Thursday, 11 February 2016

ALKISAHNYA “EMPESUT SARAWAK”

DOLPHIN di dalam bahasa inggeris, ikan lumba-lumba di dalam bahasa Malaysia dan Empesut di dalam bahasa Melayu Sarawak. Nama yang merujuk kepada satu jenis mamalia laut yang merupakan antara spesis mamalia yang mempunyai habitat di perairan Sarawak.  Ramai antara kita orang Sarawak sendiri tidak mengetahuinya sehingga ianya menjadi satu kehairanan kerana kita semua berfikiran ianya hanya wujud di negara seberang laut.

Bagi nelayan-nelayan dan penduduk di sekitar kawasan habitat ikan lumba-lumba ini seperti di kawasan perairan Sungai Sarawak khususnya di Santubong, Sungai Rajang, Sungai Saribas, muara Sematan, Bako, Muara Tebas, Bintulu, Lawas dan Kuala Paloh, mungkin sudah biasa melihat kelibat sekumpulan ikan lumba-lumba ini berenang dengan riang di perairan mereka.  Sekali sekala ada juga yang datang dekat bot-bot nelayan menunggu “lauk percuma” dibuang ke dalam laut untuk habuan perut yang kosong. 

Sebenarnya ada banyak spesis ikan lumba-lumba yang menghuni perairan Sarawak antaranya adalah dari jenis Irrawaddy (Orcaella brevirostris), Indo-Pacific bottlenose dolphin (Tursiops Aduncus), Indo-Pacific humpback dolphin (Sousa Chinensis), Finless Porpise (Neophocaenia Phaceanoides) dan banyak lagi. Namun begitu di dalam banyak jenis ikan lumba-lumba ini, dikatakan hanya daripada spesis Irrawaddy (Orcaella Brevirostis) yang paling banyak mendominasi perairan Sarawak sehingga memungkin spesis ini juga dikenali sebagai Empesut Sarawak.

Suatu waktu dahulu ketika kita masih “buta” dengan undang-undang laut, Empesut juga menjadi antara hidangan keluarga namun setelah ramai yang mengetahui bahawa ianya spesis terancam sedikit demi sedikit kesedaran itu wujud bagi memastikan ianya terus “survive” di perairan kita.  Mengikut laporan World Convention Union Red List of Threatened Species 2008,.ikan lumba-lumba merupakan antara spesis ikan yang terancam dan dilindungi.  Dan di Sarawak sendiri misalnya mempunyai aktanya tersendiri iaitu menyenaraikannya sebagai salah satu haiwan yang dilindungi sepenuhnya mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Empesut Sarawak ini merupakan antara “trademark” kita jadi haruslah kita bersama-sama memastikan bahawa ianya terus ada.  Pemuliharaan spesis marin ini harus dipergiatkan lagi dan kita sebagai rakyat Sarawak harus jangan  mengamalkan penangkapan ikan yang terlarang seperti dengan cara pengeboman lautan mahupun atau dengan menggunakan penangkapan ikan elektrik yang sudah tentu akan memusnah mereka. Selain itu, kita harus sentiasa mencintai sungai kita agar terus bersih tanpa sampah sarap yang berkemungkinan besar dianggap ikan lumba-lumba ini sebagai makanan mereka.

Alkisahnya “Empesut Sarawak”.
-


No comments:

Post a Comment