripada spesis Irrawaddy (Orcaella Brevirostis) yang paling banyak mendominasi perairan Sarawak sehingga memungkin spesis ini juga dikenali sebagai Empesut Sarawak.

Suatu waktu dahulu ketika kita masih “buta” dengan undang-undang laut, Empesut juga menjadi antara hidangan keluarga namun setelah ramai yang mengetahui bahawa ianya spesis terancam sedikit demi sedikit kesedaran itu wujud bagi memastikan ianya terus “survive” di perairan kita.  Mengikut laporan World Convention Union Red List of Threatened Species 2008,.ikan lumba-lumba merupakan antara spesis ikan yang terancam dan dilindungi.  Dan di Sarawak sendiri misalnya mempunyai aktanya tersendiri iaitu menyenaraikannya sebagai salah satu haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Empesut Sarawak ini merupakan antara “trademark” kita jadi haruslah kita bersama-sama memastikan bahawa ianya terus ada.  Pemuliharaan spesis marin ini harus dipergiatkan lagi dan kita sebagai rakyat Sarawak harus jangan  mengamalkan penangkapan ikan yang terlarang seperti dengan cara pengeboman lautan mahupun atau dengan menggunakan penangkapan ikan elektrik yang sudah tentu akan memusnah mereka. Selain itu, kita harus sentiasa mencintai sungai kita agar terus bersih tanpa sampah sarap yang berkemungkinan besar dianggap ikan lumba-lumba ini sebagai makanan mereka.

Alkisahnya “Empesut Sarawak”.
-


Wednesday, 10 February 2016

HARAPAN RAKYAT SEREMBU

DENGAN jumlah pengundinya seramai 8,965 yang mana 80% pengundinya adalah dari etnik Bidayuh, maka DUN N18 Serembu sudah tentu menjadi perhatian ketika PRN Ke-11 berlangsung kelak. DUN Serembu ini merupakan antara kerusi yang baru mengikut persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dibuat pada tahun 2015.
Di sebalik keterujaan kita dengan siapakah yang memiliki DUN baru ini, telah terdengar permintaan rakyat Serembu terutamanya di Broih dan Krokong agar kerusi baru ini harus diwakili oleh PBB iaitu salah satu parti komponen Barisan Nasional Sarawak. Dikatakan rakyat bidayuh di Serembu lebih memihak kepada PBB kerana selama ini, parti komponen inilah yang lebih dekat dengan mereka.
Apa yang cuba disampaikan oleh rakyat Serembu ini janganlah dipandang enteng kerana harapan mereka untuk pemimpin dari kalangan “orang Serembu” sendiri yang dipilih dan parti politik yang dominan seperti PBB untuk mewakili mereka adalah sesuatu yang baik demi kelangsungan kebajikan dan pembangunan di Serembu itu sendiri.
Terpulang kepada pucuk pemimpin Barisan Nasional Datuk Adenan untuk mencorak formula disini kerana amat jarang kita mendengar permintaan daripada etnik Bidayuh yang merupakan antara etnik kedua terbesar di Sarawak Bumi Kenyalang.



DUA MAYAT MANGSA LEMAS PANTAI BELAWAI SUDAH DITEMUI.


MAYAT kedua mangsa lemas di Pantai Belawai sudah dijumpa kira~kira jam 12.30 tengahari tadi.
Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat mangsa, Armi Armira bin Pendita, 27 thn, tersangkut di dalam pukat tunda milik salah sebuah bot tunda yang membantu operasi pencarian sejak semalam.

Lokasi mayat di jumpai berhampiran laut tapak pesta kaul Belawai, tidak jauh dari Rumah Rehat Belawai.
Pagi tadi, mayat pertama yang dijumpai terdampar di Tanjung Rebujok menghala Sebayang di Batang Belawai telah dikenalpasti identitinya, Mohd Anis bin Ahmad Tazudin (Mohd Hanis bin Tajuddin), 16 thn. Pengecaman mayat disahkan sendiri oleh ibubapa Mohd Anis.
Admin RedParrot merakamkan salam takziah kepada kedua ibu bapa mangsa tragedi, yang diluar kehendak kita kejadian sedih ini berlaku.
Semoga kedua ibu bapa dan waris mereka kekal tabah menghadapi saat~saat sukar ini.
AL~FATIHAH.

Tuesday, 9 February 2016

MENANTI PENUH HARAPAN

ENCIK Pendita, 61 tahun, (berbaju petak biru) ayah salah seorang mangsa lemas di Pantai Belawai, memandang sayu ke laut dengan penuh harapan pasukan SAR menemui anaknya.
Operasi mencari dan menyelamat Armi Armira dan Mohd Hanis Tajuddin yang memasuki hari kedua, terpaksa ditangguhkan jam 6.00 petang tadi.
Hujan yang turun dan air pasang besar di kawasan operasi pencarian petang tadi tidak menjejaskan usaha pasukan SAR yang turut mendapat kerjasama padu daripada penduduk Kampung Belawai, Rajang, Jerijeh dan Tanjung Manis.
Malam ini usaha SAR diteruskan dengan menyusuri sepanjang pesisir pantai.

SAMALAJU MILIK SIAPA?


SAMALAJU merupakan salah satu daripada 11 kerusi baru berdasarkan persempadanan semula untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak pada tahun ini.  Dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 12,927 orang ianya juga antara kerusi yang menjadi idaman untuk setiap parti politik di Sarawak. 

N70 Samalaju merupakan satu kerusi yang panas kerana sesiapa sahaja yang mengungguli kawasan ini nanti mempunyai tugas yang berat dan penting memandangkan disinilah berhimpunnya wilayah SCORE.  Satu wilayah industri yang dijangka akan melonjakkan lagi ekonomi bagi Sarawak Bumi Kenyalang. 

Di dalam bicara PRN Ke-11 ini rupa-rupanya ada 2 parti komponen Barisan Nasional Sarawak yang menggulung impian ingin menjadikan N70 Samalaju sebagai kerusi yang diperuntukkan untuk mereka.  Menurut cakap-cakap politik di Sarawak, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan juga Parti Demokratik Progresif (SPDP) telah mula memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Samalaju diperuntukkan untuk mereka. 

Ini sudah tentu memerlukan Datuk Adenan memberikan pertimbangan yang seadil-adilnya kerana jika “diserahkan” Samalaju untuk PRS nanti apakah SPDP akan berpeluk tubuh memandangkan Bintulu itu sendiri diwakili oleh Datuk Tiong King Sing. Dan sekiranya Samalaju diberikan kepada SPDP dimanakah pula kawasan untuk PRS bertanding kerana mereka juga mempunyai kuota tersendiri sebagai parti gabungan Barisan Nasional. 

Jadi, Samalaju milik siapa? Kita tunggu jawapannya kelak.

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. 

OPERASI SAR MANGSA LEMAS DI PANTAI BELAWAI, TANJUNG MANIS

USAHA mencari dan menyelamat dua mangsa lemas di Pantai Belawai, Sarikei tidak hanya diserahkan kepada anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu.
Sebaliknya orangramai dari Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang dan Tanjung Manis bekerjasama dengan pasukan mencari dan menyelamat sejak kejadian berlaku, lewat petang semalam sehingga operasi ditangguhkan sementara tengahmalam tadi berikutan keadaan gelap dan arus ombak yang kuat.
Hari ini seawal selepas Subuh tadi, operasi mencari dua mangsa, Armi Armira bin Pendita, 27 tahun dan Mohd Hanis bin Tajuddin, 16 tahun, kedua~duanya berasal dari Kampung Jerijeh, Tanjung Manis, Sarikei diperhebatkan lagi dengan penglibatan 13 buah kapal tunda dan 7 buah bot kecil, selain bot penyelamat dari Polis Marin Sarikei dan bot pasukan Bomba dan Penyelamat Sibu.
Pemilik bot persendirian dari kawasan berdekatan yang turut bersimpati dengan nasib kaum keluarga mangsa, secara sukarela membantu operasi mencari dan menyelamat.
Keadaan laut yang sedikit tenang berbanding semalam, meskipun cuaca agak mendung di Pantai Belawai memudahkan anggota mencari dan menyelamat memperluaskan kawasan operasi pencarian.
Sehingga artikel ini dimuatnaik, belum ada perkembangan terkini dari lokasi kejadian.
Pejabat Daerah Tanjung Manis sudah membuka satu bilik operasi khas bertempat di Bilik Mesyuaratnya untuk memudahkan segala urusan maklumat terkini disalurkan kepada pihak media dan waris mangsa kejadian.

Monday, 8 February 2016

BOLEHKAH LAGI SUPP?


PARTI politik tertua di Sarawak iaitu Sarawak United People’s Party (SUPP) sememangnya antara parti politik yang telah lama mewarnai lanskap politik di Sarawak.  Semalam, SUPP melalui Presidennya Senator Datuk Professor Dr Sim Kui Hian yakin dengan pemilihan 16 orang senarai “Winnable Candidate” bagi merebut 21 kerusi DUN untuk PRN Ke-11 kelak. 

Walau bagaimanapun N9 Padungan masih lagi belum disenarai pendekkan siapakah calonnya walaupun sejak dari dulu lagi kerusi ini sememangnya diperuntukkan untuk SUPP.  16 senarai “Winnable Candidate” adalah seperti berikut:

1.   N9.  Padungan : Calon akan diumumkan kelak
2.   N10. Pending : Milton Foo
3.   N11. Batu Lintang : Sih Hua Tong
4.  N12. Kota Sentosa : Wifred Yap
5.  N14. Batu Kawa : Tan Joo Phoi/Lo Khere Chiang/Dr Sim Kui Hian
6.  N13. Batu Kitang : Lo Khere Chiang/Tan Joo Phoi/Dr Sim Kui Hian
7.  N45. Repok : Teng Ung Wu
8.  N46. Meradong : Ding Kuong Hiing
9.  N51. Bukit Assek : Chieng Buong Toon
10.  N52. Dudong : Datuk Seri Lee Chung Fatt @ Benny
11. N53. Bawang Assan : Robert Lau Hui Yew
12.  N54. Pelawan : Michael Tiang
13. N68. Tanjung Batu : Soo Li Ching
14. N73. Piasau : Sebastian Ting Chiew Yew
15. N74. Pujut : Adam Yii Siew Sang
16. N75. Senadin : Datuk Lee Kim Shin

Jika kita melihat kepada trek rekod keputusan PRN Ke-10 iaitu pada tahun 2011 menyaksikan Barisan Nasional walaupun mengekalkan majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri Sarawak, namun telah kehilangan 8 daripada kerusi yang majoritinya diwakili oleh SUPP. 

Tapi itu cerita lama, mungkin juga polisi “Adenan Ways” yang berjaya mendapat sokongan padu dari rakyat Sarawak sekarang akan menempiaskan auranya untuk SUPP bernafas kembali di arena politik Sarawak.  Kita tunggu dan lihat kelak.